fbpx
Banner

Sebelum melahirkan bayi saya secara Caesarean, saya telah bersungguh-sungguh mempersiapkan diri saya untuk menghadapi tempoh penyembuhan postpartum yang akan saya lalui.

Saya telah berbual dengan ramai ibu yang berpengalaman seramai yang mungkin dan ia banyak membantu saya merasa lebih bersedia.

Secara ringkasan, ini lima petua saya:

  1. Kenali jururawat anda
  2. Bawa lampu tidur kuning!
  3. Bawa tisu basah (wet wipes)
  4. Buat persiapan untuk pengumunan secara digital
  5. Cuba tinggal lebih lama

Namun setelah melaluinya sendiri, saya juga ada beberapa tips yang telah saya pelajari. Saya merasakan ia bermanfaat untuk bakal ibu di luar sana, jadi berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu ibu menghadapi tempoh di hospital dengan lebih selesa selepas kelahirkan.

Sama ada Caesarean atau tidak, selalu baik untuk mengetahui jururawat anda!

Oleh kerana saya tahu saya akan melalui pembedahan Caesarean, tips ini mungkin lebih berguna untuk ibu yang akan melalui perkara yang sama (kadangkala ia boleh berlaku secara tiba-tiba dalam kes pembedahan kecemasan).

Ini adalah 5 perkara yang telah saya pelajari dan sungguh, ia sangat bermakna dan memainkan peranan yang besar sepanjang tempoh saya berada di hospital selepas pembedahan:

1) Sama ada Caesarean atau tidak, selalu baik untuk mengetahui jururawat anda!

Ada lebih kurang 10-15 orang jururawat yang akan menjaga anda sepanjang anda di hospital. Mereka inilah yang akan memberikan ubat-ubatan, membersihkan catheter dan membuat pelbagai perkara yang anda tidak mampu lakukan selepas pembedahan.

Jadi berkenalanlah dengan jururawat dengan sopan dan berbudi bahasa. Kenalkan diri anda, suami dan ahli keluarga. Tanya nama mereka dan berbual dengan mereka setiap kali mereka datang menjenguk anda.

Walaupun anda keletihan, ucapan mudah seperti terima kasih dan senyuman boleh memberi perbezaan di dalam pengalaman anda. Anda mungkin mendapat layanan yang lebih jika mereka gembira dan selesa dengan anda, termasuklah dari bidan dan pakar penyusuan.

Keikhlasan anda ada balasannya. Kemungkinan jururawat-jururawat ini juga tidak kisah untuk membantu tengok-tengokkan bayi jika anda tidak bersama-sama dengannya.

Saya percaya bayi saya adalah antara yang paling digemari di wad saya tempoh hari. Mungkin kerana dia sangat comel, tetapi juga kerana saya ambil masa untuk beramah mesra dengan jururawat yang menjaga kami. Sesekali kalau ada buah tangan, kongsi-kongsi lah dengan mereka juga.

2) Bawa lampu tidur kuning!

Anda tak perlu merasa terikat dengan lampu pendarflour atau kegelapan ketika di dalam wad. Bawa lampu tidur berwarna kuning untuk menjadikan wad anda lebih selesa dan tenang. Lagipun, lampu kuning ini juga membantu jadikan gambar kenangan lebih cantik!

3) Bawa tisu basah (wet wipes)

Tisu basah ini bukan untuk bayi sahaja, tetapi sebenarnya untuk anda juga! Simptom-simptom selepas pembedahan kadangkala melibatkan perpeluhan yang berlebihan dan boleh menjadi tak selesa.

Anda mungkin tidak boleh mandi, jadi gunakan tisu basah ini untuk membersihkan diri. Gula-gula pudina dan sekotak tisu juga sangat berguna untuk merasa lebih selesa dan “bersih”.

4) Buat persiapan pengumunan secara digital

Anda mungkin tidak ada masa untuk menaip mengenai khabar gembira anda setelah melahirkan, jadi gunakan app seperti Canva untuk mencipta poster pengumuman yang boleh dihantar kepada keluarga dan rakan taulan.

Anda juga boleh gunakan peluang ini untuk memberitahu mereka jika anda tidak bersedia untuk tetamu dan perlu masa untuk berehat. Senaraikan nama mereka yang perlu dimaklumkan, dan serahkan pada suami atau rakan anda untuk mengumumkannya.

5) Cuba tinggal lebih lama

Jika anda mampu, cuba tinggal satu malam lebih lama di hospital untuk memastikan anda dan bayi benar-benar sihat dan bersedia untuk pulang.

Kehadiran bayi baru kadangkala dipenuhi dengan kerisauan, jadi sementara masih di wad, perhatian dari jururawat dan doktor juga boleh membantu berikan rasa lebih yakin dan selamat.

Anda juga boleh berehat lebih lama dan ambil peluang untuk tidur sementara bayi anda dijaga oleh mereka.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Michelle Lim-Chua

Terjemahan oleh : Ayuni A. 

Author

Comments are closed.