fbpx
Banner

Jangan terkejut, wanita pun berisiko sakit jantung ye terutama mereka yang bergelar ibu.

Kita semua berisiko untuk mendapat penyakit jantung, tetapi ada beberapa situasi yang membuatkan golongan wanita berisiko tinggi menghadapinya. Agak menakutkan bila difikirkan kerana penyakit jantung ialah sejenis penyakit “pembunuh senyap” dalam diam.

“Silent killer” paling berbahaya untuk wanita

sakit jantung

Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh nombor satu di negara kita. Ada beberapa faktor menyumbang kepada peningkatan penyakit ini dan ramai yang kurang sedar betapa bahayanya penyakit ini jika kita tak menjaga kesihatan sejak muda.

Menurut MyHealth, penyakit jantung berlaku apabila saluran darah menjadi sempit akibat pengumpulan plak kolesterol yang mengakibatkan bekalan darah ke jantung tidak mencukupi. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung iaitu faktor pemakanan, amalan cara hidup tidak sihat dan faktor genetik atau keturunan.

Jenis penyakit jantung

Untuk pengetahuan anda, ada beberapa jenis penyakit jantung yang kita tak tahu sebelum ini contohnya:

  • Penyakit jantung iskemik
  • Penyakit injap jantung
  • Kardiomiopati
  • Rentak jantung tak normal (aritmia)
  • Perikarditis

Ramai menganggap penyakit jantung hanyalah satu jenis penyakit saja, tetapi sebenarnya ada pelbagai jenis penyakit jantung yang boleh membahayakan nyawa anda. Dalam artikel yang dikongsi oleh Berita Harian, sebanyak 13.4 peratus kematian membabitkan wanita yang menghidap penyakit jantung iskemik dilaporkan sehingga tahun 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Penyakit jantung iskemik berlaku apabila salur darah yang tersumbat sehingga lebih 70 peratus dan tidak mampu untuk menyalurkan darah ke jantung seperti yang diperlukan. Selain sakit jantung, anda juga perlu ambil tahu mengenai Thalassemia dan apa kesannya jika pasangan Thalassemia berkahwin.

Pakar Perunding Kardiologi dan Kardiak Elektrofisiologi Hospital Serdang,  Dr Nor Halwani Habizal, menjelaskan bahawa simptom penyakit jantung iskemik terhadap golongan wanita sedikit berbeza dan menyebabkan kita kurang peka terhadap penyakit ini.

Punca sakit jantung

sakit jantung

Menurutnya, aktiviti harian, rutin pemakanan dan stress menjadi punca yang selalu dikaitkan dengan penyakit jantung dalam golongan wanita.

“Saya menyeru kepada golongan suami dan bapa agar peka dengan keadaan kaum wanita di sekeliling anda dan tidak mengambil mudah terhadap simptom seperti stress dan sakit dada,” jelasnya lagi.

Selain pemakanan dan stres, ada beberapa punca sakit jantung golongan wanita perlu ambil tahu seperti:

  • Obesiti
  • Menopaus

Pemakanan

Pemakanan yang tak sihat secara tak langsung mengakibatkan wanita terdedah dengan pelbagai penyakit terutama diabetes, darah tinggi dan obesiti yang menjadi penyebab kepada masalah jantung. Makanan tinggi lemak, berminyak dan kurang berkhasiat tak memberi kesan baik kepada tubuh badan anda. Bila sudah selalu makan makanan tak berkhasiat, tahap kolestrol anda juga akan meningkat seterusnya berisiko untuk mengalami sakit jantung. Tukar gaya pemakanan seperti kukus, panggang dan rebus sebelum terlambat. Kurangkan perasa makanan dan garam dalam makanan serta amalkan minum air kosong secukupnya setiap hari.

Stres

Tekanan perasaan atau stres pada jangka masa lama boleh mengakibatkan masalah jantung. Kesihatan mental juga perlu dijaga dengan buat aktiviti yang anda suka seperti bersenam, berjalan di taman atau apa saja aktiviti yang disukai. Stres boleh menaikkan tekanan darah,dan menyebabkan pembuluh darah menjadi kaku dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada jantung anda. Jika para suami mahu mengurangkan stres isteri, anda boleh galas tanggungjawab suami isteri bersama supaya isteri tak burnout.

Obesiti

sakit jantung

Obesiti juga salah satu penyumbang kepada masalah jantung jika tak diatasi segera. Menurut Berita Harian, kajian mendapati pesakit diabetes tahap dua berisiko dua hingga empat kali ganda untuk mengalami kegagalan jantung berbanding mereka yang sihat. Di negara ini, paras glukosa darah yang meningkat menyumbang 10 hingga 11 peratus risiko kepada kegagalan jantung.

Menopaus

Menurut HelloDoktor, wanita yang sudah menopaus lebih berisiko mengalami penyakit jantung berbanding wanita belum menopaus. Hormon estrogen melindungi sistem kardiovaskular wanita sebelum menopaus. Namun, hormon estrogen akan berkurangan apabila wanita mula memasuki fasa menopaus dan selepas menopaus. Disebabkan itu, penyakit jantung kurang menyerang wanita sebelum menopaus berbanding lelaki dan ia kembali meningkat semasa serta selepas menopaus. 

Suka artikel ini? Klik sini untuk baca info menarik mengenai wanita dan ibu daripada Gaya Suri.

Author

Comments are closed.