fbpx
Banner
Category

Hamil

Category

Apakah mitos-mitos popular kehamilan? Proses kehamilan adalah pengalaman indah dan berharga buat si ibu. Namun, ia juga adalah satu masa yang penuh dengan kerisauan dan stress, apatah lagi dengan pelbagai pendapat dan mitos mengenai kehamilan.
Jom tengok mitos-mitos popular dan sejauh manakah kebenarannya.
Baby Romper Special Sales

Mitos 1 : Bentuk perut menunjukkan jantina bayi

Yang ini adalah antara yang paling popular. Jika perut rendah, ia bayi lelaki dan jika perut tinggi, ia adalah bayi perempuan. Walaupun ramai yang mengiakannya, para profesional dalam bidang kehamilan berkata ia adalah mitos yang tidak benar.
Menurut Eileen Beard, seorang penasihat di American College of Nurse-Midwives, perut seseorang ibu itu sebenarnya ditentukan oleh kekuatan ototnya, kedudukan bayi, bentuk badan ibu dan kadar kenaikan berat badan sepanjang kehamilan.

Mitos 2 : Selera dan keinginan ibu juga menunjukkan jantina bayi

Ramai yang percaya bahawa jika ibu mengidam makanan manis seperti kek, coklat dan makanan tenusu, ia bermakna bayinya adalah bayi perempuan. Jika dia mengidam makanan masin, pedas, berempah atau berprotein tinggi pula, bayinya adalah lelaki.
Ini adalah mitos yang juga sangat popular, namun sehingga kini tiada bukti saintifik yang mengaitkan tabiat mengidam dengan jantina bayi.
Mengidam atau ‘cravings’ ini mungkin terjadi kerana perubahan hormon dalam kehamilan, tanpa sebarang kaitan dengan bayi. Lagipun, gunakan saja ultrasound untuk mengetahui jantina bayi, kan senang?

Mitos 3 : Wanita hamil perlu makan untuk dua orang

Dr Irene Miguel-Aliaga, seorang penyelidik dari MRC Clinical Science Centre di Imperial telah mengatakan bahawa sistem penghadaman ibu sebenarnya sangat bersedia untuk kehamilan dan menanggung keperluan seorang bayi yang sedang membesar di dalam rahim. Jadi, makan untuk dua orang itu adalah tidak perlu sama sekali! Tambahan pula, sebenarnya tabiat makan untuk dua inilah yang membuatkan berat badan ibu naik terlalu banyak dan susah untuk diturunkan selepas bersalin.

Mitos 4 : Pengambilan kafein juga adalah tidak boleh sama sekali

Kebanyakan orang percaya bahawa pengambilan kafein ketika hamil boleh meningkatkan risiko keguguran, namun American College of Obstetricians and Gynecologists menyatakan bahawa pengambilan yang sedikit (kurang daripada 200mg sehari) adalah tidak membahayakan. Menurut pakar keguguran, pengambilan secawan atau dua cawan kopi ketika hamil adalah masih selamat.

Mitos 5 : Aktiviti seks, makan pedas/berempah atau berjalan kaki akan memulakan proses kelahiran

Ada pelbagai cara yang “semulajadi” untuk memulakan proses kelahiran terutamanya di minggu-minggu terakhir kehamilan. Sesetengah doktor mencadangkan hubungan seks kerana ia menghasilkan hormon prostaglandin dan oksitosin yang boleh memulakan proses kelahiran. Makan makanan berempah dan banyak berjalan kaki juga dikatakan boleh memulakan proses ini. Tiada sebarang kajian perubatan yang membuktikannya, jadi ia mungkin juga sebuah mitos. Tapi, tak salah untuk mencuba kan?

Mitos 6 : Mewarna rambut memberi kesan buruk kepada bayi

Ramai percaya bahawa pewarna rambut boleh membahayakan bayi kerana kandungan bahan kimia yang tinggi yang boleh meresap ke dalam kulit kepala ibu. Namun sebenarnya, sangat sedikit kuantiti bahan kimia ini yang diserap dan ia langsung tidak membahayakan. Jika masih risau, pilih opsyen pewarna yang lain seperti inai dan pewarna yang tidak kekal (lebih rendah kandungan bahan kimia).

Mitos 7: Makan minyak sapi untuk memudahkan kelahiran

Mungkin ada yang tidak berselera untuk makan minyak sapi, namun ia adalah salah satu makanan yang berkhasiat di dalam bidang perubatan Ayurvedic. Ia dipercayai boleh memulakan proses kelahiran tetapi tiada kajian perubatan yang membuktikannya. Minyak sapi adalah sejenis lemak tepu dan apabila diambil terlalu banyak, ia boleh membahayakan kesihatan dan menaikkan berat badan ibu.
Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Terjemahan dan olahan oleh : Ayuni A. 









Dapatkan baju pre-loved murah, trendy & berkualiti!








Dalam situasi kes Covid19 yang naik mendadak, ramai yang berkongsi pengalaman menerima vaksin Covid19 untuk melindungi diri dan keluarga tersayang.

Untuk ibu menyusu, banyak faktor yang harus dipertimbangkan apabila membuat keputusan untuk mengambil vaksin Covid19.

Bagaimanakah dengan keselamatan dan kesihatan anak yang masih menyusu? Vaksin manakah yang paling selamat?

Berikut adalah petikan daripada artikel dan jurnal dari luar negara berdasarkan kajian yang ditulis oleh doktor, profesor dan orang-orang bertauliah, dan juga pegalaman mommy yang sedang menyusu mengenai pengalaman mereka.

Isi kandungan artikel ini:

  1. Apakah maksud vaksin?
  2. Jenis-jenis Vaksin in Malaysia
  3. Vaksin AstraZeneca Selamat, Menurut Penasihat Imuninasi WHO
  4. Dr Rafidah Abdullah: “Vaksin terbaik adalah apa jenis vaksin pun yang ditawarkan”
  5. Menteri Khairy Jamaluddin: Ciri baru aplikasi MySejahtera untuk Ibu hamil & menyusu daftar vaksin (25 Mei)
  6. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV)
  7. Pengalaman Ibu
  8. Tricia Yeoh: “Saya hampir tidak mendapat vaksinasi”
  9. Ayesha Rahman: “Doktor beritahu saya boleh dapatkan vaksin AZ”
  10. Anrie Too: “Pengalaman #CucukAZ saya agak sukar daripada saya fikirkan”

Apakah maksud vaksin?

vaksin covid19

Vaksin mengandungi antigen yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan
struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.

Manakala antigen dalam vaksin pula berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Jenis-jenis vaksin Covid19 di Malaysia

vaksin covid19

Menurut portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin biasanya mengambil masa bertahun lamanya untuk dicipta. Namun, bagi vaksin Covid19, terdapat institusi dapat mencipta vaksin dengan cepat menggunakan platform sedia ada atau teknologi yang telah dibangunkan sejak dahulu lagi.

Terdapat tiga jenis vaksin Covid19 yang diberikan oleh kerajaan kita iaitu vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. Setiap jenis vaksin mempunyai kadar keberkesanan yang berbeza tetapi satu perkara penting yang boleh didapati daripada kesemua vaksin di atas, anda boleh menyelamatkan nyawa anda jika anda menerima vaksin.

Ingat, anda masih boleh dijangkiti Covid19 walaupun sudah divaksin. Tetapi, anda hanya akan mengalami gejala ringan sahaja dan dapat mengelakkan daripada menjadi semakin teruk selain dapat menyelamatkan nyawa anda.

Kembali ke isi-kandungan

Vaksin AstraZeneca Selamat, Menurut Penasihat Imuninasi WHO

vaksin covid19

Menurut ahli Kumpulan Kerja Pakar Kelompok Penasihat Strategik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari Jamaica, Profesor Peter Figueroa, menyatakan bahawa vaksin AstraZeneca sangat berkesan dan selamat untuk hampir semua orang termasuk ibu hamil dan menyusu.

“Saya tidak mengetahui adanya data yang menunjukkan bahawa vaksin AZ tidak boleh diberikan pada ibu menyusu. Vaksin AZ sangat berkesan dan selamat,” ujar Profesor Figueroa apabila ditanya oleh Tricia Yeoh mengenai isu kebimbangan ibu menyusu menerima vaksin Covid19.

Vaksin ini hanya merangkumi genom virus yang telah dikosongkan dari bahan aktif dan berbahaya. Bekas virus ‘kosong’ ini kemudian akan menerima asid ribonukleat (RNA) yang dapat membuat kod gen yang meniru duri protein coronavirus. Fungsi utama RNA adalah bertindak sebagai messenger yang membawa arahan dari asid deoksiribonukleik (DNA), untuk pengendalian protein dalam sel.

Tambahnya, dia menekankan bahawa tidak ada bahan lain dalam vaksin yang memberi kesan sampingan selain meningkatkan tindak balas imun badan kepada vaksin AstraZeneca.

vaksin covid19

Bagi ibu yang masih menyusukan anak, perkara paling penting yang terlintas di fikiran anda mestilah keutamaan keselamatan dan kesihatan anak anda.

Menurut The Breastfeeding Network, seperti vaksin-vaksin jenis lain, tiada bukti menyatakan bahawa ada benda lain selain antibodi akan masuk ke dalam susu ibu. Antibodi ini tidak berbahaya terhadap anak anda, malah ia berkemungkinan memberi perlindungan melawan virus.

Selain itu, anda juga tidak perlu berhenti menyusu secara langsung setelah mendapat vaksin. Maksudnya, anda boleh menyusukan anak seperti biasa selepas divaksin.

Kembali ke isi-kandungan

Dr Rafidah Abdullah: “Vaksin terbaik adalah apa jenis vaksin pun yang ditawarkan”

Menurut pakar kesihatan Dr Rafidah Abdullah di akaun laman sosial Twitter miliknya, dia menyatakan walaupun tiada data kajian terperinci vaksin AstraZeneca dan Sinovac bagi ibu menyusu, ia masih boleh diambil jika kedua-dua pihak setuju selepas sesi kaunseling berikutan infografik lama menunjukkan vaksin AstraZeneca tidak disyorkan buat ibu menyusu.

Kembali ke isi-kandungan

Menteri Khairy Jamaluddin: Ciri baru aplikasi MySejahtera untuk Ibu hamil & menyusu daftar vaksin (25 Mei)

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, menyatakan ciri baru akan disediakan di aplikasi MySejahtera bagi membolehkan ibu hamil dan menyusu mendaftar vaksin.

Dia mengatakan bahawa feature baru itu akan tersedia pada akhir minggu dan mereka yang berminat boleh menggunakan ciri baru tersebut untuk mendaftar. Namun, dia mengingatkan mereka agar berjumpa dengan doktor sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan vaksin.

“Nasihatnya sekarang adalah Pfizer dapat diberikan kepada kedua-dua golongan ini manakala AstraZeneca hanya boleh diberikan kepada ibu menyusu,” ujarnya hari ini. Dia juga mengatakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan membincangkan jika vaksin AstraZeneca boleh diberikan kepada ibu hamil dalam mesyuarat berikutnya pada hari Khamis (27 Mei) ini.

Kita sedia maklum giliran untuk menerima vaksin Pfizer agak lambat kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendahulukan kumpulan sasaran pertama hingga kedua.

vaksin covid19

Buat masa ini, pihak KKM sedang memberi vaksin kepada kumpulan sasaran kedua iaitu golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas. Rakyat negara ini dibahagikan kepada empat kumpulan sasaran seperti infografik di atas.

Kemaskini terbaru (2 Jun)

Bagi ibu hamil atau ibu menyusu, kini anda boleh mengemaskini maklumat di aplikasi MySejahtera mengenai status kehamilan dan menyusu anak. Hanya klik di pautan “click if pregnant/breastfeeding” di bahagian maklumat vaksinasi anda.

Setelah mengemaskini maklumat, status terbaru anda keluar di bahagian “assessment”. Jika anda hamil, akan keluar “pregnant: yes/no” dan ibu menyusu “Breastfeeding: Yes”.

Kemaskini terbaru (9 Julai 2021)

Terbaru, pihak KKM memberitahu ibu menyusu boleh mengambil salah satu daripada tiga vaksin yang ditawarkan di negara ini iaitu AstraZeneca atau Pfizer atau Sinovac. Ketiga-tiga jenis vaksin ini selamat diambil bagi nursing moms.

“Laporan interim yang dikeluarkan World Health Organization (WHO) membenarkan penggunaan vaksin Sinovac untuk ibu mengandung dan menyusukan bayi kerana manfaatnya mengatasi risiko,” tulisnya.

Selain itu, vaksin AstraZeneca menunjukkan tiada kontraindikasi terhadap ibu mengandung atau menyusukan bayi.

Manakala Pfizer pula merupakan vaksin jenis mRNA yang selamat digunakan semasa hamil tanpa tanda bahaya yang ketara. Malah, kesan sampingan juga jarang berlaku, ringan, sementara dan boleh dirawat.

Kembali ke isi-kandungan

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19 (JKJAV)

Terbaru, infografik daripada JKJAV menunjukkan bahawa golongan ibu menyusu sesuai menerima vaksin AstraZeneca (AZ) dan Pfizer. Terdahulu, pihak KKM tidak mengesyorkan vaksin AZ kepada golongan ibu menyusu kerana kekurangan data keselamatan.

Kesimpulannya, setiap vaksin yang diberikan tidak memudaratkan kepada penerima kecuali jika anda menghidap penyakit kronik dan hamil. Bagi ibu menyusu, buatlah keputusan yang bijak dan ingatlah orang-orang yang tersayang. Diharap kita berjaya membentuk imuniti kelompok tidak lama lagi dan dapat menyelamatkan lebih ramai golongan yang berisiko.

Jika anda sudah berdaftar untuk terima vaksin AstraZeneca, jangan lupa hadir tepat pada hari dan waktu yang ditetapkan dan bincang dengan doktor semasa sesi kaunseling. Ingat, ibu menyusu juga berhak untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka.

Kembali ke isi-kandungan

Pengalaman ibu menyusu ambil vaksin AstraZeneca

vaksin covid19

Mesti ramai ibu menyusu sedang mencari maklumat lanjut dan pengalaman ibu-ibu menyusu lain mengenai vaksin Covid19 kan?

Jika anda masih ragu-ragu mengenai isu ini, kami kongsikan pengalaman tiga ibu menyusu menerima suntikan vaksin AstraZeneca dos pertama, baru-baru ini. Anda juga boleh ketahui bagaimana ibu-ibu ini membuat keputusan menerima vaksin dan sebab mereka membuat keputusan tersebut.

Tricia Yeoh: “Saya hampir tidak mendapat vaksinasi”

Tricia Yeoh (18 Mei): Saya hampir tidak mendapat vaksinasi. Doktor yang bertugas melihat borang saya yang menyatakan saya saya seorang breastfeed mom. Dia mengatakan saya tidak dibenarkan mengambil AZ dan mengesyorkan untuk ambil vaksin Pfizer.

Saya menjelaskan yang saya telah melakukan kajian dengan membaca jurnal dan artikel dari UK dan Australia yang membenarkan ibu menyusu mengambil vaksin AstraZeneca. Doktor menegaskan perkara ini kerana mereka tidak tahu risiko terhadap ibu menyusu. Saya berkata tidak apa.

Kemudian, dia berjumpa dengan doktor lain dan akhirnya membenarkan saya mengambil vaksin AZ kerana saya sedar risiko yang diambil.

Setelah bertanya dengan rakan-rakan lain, mereka telah mengisytiharkan mereka ibu menyusu dan doktor mendapati tiada masalah untuk mendapatkan vaksin AZ.

Saya harap pihak KKM menyelesaikan isu kekeliruan ini kerana akan menimbulkan kegelisahan bagi ibu menyusu yang mahu mendapatkan vaksin AZ. Terima kasih kepada semua barisan perubatan dan sukarelawan.

Kembali ke isi-kandungan

Ayesha Rahman: “Doktor beritahu saya boleh dapatkan vaksin AZ”

Ayesha (21 Mei): Saya menerima suntikan vaksin pada pukul sepuluh pagi. Di pusat vaksinasi, terdapat bilik kaunseling untuk kita bertanya lanjut mengenai vaksin dan saya memberitahu bahawa saya ibu menyusu.

Doktor beritahu saya masih boleh dapatkan vaksin AZ kerana anak saya sudah besar (usia dua tahun). Saya mengalami sedikit demam dan sakit-sakit badan pukul lapan malam pada hari yang sama saya terima vaksin.

Saya ambil empat biji paracetamol sehingga keesokan harinya dan badan rasa seram sejuk serta berpeluh sepanjang hari. Alhamdulillah, semuanya rasa normal cuma rasa sedikit letih. Saya harap anda juga akan dapat vaksin tak lama lagi!

Kembali ke isi-kandungan

Anrie Too: “Pengalaman #CucukAZ saya agak sukar daripada saya fikirkan”

Anrie Too (18 Mei): Pengalaman #CucukAZ saya agak sukar daripada saya fikirkan kerana isu kekurangan data dan persoalan jika ibu menyusu selamat untuk mengambil vaksin AZ. Dengan isu ini, kebanyakan pengamal perubatan tidak dapat memberikan jaminan sama ada mengambil vaksin menjadi pilihan selamat.

Jadi, keputusan bergantung sepenuhnya kepada anda. Saya membuat keputusan untuk teruskan dan dapatkan kaunseling yang diperlukan sebelum membuat keputusan akhir.

Agak lama sesi kaunseling saya dengan perunding perubatan. Dia begitu baik hati memberikan maklumat sebanyak mungkin untuk saya. Sehinggalah dia mengatakan sesuatu yang memberi saya keyakinan untuk membuat keputusan, “kes-kes (Covid19) ini sangat dahsyat sekarang”.

Ketika itulah saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Ia satu risiko yang saya ambil bukan sahaja untuk keselamatan saya, tetapi untuk orang-orang tersayang dan komuniti saya. Saya percaya bahawa saya telah membuat keputusan yang tepat hari ini dan saya harap ia adalah keputusan yang tepat bagi kita semua untuk jangka masa panjang. Please stay safe everyone.

Kembali ke isi-kandungan

Dah cucuk vaksin? Jom grab promosi menarik ini!

Jika anda sudah menerima suntikan vaksin Covid19 (tidak kira satu dos atau cukup dua dos), anda boleh dapatkan promosi menarik daripada kedai-kedai di bawah ini:

Jibril

Dapatkan segera satu hidangan butter chicken secara percuma di Jibril! Hanya perlu tunjukkan kad vaksinasi anda atau aplikasi MySejahtera. Anda boleh tebus sekali sahaja setiap seorang.

llao llao

Terbayang-bayang kesedapan aiskrim yogurt llao llao di tekak sekarang ni. Anda boleh dapat ganjaran 15 peratus diskaun dalam satu bil selepas terima vaksin. Jangan lupa baca terma dan syarat sebelum membeli!

Kedai Fixi

Anda berpeluang untuk menerima satu buku Fixi secara percuma jika anda datang ke Kedai Fixi dan tunjukkan kad vaksinasi anda. Geng ulat buku mesti suka tawaran ni!

myBurgerLab

Bagi peminat burger, anda yang pernah makan burger daripada myBurgerLab pasti tahu kesedapan burger ini. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan baucar bernilai RM10 mBL dengan minimum perbelanjaan RM20.

Suka artikel ini? Baca Kisahku: Disahkan Positif Covid19 Semasa Hamil dan Tips Kekal Ceria Dan Sihat Semasa Covid19

Dalam zaman pandemik Covid19 ini, golongan berisiko tinggi seperti ibu hamil dan ibu menyusu amat memerlukan vaksin Covid19 bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti wabak berbahaya itu.

covid19

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menjelaskan hanya vaksin Pfizer-BioNTech bersesuaian untuk golongan di atas.

“Berdasarkan cadangan yang dibuat oleh pakar, untuk ibu hamil dan menyusu, mereka hanya perlu mengambil vaksin Pfizer,” ujarnya.

covid19

Bagi ibu hamil, mereka dinasihati untuk mengambil vaksin ketika kehamilan berusia di antara minggu ke-14 hingga minggu ke-33. Mereka disarankan untuk menunggu hingga selepas bersalin jika melebihi tempoh tersebut.

Tambahnya, pihaknya telah meminta Pasukan Petugas Imunisasi Covid19 untuk berkoordinasi dengan hospital dan klinik bersalin supaya ibu hamil dan ibu menyusu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin Pfizer.

Selain itu, ada berita baik untuk anda yang bercadang atau sudah mendapat suntikan vaksinasi. Anda boleh menebus buku percuma di Kedai Fixi dengan menyertai kempen mereka, #CucukBersamaFixi. Menarik kan! Jangan lupa daftar program vaksinasi di aplikasi MySejahtera untuk dapatkan vaksin Covid19 percuma 🙂

Sumber: Malaysiakini , Kedai Fixi

Berminat dengan artikel seperti ini? Baca Kisahku: Disahkan Positif Covid19 Semasa Hamil dan 6 Cabaran Menyusu Bayi Harus Ditempuhi Jika Anda Mahu ‘Breastfeed’ Si Manja

Dear parents-to-be, tips asas pilih pampers dengan betul amat penting untuk keselesaan bayi anda. Jika anda salah memilih jenis pampers, bayi anda mungkin akan mengalami ruam atau nappy rash, menangis akibat tidak selesa dan juga kulit kemerah-merahan.

tips asas pilih pampers

Untuk permulaan, mommy daddy boleh minta free sample daripada beberapa jenama pampers yang anda berminat untuk cuba. Free sample boleh dijadikan sebagai rujukan dan dapat mengurangkan pembaziran jika mommy beli pek besar. Malah, mommy pun dapat kurangkan kos!

Antara tips asas pemilihan pampers yang penulis mahu kongsi ialah:

  • Saiz
  • Berat bayi
  • Jenis kulit

Saiz

tips asas pilih pampers
Penggunaan pampers jenis tape memudahkan mommy laras saiz pampers ikut keselesaan bayi

Jika saiz pampers tidak sesuai dengan si manja mommy, ia pasti akan menimbulkan masalah seperti selalu berlaku kebocoran akibat saiz terlalu besar.

Jika saiz terlalu kecil pula, ia akan meninggalkan kesan kemerah-merahan di kawasan pinggang dan celah peha. Kesian si kecil terpaksa menahan pedih akibat salah saiz.

Selalunya, pampers atau lampin pakai buang jenis tape sering digunakan untuk bayi baru lahir kerana saiz pinggang boleh dilaras mengikut keselesaan bayi.

Berat bayi

tips asas pilih pampers
Pakai pampers ikut berat yang ditetapkan

Setiap bayi dilahirkan dengan berat badan yang berbeza. Ada yang berat ringan dan juga ada bayi mencecah empat kilogram (kg). Sebab itu, mommy perlu beli pampers mengikut berat bayi dengan tepat.

Jenis kulit

tips asas pilih pampers

Kulit bayi yang baru lahir amat sensitif, mudah melecet dan naik ruam jika menggunakan produk yang tidak sesuai. Jika kulit bayi mommy lebih sensitif daripada biasa, penulis syorkan mommy guna pampers yang diperbuat daripada bahan semulajadi seperti kapas.

Selain daripada tips asas pilih pampers dengan betul di atas, ada banyak tips mommy boleh ikuti sebelum membuat keputusan membeli pampers atau lampin pakai buang. Bayi selesa, mommy tidur lena 😉

Jika anda suka artikel ini, baca Beli Pampers: Bilakah Masa Terbaik Anda Harus Beli? dan 9 free tips berjimat cermat untuk ibubapa baru daripada komuniti Gaya Suri.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita memasuki bulan Ramadan dan mesti ramai ibu menyusu anak semasa puasa sedang mencari tips untuk kekal bertenaga sepanjang berpuasa kan?

menyusu anak semasa puasa

Berpuasa sambil menyusu anak sangat mencabar kerana badan mommy lebih cepat bakar kalori dan seterusnya lebih cepat berasa lapar. Mungkin pada awal-awal puasa nanti mommy kurang yakin dapat berpuasa penuh selama 30 hari, tapi percayalah mommy boleh buat!

Berikut merupakan tiga tips kekal bertenaga walaupun menyusu anak semasa puasa:

  • Minum air banyak
  • Makan kurma
  • Makan sayur lebih

Minum air banyak

menyusu anak semasa puasa

Tips pertama ini amat penting untuk mommy ikut kerana kalau tak cukup minum air, mommy akan cepat berasa haus, kulit menjadi kering, bibir merekah dan badan cepat berasa lesu. Cara mudah untuk pastikan minum air banyak ialah:

  • Minum air dua gelas selepas berbuka.
  • Minum air segelas selepas solat Maghrib.
  • Minum air segelas selepas solat Terawih.
  • Minum air segelas selepas moreh.
  • Minum air dua gelas semasa sahur.

Makan kurma

menyusu anak semasa puasa

Kurma merupakan sejenis buah yang mempunyai pelbagai khasiat. Antaranya ialah membuatkan perut mommy kurang cepat lapar dan sejenis milk booster semulajadi. Ambil tiga atau lima biji buah kurma semasa sahur untuk menambah tenaga mommy.

Selain itu, mommy boleh juga cuba minum susu kurma. Boleh beli di kedai atau buat sendiri lebih jimat dan sihat. Hanya guna dua bahan sahaja, iaitu susu penuh krim dan kurma.

Makan sayur lebih

menyusu anak semasa puasa

Sayur bukan sahaja bagus untuk kesihatan, malah ia juga bagus untuk golongan berpuasa kerana memberi tenaga sepanjang hari. Cuba mommy makan sayur-sayuran hijau lebih sikit masa sahur, mesti perut sentiasa rasa kenyang.

Bayi kecil saya menangis lagi. Saya dodoikannya di dalam dakapan saya, memujuknya untuk kembali tidur lena. Tidur seperti bayi? Ah, ini langsung tidak seperti yang saya sangkakan!

Selamat tinggal pada tidur lena. Di fasa trimester keempat (pasca kelahiran), tidur malam yang tidak pernah cukup dan tangisan bayi menjadi perkara biasa dalam rutin harian.

Menurut Ho Wing Yan, pemilik Precious Sleep dan seorang pakar tidur bayi dan kanak-kanak, bayi 1-3 bulan sepatutnya tidur selama 14 hingga 17 jam sehari. Namun, ia tidak selalunya ideal.

Ritma tidur bayi baru lahir selalunya tidak menentu, termasuklah waktu tidur dan bangun yang tidak boleh dijangkakan. Ia tentunya memberikan stres kepada ibubapa baru.

Di sini, kami kongsikan 7 tips yang telah terbukti berkesan untuk membantu anda mengajar bayi anda tidur (dan untuk membantu anda mendapatkan tidur yang cukup!).

Jom baca:

  1. Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif
  2. Kenali tanda-tanda bayi kepenatan
  3. Gunakan rutin makan-bangun-tidur
  4. Elakkan stimulasi keterlaluan
  5. Bezakan antara siang dan malam
  6. Kenalkan rutin waktu tidur yang tenang
  7. Gunakan alat bantuan tidur
Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif
Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif

Tips tidur 1:

Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif

Anak anda menangis tidak berhenti, dan resah untuk tidur. Mungkin dia tidak selesa?

Periksa keperluannya. Adakah dia perlu menukar lampin? Sakit perut? Terlalu panas atau sejuk?

Bayi baru lahir sangat sensitif dan tidur mereka selalunya boleh dibantu dengan menukar persekitarannya. Cuba ambil kira faktor-faktor ini:

Lampu & Cahaya: Lampu dan cahaya membantu dalam menetapkan “circadian rhythm” anak anda. Ia juga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bayi tidur dengan mengurangkan fokus kepada gangguan luar.

Suhu: Sentiasa tetapkan suhu bilik pada suhu yang selesa. Rasa suhu di leher bayi anda. Jika terlalu panas, dia akan berpeluh. Jika terlalu sejuk, pakai pakaian yang lebih sesuai seperti “sleeping bag” atau baju tidur lengan panjang.

Pakaian tidur dan katil: Ada bayi yang tidak gemarkan bau yang terlalu kuat (contohnya bau sabun pakaian yang digunakan). Ada juga yang berasa tidak selesa dengan pakaian mereka (tag baju atau zip yang merengsakan). Gunakan sabun pakaian yang lembut yang dikhaskan untuk bayi, dan periksa pakaian mereka jika terdapat perkara-perkara yang mengganggu keselesaan mereka.

Ada kajian yang menunjukkan bahawa bayi menunjukkan respon positif terhadap bau ibunya sendiri. Ini membuatkan mereka berasa selamat dan lebih mudah terlena. Anda boleh cuba tidur dengan pakaian tidur mereka untuk memindahkan bau anda kepada baju bayi anda. Cubalah!

Tips tidur 2

Kenali tanda-tanda bayi kepenatan

Ada ibubapa yang cuba memenatkan bayi mereka di waktu siang hari. Namun, tahukah anda bahawa bayi yang terlalu penat jugak tidak akan boleh tidur dengan mudah?

Pada 6-8 minggu pertama, bayi anda tidak mampu berjaga lebih dari 2 jam. Jika ini berlaku, bayi anda mungkin menjadi terlalu penat dan susah untuk dia tidur semula. Jadi, cara yang paling elok ialah dengan menegenalpasti tanda-tanda bahawa bayi sudah mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Tanda-tandanya adalah seperti:

  • Mata merah atau berair
  • Menggaru-garu muka atau telinga
  • Melentokkan badan atau menguap banyak kali
  • Tidak duduk diam dan mula cerewet
  • Tidak lagi berminat dengan aktiviti dan tidak menghiraukan orang atau objek di sekeliling

Jika bayi menunjukkan tanda-tanda ini, anda bolehlah mempersiapkan mereka untuk tidur.

Tips tidur 3:

Gunakan rutin makan-bangun-tidur

Berhati-hati jika anak anda tidur sejurus selepas menyusu. Ia nampak seperti tidak apa-apa, tetapi sebenarnya ia mengganggu kebolehan mereka untuk tidur sendiri.

Cuba ikuti rutin makan-bangun-tidur seperti yang dicadangkan di dalam buku book On Becoming Babywise . Kaedah ini mencadangkan supaya bayi mengikut rutin makan, bangun/aktif dan kemudiannya tidur.

Masukkan waktu bermain di antara waktu makan dan tidur supaya anda dapat mengelakkan tabiat menyusu untuk tidur. Ia juga menggalakkan mereka minum dengan kenyang dan tidak mengaitkan waktu menyusu dengan tidur.

Tips tidur 4

Elakkan stimulasi keterlaluan

Dunia di luar sana sangat luas, oleh itu anak kecil anda tentu mempunyai pelbagai perkara untuk diproses di dalam mindanya. Walaupun sangat penting untuk kita menggalakkan minda dan derianya belajar, ingat bahawa stimulasi yang keterlaluan boleh memberi impak negatif kepada corak tidurnya.

Jadi, apakata kurangkan aktiviti apabila hampir kepada waktu tidur siang atau tidur malam?  Kurangkan cahaya, bunyi-bunyian yang kuat dan berikan ruang selesa dan senyap untuk membantu anak tidur.

Tips tidur 5:

Bezakan antara siang dan malam

Orang dewasa mempunyai “circadian rhythm” yang membantu kita bangun di waktu siang dan mengantuk di waktu malam. Namun bagi bayi yang baru lahir, ia mengambil masa 2-4 bulan untuk ritma ini terbentuk dan untuk badannya menghasilkan hormon tidur melatonin dan kortisol.

Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih cepat beradaptasi sekiranya ibubapa memberi mereka persekitaran yang membantu mereka mengenali waktu siang dan waktu malam.

Jadi, pada waktu siang, cuba:

  • dedahkan bayi pada cahaya semulajadi
  • tingkatkan aktiviti interaktif dan bermain
  • Bangunkan mereka perlahan-lahan jika mereka mula tidur sewaktu makan

Pada waktu malam pula:

  • kurangkan interaksi dengan bayi
  • kurangkan cahaya dan bunyi
  • Amalkan rutin waktu tidur untuk memberitahu bayi bahawa waktu tidur sudah tiba

Lama kelamaan, bayi akan faham bahawa waktu siang adalah waktu bermain dan waktu malam adalah rehat/tidur.

Tips tidur 6

Kenalkan rutin waktu tidur yang tenang

Mempersiapkan bayi setiap malam akan membantu mereka tidur dengan tenang. Ada pelbagai cara atau ritual seperti:

  • mandian suam
  • urutan bayi
  • mendodoi
  • membaca buku

Jika anda menyusu, sesi menyusu sebelum tidur akan memberikan mereka ketenangan. Melatonin di dalam susu ibu boleh menghantar signal mengantuk kepada bayi untuk dia berehat dan tidur.

Tips tidur 7

Gunakan alat bantuan tidur

Ramai ibubapa risau mengenai tabiat tidur yang tidak sihat semenjak usia bayi dan mengelakkan dari menggunakan alat bantuan tidur untuk bayi mereka. Namun begitu, Wing Yan mengatakan bahawa tabiat tidak sihat ini tidak akan terjadi pada umur yang muda (kurang dari 4 bulan).

“Bayi baru lahir masih belum pandai tidur dan mungkin memerlukan alat bantuan tidur untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Cuba cari keseimbangan di sini. Apa yang paling penting ialah bayi mendapat cukup tidur untuk perkembangannya”

Jadi, cuba gunakan:

Bedung bayi. Bayi baru lahir seringkali terkejut dan bangun dari tidur kerana tindakbalas Moro. Para pakar perubatan menggalakkan penggunaan bedung untuk memberi bayi anda rasa selamat dan selesa. Bedung membuatkan mereka rasa seperti di dalam rahim ibu juga.

Mesin bunyi. Sebagai orang dewasa, kita dah terbiasa dengan tidur di dalam suasana yang sunyi. Sebenarnya, bayi di dalam rahim pula sudah terbiasa dengan bunyi-bunyian di dalam badan ibunya. Jadi bunyi “ambiant” dari mesin “white noise” boleh memberikan ketenangan kepada bayi. Ia mengingatkan mereka kepada rahim ibu dan membantu tidur dengan lebih tenang.

Puting. Walaupun penggunaan puting sering diragui, namun pakar tidur bayi sebenarnya menggalakkan penggunaannya. Ini kerana puting memberikan ketenangan kepada bayi baru lahir kerana ia membantu tindakbalas refleks menghisap semulajadi. Puting yang digunakan semasa tidur juga boleh mengurangkan risiko bayi mati dalam tidur (SIDS). Jangan risau, bila sampai masanya anda boleh cuba memisahkan putih dari bayi dengan tips berguna di sini.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Baca artikel seperti ini mengenai: 5 tips untuk quality time bersama anak untuk ibu berkerjaya, 5 tips kekal positif semasa pandemik, dan tips WFH sambil jaga anak untuk ibu berkerjaya!

Bayi high demand ialah bayi yang kerap menangis pada setiap masa walaupun keperluannya sudah dipenuhi.

Tahukah mommy, menurut pakar, bayi ada jenis-jenisnya tersendiri iaitu mudah (easy going), memerlukan perhatian tinggi (high demand) serta sawan tangis (colic). Bukan mudah menguruskan bayi jenis high demand dan colic kerana mereka susah untuk ditenangkan walaupun pelbagai cara telah dibuat.

bayi high demand
Menangis tanpa henti walaupun sudah dipujuk.

Difahamkan, bayi jenis ini adalah bayi yang sukar untuk sesuaikan diri dengan alam dunia dari alam rahim. Semuanya rasa begitu asing dengan diri mereka kerana sudah terbiasa duduk dalam rahim mommy selama sembilan bulan, dengar degupan jantung mommy dan suara mommy. Bak kata Baby Language, ia berlaku akibat lemah adaptasi peralihan alam rahim kepada alam dunia yang drastik.

Oleh itu, penulis berasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman menempuh trimester keempat bersama anak sulung penulis yang juga seorang bayi high demand.

Golongan ibu hamil amat takut jika dijangkiti Covid19 namun ia benar-benar berlaku kepada beberapa orang wanita hamil di negara ini.

Salah seorang bekas pesakit Covid19, Fatma Sohaimi, berbesar hati untuk berkongsi kisah dirinya disahkan positif Covid19 semasa hamil dahulu.

hamil

Ini cerita beliau:

Disahkan Positif Covid19

Masa saya disahkan positif covid, kandungan saya dah berusia 38 minggu. Saya tahu positif (Covid19) selepas buat swab test kedua.

Saya buat swab test sebab kontak rapat dengan suami. Suami saya positif Covid19. Sebelum buat swab test, saya ada gejala demam, batuk dan selsema.

Sepanjang positif Covid19, saya cuma amalkan Vitamin C sahaja. Tiada ubat dibekalkan.

Saya kuarantin selama 10 hari. Setelah 4 hari disahkan positif, saya dibawa ke Hospital Sg Buloh dengan ambulans dan terus masuk wad bersalin.

Saya kena tahan sebab dah tunggu masa nak bersalin. Tapi disebabkan simptom saya masa tu dah takde, jadi saya dibenarkan balik selepas warded satu malam.

Sebelum discharge saya dah start rasa contraction tapi tak regular. Jadi doktor di Hosp Sg Buloh suruh monitor di rumah sahaja dan kalau dah kerap terus ke hospital berdekatan.

Selepas discharged dan dah sampai rumah tak sampai 2 jam, contraction makin kerap dan saya terus ke Hospital Serdang. Saya dimasukkan ke labour room khas untuk pesakit Covid19 kerana saya masih positif.

Kisahku - Fatma Sohaimi mommy yang positif Covid19 semasa hamil

Adakan mommy boleh bersalin secara normal?

Time tu suami atau ahli keluarga memang tak boleh masuk langsung.

Saya bersendirian menahan sakit dalam labour room dari jam 5 petang.

Esoknya pukul 3.37 pagi, saya selamat bersalin secara normal.

Alhamdulillah, Allah beri kekuatan walaupun time tu menangis sorang-sorang dalam labour room.

Kalau ikutkan, pesakit Covid19 kena bersalin secara Caesarean tapi waktu saya datang, saya dah ada bukaan 3cm. Jadi saya dapat bersalin secara normal.

Alhamdulillah, Allah beri kekuatan walaupun time tu menangis sorang-sorang dalam labour room.

– Fatma Sohaimi –

Sewaktu bersalin, hanya ada seorang doktor dan seorang nurse sahaja. Tapi disebabkan masa nak push, jantung baby dah tak cantik, datang seorang lagi doktor dan 4-5 orang nurse untuk bantu saya bersalin. Selain tu, ada dua orang pakar kanak-kanak untuk monitor baby selepas baby dilahirkan.

Sebagai pesakit Covid19, memang saya kena uruskan sendiri semua. Selepas bersalin, anak saya terus dibawa ke Hosp Sg Buloh dan dimasukkan ke NICU selama 4 hari.

man love people woman
Baby pun kena buat swab test.

Baby pun kena buat swab test.

Baby pun kena buat swab test. Alhamdulillah baby saya negatif Covid19.

Baby saya kena tahan kerana saya positif dan doktor nak pantau baby. Azan baby pun suami tak dapat buat time tu.

Alhamdulillah lega sangat. Bersalin waktu PKP/PKPB ni, memang kena kuatkan fizikal dan mental kerana kena uruskan diri sendiri tanpa bantuan sesiapa kecuali nurse atau doktor.

Semoga dengan perkongsian Puan Fatma dapat dijadikan contoh jika mommy disahkan positif virus berbahaya itu. Semoga mommies semua dan bayi dikandung sentiasa dilindungi olehNya.

Jika anda suka artikel ini, baca Kisahku: Persiapan hospital selepas pembedahan Caesarean, dan Kisahku: Cabaran Berpantang Kali Ke-Dua PKP dari komuniti mommy Gaya Suri.

Bukan mudah untuk memulakan journey sebagai ibu yang menyusu bayi atau breastfeed mom kerana banyak cabaran yang mommy perlu tempuhi sehingga si manja berusia dua tahun.

menyusu bayi
Bukan mudah untuk memulakan journey sebagai ibu yang menyusu bayi

“Realiti tidak semudah yang disangka” tepat menggambarkan betapa besarnya pengorbanan mommy menyusukan bayi selepas mereka dilahirkan. Sokongan daripada suami juga memainkan peranan penting untuk mommy lebih bersemangat menyusukan bayi walaupun banyak cabaran-cabaran getir yang perlu dilalui.

Sebenarnya, banyak cabaran yang mommy lalui sepanjang bergelar breastfeed mom, namun penulis senaraikan enam cabaran yang penulis rasakan amat mencabar fizikal dan juga mental sebagai seorang mommy.

Lekapan tidak betul

Bayi yang baru lahir masih tidak mahir untuk menghisap susu. Jadi, masalah lekapan tidak betul sering berlaku di awal penyusuan kerana mommy perlu tahu cara lekapan yang betul supaya dapat melatih bayi melekap dengan elok.

Selagi lekapan tidak betul, selagi itulah mommy akan berasa tidak selesa dan bayi juga tidak dapat minum susu. Ini akan menyebabkan kuning bayi semakin meningkat jika dia tidak dapat minum susu dengan segera.

Luka di bahagian puting

Sore nipple penulis ibaratkan seperti mimpi ngeri untuk new mommy seperti penulis. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu terutama pada awal penyusuan dan selepas bayi tumbuh gigi. Luka dan melecet adalah perkara normal yang berlaku pada mommy yang menyusu bayi.

Mommy boleh beli nipple balm awal-awal supaya senang untuk dipakai nanti. Ataupun mommy boleh beli nipple shield untuk melindungi puting daripada luka, melecet atau berdarah.

Saluran susu tersumbat

Clogged milk ducts amat memedihkan apabila terjadi dan ia mengambil masa lama sedikit untuk sembuh bergantung kepada cara mommy merawatnya. Selalunya saluran susu tersumbat akibat penggunaan saiz dan jenis baju dalam yang salah serta mommy tidak mengosongkan payudara dengan betul.

Biasanya mommy akan mengalami saluran susu tersumbat beberapa kali jika lambat menyusu bayi atau tidak mengikut jadual susu dengan betul. Sakitnya boleh buat sampai demam tau!

Tidak cukup tidur

menyusu bayi

Setelah bergelar ibu, mommy harus terima hakikat bahawa mommy tak akan dapat tidur lebih daripada dua jam kerana terpaksa bangun untuk menyusukan si kecil tidak kira siang atau malam. No more beauty sleep, mommies!

Kedengaran agak meletihkan, namun lama-kelamaan mommy sudah terbiasa dan apabila bayi berumur setahun nanti, mereka akan tidur lebih lama berbanding semasa mereka baru lahir.

Setiap masa lapar

Mommy yang menyusu bayi dan sentiasa lapar memang tidak dapat dipisahkan. Perasaan lapar hadir selepas mommy selesai menyusukan bayi ibarat mommy baru habis bersukan. Memang lapar sungguh!

Sediakan snek makanan setiap kali mommy menyusu bayi untuk mengisi perut sementara waktu. Roti, kekacang, buah-buahan antara snek paling cepat dan mudah untuk disediakan.

Anak suka “mengempeng”

Anak yang menyusu badan sebenarnya amat rapat dengan mommy mereka. Oleh itu, ada yang suka melekat atau mahu ‘mengempeng’ dengan mommy setiap masa kerana tidak mahu ditinggalkan mommy. Malah, dengan orang lain juga mereka tidak mahu termasuklah si daddy. Bertabahlah wahai mommy daddy…

Menyusukan anak amat memenatkan, namun ia adalah sebuah pengorbanan mommy yang paling berharga demi memastikan si manja mendapat khasiat serta nutrien penting daripada susu mommy kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi.

Berpantang semasa PKP ada cabarannya juga walaupun ramai yang tidak sangka kita masih berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun sudah menginjak ke tahun 2021.

Bagi anda yang sedang berpantang semasa PKP, pasti ada cabaran yang harus ditempuhi kerana sesetengah perkara tidak boleh dilakukan seperti pantang biasa. Contohnya seperti mengambil confinement lady, tukang urut dan sebagainya.

Seorang mommy dan juga founder produk penjagaan kulit, Izzaty Jamal, berkongsi kisah pengalamannya berdepan cabaran berpantang semasa PKP selepas melahirkan puteri sulungnya kira-kira sebelas bulan lalu.

berpantang semasa pkp

Cerita Izzaty berpantang semasa PKP:

Berpantang sendiri nampak macam susah, tapi bila dah get used to it. Semuanya mudah je. Paling bersyukur sekali, baby jenis yang tak meragam. Tidur je masa dalam pantang.

Masa PM umumkan PKP 1.0, 18 March 2020, Zaty tengah berpantang hari ke-12. Pantang sendiri sebab masa tu memang total lockdown ye, tiada apa-apa pergerakan melainkan ketua rumah beli barang dapur.

It’s a bit hard at first. Sebab masa tu luka jahitan belum betul-betul pulih sepenuhnya. Mujur ada suami yang boleh tolong sediakan makanan dan masakan pantang. Kiranya dia lah yang jadi Confinement Lady semasa Zaty pantang.

Cuma bab mandikan baby, mula-mula kekok, kelam kabut kami laki bini, mana tukang siram, tukang shampoo. Kelakar bila diingatkan. Dalam dua tiga hari juga nak biasakan mandi baby. Then semuanya went well.

Hari-hari lauk pantang, ikan tenggiri goreng + sup lobak putih dan nasi. Sedapnya Ya Allah! My kinda pantang is not as strict as traditional pantang orang lain. Kebetulan masa tu PKP kan, emosi tak betapa stabil sebab as a new parent, takda experience so chocolate is my best friend!

Tapi ada bagusnya berpantang dalam PKP, tak adalah keinginan nak keluar rumah, nak beli barang, nak ke sana sini. Bila berpantang sendiri, husband memang kena banyak bantu dan jadi orang kuat untuk isteri dan baby. No worries, semuanya akan ok je mommies dan daddies!

Kesimpulannya, ini 5 cabaran berpantang semasa PKP

  1. Tiada confinement lady.
  2. Tiada tukang urut.
  3. Memasak makanan pantang sendiri (jika suami bekerja).
  4. Mengemas rumah sendiri (jika suami bekerja).
  5. Menguruskan bayi sendiri (jika suami bekerja).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kebaikan kita boleh lihat seperti orang ramai tidak berkunjung ke rumah, mommy dan baby dapat berehat sepanjang hari, dapat bonding dengan bayi dengan lebih kerap dan banyak lagi.

Semoga pandemik ini segera berakhir dan mommies semua dapat menjalani kehidupan dengan gembira bersama keluarga dan si manja tersayang.

Jika anda suka artikel ini, baca Kisahku: Persiapan hospital selepas pembedahan Caesarean, dan Kisahku: Trimester ke-empat yang penuh cabaran dari komuniti mommy Gaya Suri.