fbpx
Banner

Kadang-kadang rasa sakit dada biasa tapi sebenarnya anda sedang diserang sakit jantung. Pernah tak terfikir sebenarnya anda ada penyakit serius tanpa disedari?

Sejak kebelakangan ini, ramai anak muda menghidap penyakit jantung walaupun mereka belum mencecah 40an. Perkara ini amat membimbangkan kerana ramai tak sedar mereka menghidap penyakit jantung dan ada yang pernah diserang sakit jantung sebelum ini.

Penyakit jantung ada banyak jenis? Ramai tak tahu ada banyak jenis

Bila sebut penyakit jantung, umum hanya tahu ia melibatkan jantung dan kurang arif mengenai maklumat terperinci penyakit berbahaya ini. Menurut artikel ini, antara jenis-jenis penyakit jantung adalah:

  • Penyakit jantung iskemik
  • Penyakit injap jantung
  • Kardiomiopati
  • Rentak jantung tak normal (aritmia)
  • Perikarditis

Penyakit jantung iskemik

diserang sakit jantung
bharian.com.my

Penyakit jantung iskemik berlaku disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat sehingga lebih 70 peratus dan tak mampu untuk menyalurkan darah ke jantung seperti yang diperlukan badan.

Menurut Berita Harian, golongan wanita lebih berisiko menghidap penyakit jantung iskemik berbanding lelaki. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 13.4 peratus kematian melibatkan golongan wanita yang menghidap penyakit jantung iskemik berlaku sehingga tahun 2020.

Pakar Perunding Kardiologi dan Kardiak Elektrofisiologi Hospital Serdang,  Dr Nor Halwani Habizal, menyatakan bahawa simptom penyakit jantung iskemik yang ada pada pesakit wanita sedikit berbeza dan menyebabkan mereka kurang peka mengenai masalah jantung.

“Saya menyeru kepada golongan suami dan bapa agar peka dengan keadaan kaum wanita di sekeliling anda dan tidak mengambil mudah terhadap simptom seperti stress dan sakit dada,” jelasnya lagi.

3 jenis rawatan sakit jantung

Jika kita tak menjaga kesihatan dengan betul, akan ada risiko terkena penyakit-penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Walaupun berusia muda, anda harus jaga pemakanan dan gaya hidup kerana penyakit tak mengenal usia. Terdapat tiga jenis rawatan jika anda diserang sakit jantung iaitu:

  • Ubat GTN
  • Jalani angioplasti
  • Pembedahan pintasan jantung (Heart bypass surgery)

Ubat GTN

diserang sakit jantung
www.knowyourmedicine.gov.my

Menurut Angka Sfera, Glyceryl trinitrate (GTN) atau disebut juga sebagai nitrogliserin merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan nitrat. GTN bertindak dengan mengembangkan salur darah bagi membolehkan aliran darah yang membawa oksigen menjadi lebih lancar. GTN wujud dalam beberapa bentuk dos seperti suntikan, tablet sublingual, semburan dan tampalan (patch). Tablet sublingual GTN biasanya digunakan untuk melegakan sakit dada akibat angina.

Angina ialah suatu keadaan di mana anda berasa sakit dada dalam jangka masa pendek kerana otot jantung kurang terima darah atau oksigen. Ia selalu berlaku bila otot jantung terpaksa bekerja keras seperti semasa bersenam, mengalami tekanan, cuaca sejuk atau selepas makan hidangan berat, menurut Hello Doktor.

Apabila mengalami serangan angina, pesakit hendaklah duduk dan kekal tenang selain berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti. Letakkan sebiji tablet sublingual di bawah lidah dan biarkannya larut. Tablet sublingual GTN tidak seharusnya ditelan, dihisap atau dikunyah.

Malah, jika anda diserang sakit jantung, tablet subligual GTN perlu diletakkan di bawah lidah kerana terdapat banyak saluran darah di kawasan tersebut yang dapat mempercepat penyerapan ubat. Kemudian, peredaran darah menjadi lebih lancar dan oksigen dapat dibekalkan kepada otot jantung. Berikutan itu, jantung lebih mudah mengepam darah ke sekeliling badan.

Untuk pengetahuan anda, dos tablet sublingual GTN boleh diambil selang lima minit dengan maksimum dos tiga tablet sehari. Jika sakit dada masih berterusan atau semakin teruk, anda harus segera dapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Jalani angioplasti

diserang sakit jantung
bergerlagnese.com

Terdapat banyak rawatan untuk serangan jantung, salah satunya ialah menjalani angioplasti (juga dikenali sebagai PCI: Percutaneous Coronary Intervention). Rawatan ini menggunakan kateter yang dimasukkan di dalam arteri untuk memulihkan aliran darah ke jantung dan pembedahan lencongan jantung untuk membuka salur darah yang tersumbat atau sempit.

Bergantung pada tahap kerosakan, rawatan ini biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk jantung kembali pulih selepas serangan yang dialami. Kerosakan yang disebabkan oleh serangan jantung boleh membawa masalah jantung seperti kegagalan jantung, masalah injap dan rentak jantung tidak tetap. Namun, dengan rawatan yang betul dan perubahan gaya hidup, kerosakan selanjutnya boleh dihadkan atau dicegah. Sila sentiasa dapatkan nasihat doktor atau pakar kardiologi anda.

Pembedahan pintasan jantung (Heart bypass surgery)

diserang sakit jantung

Menurut Hello Doktor, pembedahan pintasan jantung merupakan sejenis prosedur yang dilakukan bila arteri koronari atau pembuluh darah jantung tersumbat, tersepit atau menjadi sempit. Lencongan atau pintasan dibuat di sekeliling arteri yang tersekat. Ia digunakan untuk merawat arteri koronari jantung yang dialami pesakit.

Antara kelebihan heart bypass surgery ialah dapat memanjangkan hayat pesakit serta kurang memerlukan prosedur lain pada tahun pertama selepas menjalani pembedahan ini. Ada beberapa situasi yang doktor akan periksa sebelum pesakit perlu jalani pembedahan iaitu:

  • Memiliki gejala aterosklerosis (pengerasan arteri).
  • Gangren (kematian tisu) di kaki akibat diabetes atau aterosklerosis.
  • Mengalami iskemia mesenterik.
  • Mempunyai ulser kaki.
  • Mempunyai embolisme pulmonari.
  • Mempunyai penyakit arteri karotid.

Tenaga pakar jantung di negara kita amat bagus dan ramai telah menerima rawatan-rawatan di atas seperti yang dijelaskan. Jika anda seorang pesakit jantung, jangan mengalah dan teruskan gaya hidup sihat di samping jaga pemakanan anda. Fighting!

Suka artikel ini? Baca artikel-artikel menarik mengenai penyakit ini di sini.

Author

Comments are closed.