fbpx
Banner
Category

Suami Isteri

Category

Selepas baca artikel ini, para suami akan lebih memahami tanggungjawab ditanggung isteri:

  • Kekurangan masa untuk berehat dan ‘me-time’.
  • Tugas harian terlalu banyak.
  • Kerja rumah menjadi lebih lancar dan cepat disiapkan jika dikongsi bersama.

Menurut laman web Hospital Ampang, burnout merupakan satu keadaan seseorang individu itu mengalami keletihan fizikal dan psikologikal disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan. Burnout bukanlah perkara yang harus dipandang remeh kerana ia boleh mengakibatkan kemurungan kepada individu yang mengalaminya.

Sebagai seorang isteri, banyak tanggungjawab mommy perlu lakukan pada setiap hari. Bukan mudah untuk melaksana semua tanggungjawab dalam masa sehari dan ulang rutin yang sama untuk jangka masa panjang. Contohnya seperti mengemas rumah, memasak, menjaga anak dan sebagainya.

Tanda isteri rasa burnout

tanggungjawab

Berdasarkan perkongsian Mohd Fhais Salim di media sosial Facebook, ada beberapa tanda atau red flag bahawa isteri sedang mengalami burnout iaitu:

  • Isteri terjerit-jerit di rumah
  • Mudah marah
  • Tak dapat kawal pertuturan, tindakan dan respon bila ada masalah
  • Tak fikir sebelum berkata-kata (ikut perasaan)
  • Beremosi
  • Tidur cukup tetapi tetap berasa letih dan penat

5 tanggungjawab boleh dikongsi bersama suami dan isteri

Lima tanggungjawab di bawah ini boleh dilakukan bersama bagi meringankan beban isteri:

  • Mengemas rumah
  • Menjaga anak
  • Memasak
  • Buat tugasan bersama-sama / luangkan masa bersama
  • Beri isteri masa berehat / me-time

1. Mengemas rumah

tanggungjawab

Mengemas rumah setiap hari amat memenatkan. Bayangkan, rumah bersepah balik bila anda baru saja selesai mengemas rumah kerana anak-anak sudah mula bermain dengan toys mereka yang baru dikemas. Fuh, memang mencabar menjadi seorang ibu atau bapa.

Disebabkan itu, lebih elok jika anda bahagikan tugas mengemas rumah bersama pasangan supaya masing-masing tak berasa terlalu penat dan mudah melakukannya setiap hari. Antara rutin mengemas rumah anda boleh kongsi adalah sapu sampah, lap lantai, kemas dapur, kemas bilik tidur, cuci tandas dan sebagainya.

Selain itu, anda boleh cuba susun jadual dan giliran supaya tak semua tugas perlu dilakukan setiap hari dan ikut giliran siapa yang perlu mengemas rumah pada hari tersebut. Cara ini lebih berkesan dan kurang memenatkan selain dapat meringankan beban isteri.

2. Menjaga anak

tanggungjawab

Jika isteri merupakan surirumah tangga sepenuh masa, para suami rajin-rajinlah ambil giliran menjaga anak bila ada masa. Anak-anak sedang membesar agak mencabar untuk dijaga terutama jika perlu menjaga setiap hari. Pasangan boleh bawa anak-anak keluar berjalan pada hujung minggu dan beri isteri “me-time” untuk berehat dan buat aktiviti kegemaran.

3. Memasak

tanggungjawab

Sebenarnya, memasak adalah satu tugas yang meletihkan jika anda perlu masak pelbagai lauk dalam masa sehari. Apa kata suami isteri masak bersama-sama, seorang sediakan bahan masakan manakala seorang lagi hanya perlu memasak saja. Bukan saja menjimatkan masa, anda juga boleh memasak lauk banyak tanpa perlu rasa terlalu penat. Malah, ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri jugak.

4. Buat tugasan bersama-sama / luangkan masa bersama

tanggungjawab

Jika pasangan sentiasa sibuk, luangkan masa pada hujung minggu dan buatlah kerja rumah bersama. Selepas itu, anda boleh berehat dan menonton televisyen bersama seisi keluarga. Selain rumah tampak kemas dan bersih, anda juga dapat meluangkan masa bersama keluarga.

5. Beri isteri masa berehat / me-time

tanggungjawab

Sekali-sekala, para suami boleh beri isteri masa untuk berehat ataupun me-time pada hujung minggu atau hari-hari tertentu. Kesihatan mental juga penting supaya mereka tak burnout di kemudian hari. Biarkan mereka buat aktiviti kegemaran seperti keluar berjalan, beli-belah, berjumpa rakan atau makan makanan kegemaran dengan tenang.

Suami mithali: Masih wujud lagi atau tidak?

Bila bercakap mengenai lelaki mithali, tak dinafikan lelaki seperti ini semakin sukar didapati dan membuatkan kita tertanya-tanya, masih wujudkah lelaki yang sanggup menolong isteri di rumah? Masih adakah lelaki yang mahu galas tanggungjawab di rumah selepas pulang bekerja?

Di media sosial Facebook, perkongsian lelaki ini sejak tahun lalu, Baharin Zakaria, menjadi tular di laman sosial kerana tidak malu menunjukkan tugas-tugas dilakukannya di rumah semasa isterinya berpantang dan baru lepas melahirkan anak mereka.

“Salah takpe, kita belajar”

“Tak pandai takpe dik, asal kita buat. Salah takpe, kita belajar. Tanya isteri dah makan atau belum, kalau belum boleh kita hidangkan, makan sama-sama. Jangan hentak kaki bila balik kerja tengok makanan tiada atas meja. Tengok keadaan isteri dan anak dulu, tengok keadaan rumah. Tengok dalam sinki, ada yang tak sempat isteri buat, anak tak mandi lagi ke kita tolong buatkan, sama-sama bertimbang rasa. Bukan takut isteri dik, tapi kita hormat diorang,” tulisnya di perkongsian yang mendapat 17,000 shares.

“Isteri dan anak-anak adalah rezeki kita. Isteri saya berpantang czer (caesarean), saya memang tak bagi dia buat kerja. Suruh berehat banyak-banyak, lain orang lain situasi. Tak sama macam abang jugak dik, ada orang keluar gelap, balik gelap untuk cari rezeki, abang alhamdulillah setakat boleh buat abang buat. Tak kaya takpe dik, asal kita ada usaha. InsyaAllah, Allah permudahkan urusan kita,” sambungnya lagi.

tanggungjawab

Kesimpulannya, suami isteri memerlukan satu sama lain dan saling melengkapi. Jika pasangan penat atau tak sihat, anda boleh tolong meringankan beban mereka. Bertimbang rasa dalam kehidupan agar rumahtangga sentiasa bahagia dan harmoni.

Suka artikel ini? Baca Kisahku: Surirumah selalu burnout jaga 5 orang anak di rumah! dan Kenali apa itu hipertensi dan mengapa ia menyerang kebanyakan wanita bergelar ibu.

Selepas baca artikel ini, anda akan lebih faham hukum tentang bermesra dalam bulan Ramadan kerana:

  • Penjelasan terperinci daripada sumber yang boleh dipercayai.
  • Tahu mengenai perkara apa boleh dibuat dan tak boleh dibuat dalam bulan Ramadan.
  • Tahu bila masa yang sesuai untuk bermesra.

Hukum bermesra dalam bulan Ramadan

bermesra dalam bulan ramadan

Bagi pasangan suami isteri beragama Islam, anda mesti tahu bahawa puasa bukan saja bermaksud menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu di siang hari. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Menurut Saidatuna A’isyah R.anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).”

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas bahawa baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.

Walau bagaimanapun, menurut mazhab al-Imam al-Syafie sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi:

Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.

Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut.

Seperkara yang perlu dinyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.

Hukum bersetubuh di siang hari dalam bulan Ramadan

bermesra dalam bulan ramadan

Menurut firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.”

Surah al-Baqarah (187)

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.

Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Apa perlu dibuat jika telah bersetubuh di bulan Ramadan?

bermesra dalam bulan ramadan
  • Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ

Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.”

Riwayat Ibn Majah (1671)

  • Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):
  1. Membebaskan seorang hamba.
  2. Berpuasa dua bulan berturut-turut.
  3. Memberi makan kepada 60 orang miskin.
bermesra dalam bulan ramadan

Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:

أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَهْلَكَكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏”‏ أَعْتِقْ رَقَبَةً ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُهَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أُطِيقُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُ

Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.

Riwayat al-Bukhari (1936)

Walau bagaimanapun, anda boleh rujuk kepada sumber lain seperti Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk kepastian dan rujuk ahli ulama yang lain. Amat penting untuk anda faham mengenai isu ini kerana ia merupakan isu berat jika seseorang tidak tahu dan sengaja membatalkan puasa demi nafsu.

Suka artikel ini? Baca 7 tips menghidupkan Ramadan bersama anak-anak dan Jadual Makan Pil Perancang Semasa Ramadan.

Anda dan pasangan boleh lakukan ujian kesuburan mendapatkan nasihat doktor untuk membuat pemeriksaan awal.

Ujian kesuburan ialah ujian-ujian yang akan mengenalpasti punca ketidaksuburan pasangan suami isteri yang sedang berusaha untuk mendapatkan anak (trying to conceive). Selain tu, ada lima makanan terbaik boleh tingkatkan kesuburan anda.

Perjalanan mendapatkan anak bagi pasangan suami isteri yang sedang trying to conceive (TTC) atau mencuba untuk hamil bukanlah mudah.

Hanya mereka yang melaluinya saja akan faham perasaan dikurniakan cahaya mata selepas berbulan atau bertahun mencuba.

TTC

Sesetengah pasangan TTC ada yang menetapkan tempoh tertentu untuk memulakan TTC journey selepas beberapa tahun berkahwin atas faktor belum habis belajar, praktikal, pasangan jarak jauh (PJJ) dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ada di antara golongan TTC yang bersedia untuk menimang cahaya mata selepas berkahwin namun menghadapi dugaan sebelum bergelar ibu bapa. Perjalanan yang penuh emosi, suka duka dan pelbagai dugaan menjadikan ia satu perjalanan yang paling bermakna dalam hidup.

Bagi pasangan suami isteri, memahami pasangan merupakan satu elemen penting dalam hubungan suami isteri. Anda hanya betul-betul mengenali pasangan selepas anda tidur sebantal dan duduk dalam satu rumah yang sama.

Walaupun sudah berkahwin lama, ia tak bermaksud anda memahami pasangan anda 100 peratus. Pasti ada perangai atau tabiat baru yang anda baru tahu hari ini. Kami ada beberapa tips untuk anda memahami pasangan dengan lebih mendalam:

  • Beri ruang privasi
  • Hormat perasaan
  • Tolak ansur
  • Raikan perbezaan pendapat

1. Beri ruang privasi

memahami pasangan

Sebagai seorang wanita dan juga isteri, penulis faham tanggungjawab isteri amat berat untuk digalas. Oleh itu, kita memerlukan ruang privasi daripada suami dan anak-anak apabila terlalu penat dengan tugas seharian. Beri ruang privasi atau ‘me-time’ kepada diri masing-masing untuk berehat dan buat aktiviti kegemaran jika mahu.

2. Hormat perasaan

memahami pasangan

Hormati perasaan pasangan apabila dia meluahkan perasaan. Mungkin kita tidak tahu suami atau isteri kita penat, sedih, tertekan dan sebagainya tanpa kita sedar. Dengar luahan hati mereka dan cuba letakkan diri kita dalam situasi yang mereka hadapi. Dengan cara ini, kita lebih memahami perasaan pasangan kita.

3. Tolak ansur

memahami pasangan

Tolak ansur bukanlah semudah yang disangka. Kadangkala kita rasa kita dah banyak tolak ansur tapi pasangan tak mahu bertolak ansur. Bincanglah dengan elok dan senaraikan perkara yang perlu untuk bertolak ansur dengan pasangan. Contohnya seperti menjaga anak, mengemas rumah, melipat baju, mencuci pinggan mangkuk, memasak dan sebagainya.

4. Raikan perbezaan pendapat

memahami pasangan

Tak semua perkara kita bersetuju dengan pasangan. Adakala berbeza pendapat mengenai sesuatu perkara, namun jangan pula anda menidakkan pendapat suami atau isteri anda. Raikanlah perbezaan pendapat tanpa mengguris hati pasangan anda. Ia bukanlah bermaksud anda bersetuju dengan pendapat mereka, tetapi cukuplah dengan menerima pendapat mereka yang berbeza daripada kita. Ingat, kita dibesarkan dengan cara berlainan oleh keluarga masing-masing.

Kesimpulannya, memahami pasangan adalah satu perkara yang penting untuk kita sentiasa bahagia bersama pasangan. Kita akan rasa lebih menyayangi dan disayangi pasangan tidak kira berapa lama anda sudah berkahwin. Hargailah pasangan anda kerana mereka sanggup mengharungi susah senang bersama anda selama ini. Tunjukkan kepada mereka bahawa anda menyayangi mereka dan jangan lupa cakap “I love you, sayang”.

Suka artikel ini? Baca 4 idea “date-night” realistik untuk pasangan ibubapa yang sibuk dan 5 kata-kata positif untuk menyokong ibubapa baru

Seperti saya, mungkin suatu masa dahulu, definisi “date night” anda bermakna perbualan panjang bersama suami sambil menikmati makan malam yang lazat. Sebelum itu, anda mungkin sempat mengambil masa untuk bersedia, sempat mandi dengan tenang tanpa gangguan dan bersiap-siap memakai pakaian cantik dan bergaya.

Sembilan tahun berlalu, dan kini dengan kehadiran seorang anak kecil dan seorang bayi, kita tiada lagi masa untuk semua itu. Selepas seharian penat bekerja, kita hanya mahu tidur dan berehat sepuasnya kan?

Eh, tunggu dulu.

Saat-saat romantis yang pendek sebenarnya masih boleh memberikan makna yang mendalam. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, ia sering diabaikan dek kesibukan hidup seharian. Masa berkualiti bersama pasangan masih boleh dilakukan dengan sedikit usaha dan perancangan. Tak semestinya sesuatu yang besar-besaran, sedikit masa terluang bersama pasangan tanpa anak-anak pun sangat bermakna.

1. Menonton filem atau bermain permainan di rumah

Yang ini senang sahaja. Pastikan anak-anak tidur awal, pilih filem kegemaran anda dan sediakan makanan kegemaran untuk dinikmati. Jika anda bukan penggemar filem, apakata bermain permainan yang sama-sama digemari? Contohnya, permainan keluarga seperti Sahibba atau Monopoli.

2. Cipta ruangan baru untuk dinikmati bersama

Walaupun meja makan kami cantik dan kukuh, hari-hari makan di tempat yang sama boleh menjadi bosan juga. Cuba sediakan ruang makan baru di luar rumah seperti di patio atau balkoni. Hiasi ruang itu dengan lilin dan lampu yang boleh memberikan rasa “whimsical”.

Tak mahu berpeluh-peluh di luar? Apakata berkelah di hadapan TV atau di ruang tamu dan hidangkan makanan yang biasa anda makan ketika berkelah di luar.

3. “Date night” tak semestinya di waktu malam.

Selalunya rutin tidur anak-anak sentiasa menjadi panjang berjela kerana pelbagai ragam dan kerenah mereka. Jadi, “date night” di waktu malam mungkin agak sukar untuk dilakukan. Cubalah keluar di waktu tengahari. Anda ada bayi? Letakkannya di dalam “stroller” dengan harapan dia tidur dan anda ada masa sejam untuk dinikmati bersama pasangan.

4. Pelbagaikan pilihan

Makan malam di luar kadangkala bukan sesuatu yang anda mahu lakukan. Mungkin anda lebih gemar siapkan makan malam dan makan bersama anak-anak dahulu sebelum anda keluar bersama. Pada saya, saya lebih selesa dengan cara ini.

Jadi, selepas makan malam, dapatkan bantuan dari ahli keluarga atau penjaga untuk tengok-tengokkan anak yang sudah tidur, dan anda boleh keluar bersama pasangan untuk menikmati kopi atau aiskrim di luar.

Apa sahaja yang anda lakukan, ingat, objektif utamanya ialah untuk meluangkan masa berkualiti bersama pasangan. “Date nights” atau aktiviti seperti disarankan dia atas adalah cara yang mudah untuk mengukuhkan hubungan suami isteri dan merapatkannya kembali.

Sudah tentu kita sayangkan anak-anak, tetapi masa berkualiti sebagai pasangan suami isteri juga sangat penting untuk kesejahteraan rumahtangga dan keluarga.

 

Kali pertama suami memberitahu dia telah membeli motosikal berkuasa tinggi, terdetik rasa risau di dalam hati saya. Saya belum pasti apa tujuan suami membeli motosikal tersebut. Saya juga risau suami akan lebih banyak menghabiskan masa dengan hobi baru dan kawan-kawannya. Ternyata telahan saya salah apabila dia melibatkan saya dalam hobi motosikalnya. Kini, kami mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama.

Di awal perkahwinan, kerjaya dan pendidikan anak-anak menjadi keutamaan. Apabila anak-anak sudah besar, barulah kami ada masa untuk berjalan berduaan, makan berduaan dan enjoy each other’s company.

Dalam membesarkan anak, masa berlalu begitu pantas dan kadang-kala habis di hadapan television atau hand phone sahaja. Masing-masing sibuk dengan hal dan urusan sendiri dan masa untuk berbual-bual juga semakin berkurangan.

Jadi, pesanan untuk pasangan yang sudah berkahwin : Peruntukanlah masa untuk ber’dating’ dengan pasangan anda. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing, masa bersendirian dengan pasangan sebenarnya adalah momen penting dalam perkahwinan.

Mengapa meluangkan masa berkualiti bersama pasangan adalah sangat penting?

1) Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan

Kita dan pasangan kita saling memerlukan antara satu sama lain. Masa berkualiti bersama dapat memupuk perasaan kasih sayang, meluahkan perasaan dan menghilangkan stress. Ia juga dapat menyemarakkan kembali bunga-bunga cinta yang kian pudar berlalu dengan masa dan keadaan. Dalam waktu bersama, kita dan pasangan ada banyak ruang dan peluang untuk membaiki perhubungan agar kehidupan berumah tangga lebih intim.

2) Mengekalkan ketenangan dalam rumah tangga pada zaman ini adalah satu cabaran yang sangat hebat

Kita berlumba dengan masa, persekitaran dan faktor luaran dalam melaksanakan tanggungjawab harian kepada orang di sekeliling kita. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang kian meningkat kadangkala mewujudkan ketegangan. Ketenangan dalam rumah tangga tidak akan wujud jika tiada usaha ke arahnya. Masa yang ada sewaktu bersama memberi ketenangan dan kemesraan dalam menjadikan hidup sejahtera dan harmoni. Apabila tabung emosi penuh persefahaman, rezeki juga mudah datang.

3) Contoh yang baik kepada anak-anak

Hubungan manis ibu bapa boleh memberi impak positif kepada anak-anak. Secara tidak langsung kita melahirkan generasi yang penyayang dan positif dalam kehidupan. Anak-anak akan merasa turut bahagia apabila melihat ibu bapa mempunyai hubungan yang mesra dan sentiasa bergurau-senda.

Bagaimana cara untuk meluangkan masa berkualiti bersama?

1) Jadikan masa berdua satu keutamaan

Mungkin sebulan sekali atau dua kali untuk keluar makan bersama tanpa anak. Terokai tempat makan yang baru dari kebiasaan. Senaraikan tempat-tempat makan yang anda teringin nak pergi dan ajak pasangan anda. Boleh sahaja mulakan dengan sarapan bersama di luar. Jika sukar, cukuplah dengan makan berdua di rumah ketika anak tidur atau ke sekolah. Zaman sekarang sudah ada GrabFood atau Food Panda dan sebagainya. Kalau susah hendak makan di luar, boleh order sahaja.

2) Rancang dan lakukan aktiviti kreatif berdua

Lakukan aktiviti yang memberi peluang berkomunikasi, dan melibatkan sentuhan. Jika pasangan ada hobi atau aktiviti kegemarannya, cuba sertai walau anda tidak meminatinya. Jangan biarkan pasangan melakukan aktiviti kegemarannya bersendirian. Bina kekuatan diri bersama pasangan.

Masa berkualiti tak semestinya perlukan aktiviti yang mahal dan berbelanja banyak untuk momen dan suasana bernilai. Aktiviti seharian seperti memasak, mengemas rumah bahkan menonton TV bersama-sama boleh menguatkan kasih sayang antara pasangan.

Saya teringat sebelum memiliki motorsikal yang ada sekarang, macam-macam hobi suami yang saya sertai walaupun sebenarnya saya tidak berminat. Dari hobi menternak ikan guppies, ikan discus, bermain drone, membela udang, saya akan di ajak untuk bersama dan dengan berat hati saya turutkan juga.

Kami keluar bersama ke pameran ikan, membeli makanan ikan atau menemani beliau ketika bermain drone dan sebagainya. Akhirnya, lama-kelamaan kita menjadi suka akan aktiviti tersebut dan menjadi topik perbualan apabila bersama.

Jika ada bajet yang lebih, pergilah melancong berdua-duaan dengan pasangan di dalam atau di luar negara mengikut kemampuan.Sentiasa rancang aktiviti baru bersama pasangan, walaupun sekadar berjogging, memanjat bukit bersama, berkayak atau memandu kereta dan pusing satu bandar bersama.

3) Raikan setiap tarikh istimewa pasangan

Apabila hadir tarikh-tarikh istimewa seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir pasangan, atau hari lahir diri sendiri, raikan bersama pasangan di tempat yang istimewa. Hargai pasangan seadanya. Jika tidak berpeluang untuk meraikan hari istimewa di luar, raikannya bersama di rumah sewaktu anak sudah tidur atau ke sekolah.

Usia bukanlah penghalang untuk kekal romantis bersama pasangan. Sentiasa tunjukkan kasih sayang di sepanjang perkahwinan kerana masa yang kita ada bersama pasangan adalah terhad. Pasangan kita adalah pasangan yang terbaik buat kita walaupun tidak sempurna.

Banyak lagi aktiviti mudah lain yang boleh dibuat bersama pasangan. Aktiviti yang dibuat bersama amat penting bila diamalkan kerana dapat menimbulkan emosi gembira dalam diri masing-masing. Luangkan masa dan hargai masa bersama yang ada sekarang. Semoga dengan usaha ini, rumah tangga sentiasa kekal bahagia hingga ke akhir hayat.