fbpx
Banner

Anda dan pasangan boleh lakukan ujian kesuburan mendapatkan nasihat doktor untuk membuat pemeriksaan awal.

Ujian kesuburan ialah ujian-ujian yang akan mengenalpasti punca ketidaksuburan pasangan suami isteri yang sedang berusaha untuk mendapatkan anak (trying to conceive). Selain tu, ada lima makanan terbaik boleh tingkatkan kesuburan anda.

1. Ujian pangkal rahim (Pap Smear)

ujian kesuburan

Ujian ini perlu dilakukan terhadap wanita yang pernah melakukan hubungan intim (sexual intercourse) berumur di antara 20 tahun sehingga 65 tahun. Untuk pengetahuan anda, Pap Smear adalah satu ujian saringan untuk memeriksa sel di bahagian pangkal rahim wanita.

Ia bertujuan untuk mengenalpasti kehadiran sel pra-kanser atau sel kanser di bahagian serviks. Sel-sel di bahagian pangkal rahim atau serviks akan diambil dan diperiksa. Menurut MyHEALTH, pengesanan kanser pada peringkat awal dan rawatan awal mampu menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya.

Pap Smear boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali bila anda sedang haid atau nifas. Pastikan anda tidak melakukan hubungan intim sehari sebelum pemeriksaan. Keputusan ujian boleh diperolehi selepas beberapa minggu namun usah risau, doktor akan memaklumkan keputusan secepat mungkin kepada anda selepas mereka menerimanya.

Jika keputusan ujian tidak normal, anda akan dirujuk untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut. Golongan wanita digalakkan membuat ujian Pap Smear tiga tahun sekali.

2. Ujian hormon darah

ujian kesuburan

Ujian ini dilakukan untuk mengesan ovulasi dan mengukur tahap progesteron dalam darah. Ujian darah diambil tujuh hari sebelum haid tiba. manakala ujian darah semasa haid (hari kedua sehingga keempat) untuk memeriksa ketidakseimbangan hormon FSH (folikel merangsang hormon) dan LH (hormon luteinising).

3. Imbasan Ultrabunyi (Ultrasound)

Bagi imbasan ultrabunyi, doktor akan buat imbasan untuk mengetahui perkembangan saiz folikel. Proses ini juga dikenali sebagai imbasan folikel (follicle scan) untuk mengenalpasti jika anda sedang ovulasi dan menentukan jika folikel telah pecah serta mengeluarkan telur.

4. Histerosalpingogram (HSG)

HSG merupakan satu ujian kesuburan untuk menentukan jika terdapat keabnormalan di tiub fallopio serta struktur rahim wanita. Ujian berbentuk radiologikal ini dilakukan di Jabatan Radiologi. Sejenis kontras radiografik atau pewarna akan disuntik ke dalam rahim anda semasa ujian ini dijalankan. Beberapa siri x-ray akan diambil sebelum dan selepas pewarna disuntik.

Kontras radiografik tersebut akan melalui rahim dan tiub fallopio dan seterusnya akan memasuki rongga abdomen jika tiub fallopio tidak tersumbat. Selain itu, ujian HSG ini juga boleh mengenalpasti lokasi tersumbat jika ia berlaku di pangkal rahim atau hujung tiub fallopio.

Malah, HSG boleh mengesan jika rahim anda abnormal atau kecacatan kongenital, polip, fibroid atau tisu parut di rahim. Anda akan menerima keputusan selepas selesai menjalani ujian ini tanpa menunggu masa yang lama.

5. Laparoskopi & Histeroskopi

Laparoskopi: Merupakan satu pembedahan kecil (minor) menggunakan teropong (laparoscope) melalui abdomen anda dan sejenis pewarna akan disuntik melalui serviks untuk memeriksa tiub yang tersumbat.

Histeroskopi: Menggunakan teleskop teropong untuk melihat bahagian dalam rahim bagi memeriksa fibroid atau polip.

6. Analisa air mani

ujian kesuburan

Menurut MyHEALTH, analisa air mani merupakan ujian paling mudah untuk menilai tahap kesuburan golongan lelaki. Ujian ini juga dilakukan untuk mengetahui perkembangan selepas membuat rawatan yang memberi kesan kepada buah zakar atau fungsi kelenjar aksesori sistem reproduktif lelaki ataupun selepas prosedur vasektomi.

Analisa ini haruslah dilakukan dua kali untuk mendapat keputusan yang tepat kerana satu sampel tidak mencukupi untuk mengenalpasti potensi kesuburan. Faktor emosi, masalah menghasilkan sampel air mani dan pengambilan ubat-ubatan turut mempengaruhi keputusan analisa dan menjadikannya kurang tepat.

Bagi mendapatkan keputusan yang tepat, sampel analisa harus diletakkan di dalam bekas lebar yang sudah disteril mengikut suhu badan dan ia perlu dibawa ke makmal dalam masa 20 minit selepas diambil serta perlu dianalisis dalam tempoh satu jam.

Ikut saranan doktor

ujian kesuburan

Ingat, sebelum memulakan ujian-ujian kesuburan di atas, anda perlu mendapatkan nasihat atau saranan daripada doktor yang bertauliah kerana masalah kesuburan setiap individu adalah berbeza. Jika anda baru hendak mendapatkan nasihat doktor, carilah klinik pakar sakit puan berdekatan dan berbincang untuk melakukan prosedur seterusnya.

Rawatan kesuburan

Selepas selesai membuat ujian kesuburan, anda boleh mula rawatan kesuburan mengikut masalah kesuburan yang dialami (mengikut saranan doktor).

Antara rawatan kesuburan yang disarankan oleh doktor untuk pasangan yang cuba mendapatkan anak ialah:

  • Inseminasi intrauterine (IUI)
  • Persenyawaan In Vitro (IVF)
  • Suntikan sperma Intra-cytoplasmic (ICSI)
  • Pemindahan gamet ke dalam tiub fallopian (GIFT)
  • Pemindahan embrio

Suami isteri harus sentiasa berfikiran positif, bersemangat dan jangan mudah berputus asa walaupun rawatan-rawatan kesuburan ini mungkin akan mengambil masa yang lama. Usaha tangga kejayaan.

P/S: Anda perlu merujuk doktor untuk membuat mana-mana ujian kesuburan di atas.

Mahu tahu mengenai kesuburan suami isteri? Baca di sini untuk info selanjutnya.

Author

Comments are closed.