fbpx
Banner

Sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini, tahukah anda, anggaran kematian akibat kanser di hospital- hospital kerajaan di seluruh Malaysia, meningkat sebanyak 50 peratus sejak tahun 1996?

Perbandingan selama 20 tahun (1996 sehingga 2016) mendapati, kematian akibat kanser hanya pada 8.9% pada tahun 1996, melonjak kepada 13.6% pada tahun 2016. Statistik pada tahun 2016 mendapati, kanser adalah punca kematian ketiga tertinggi di hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

2 jenis kanser paling kerap menyerang kaum lelaki di Malaysia ialah kanser kolon dan kanser paru- paru, manakala bagi kaum wanita, 3 jenis kanser paling kerap  menyerang ialah kanser payu dara, kanser kolon dan kanser serviks.

Secara umumnya, penyakit kanser berlaku apabila sel kanser di dalam tubuh badan manusia sudah tidak dapat dikawal, berkembang biak secara pesat dan luar biasa. Apabila ini berlaku, sel- sel kanser ini akan merosakkan sel tubuh yang lain dan seterusnya memberi kesan kepada organ manusia.

Apabila bercakap tentang kanser, pada kebanyakan masa kita terlalu fokus mencari jawapan kepada punca kanser tersebut. Lihat saja tajuk berita di media sosial, mengaitkan punca kanser dengan pelbagai perkara dengan begitu mudah sekali, sedangkan terdapat banyak faktor menyumbang kepada berlakunya penyakit ini.

American Cancer Society menggariskan 4 punca umum kepada penyakit kanser iaitu:

      • tabiat merokok
      • pemakanan dan aktiviti harian (masalah obesiti, pengambilan alkohol, dan gaya hidup tidak aktif)
      • radiasi dan sinar uv matahari
      • serangan virus dan jangkitan penyakit

Selain daripada itu, faktor persekitaran yang tercemar juga dilihat sebagai penyumbang kepada penyakit kanser, apabila kita terdedah kepada bahan- bahan karsinogen (penyebab kanser).

Mencari punca- punca kanser di sekeliling kita hanya akan meningkatkan rasa risau dan boleh memberi tekanan, kerana kita tahu tidak ada satu pun yang boleh disahkan sebagai punca tunggal.

Dan kebiasaannya kita akan meluangkan masa yang banyak mencari punca, apabila sudah terlewat. Jadi sudah sampai masanya kita mengambil tindakan proaktif dengan mencari jalan mencegah penyakit kanser, apalagi dengan status kita sebagai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bergantung kepada kita.

Terdapat 5 langkah yang boleh diambil (tanpa bertangguh!) untuk mencegah risiko terkena penyakit kanser:

1. Berhenti merokok sekarang

Pertama, jika anda masih merokok, berhentilah dengan segera. Merokok merupakan punca utama kanser paru- paru telah mengancam nyawa majoriti lelaki di negara ini yang juga berperanan sebagai bapa, suami dan anak.

Berhenti merokok bukan saja usaha paling utama menyelamatkan diri anda daripada kanser, tetapi juga dapat mencegah risiko yang dihadapi oleh ahli keluarga yang lain. Alangkah hebatnya perokok yang berhenti demi nyawa insan yang disayangi!

2.  Kawal berat badan

Kedua, berusahalah untuk menurunkan berat badan dan cari jalan untuk kekal pada berat idea dengan cara yang sihat. Obesiti meningkatkan risiko terkena penyakit kanser termasuklah kanser leher, payudara, ovari, hati, buah pinggang, usus, pankreas dan payu dara.

Semakin lama anda obes, semakin tinggi risiko untuk anda mendapat kanser. Dan lebih merisaukan masalah obesiti di negara ini semakin merungsingkan, bermula pada usia kanak- kanak lagi. Bermakna bukan saja golongan dewasa seperti ayah dan ibu berisiko, tetapi juga pada anak- anak.

3. Amalkan gaya hidup yang aktif

Ketiga, bergerak aktif melalui senaman setiap hari boleh mengurangkan risiko terkena penyakit kanser. Senaman memberi kelebihan yang banyak kepada usaha pencegahan kanser kerana ia secara tidak langsung dapat mengurangkan stress, meningkatan “hormon gembira”, dan dapat mengurangkan berat badan.

Contoh mudah bagaimana senaman dapat mencegah kanser kolon misalnya ialah, apabila kita bergerak aktif, makanan dapat dihadam dengan baik, dan proses pembuangan dapat berjalan lancar, makan risiko kanser kolon dapat dikurangkan. Jadikan senaman sebagai salah satu aktiviti berkualiti anda bersama anak-anak.

4. Kawal stres dan tekanan

Keempat, sayangi diri sendiri dengan mengawal tekanan dan belajar mencari jalan melepaskan tekanan harian dengan cara yang sihat. Sekiranya anda sering berada dalam situasi yang tertekan, anda berkemungkinan mencari jalan melegakan tekanan dengan cara yang tidak sihat seperti memakan makanan yang tidak sihat seperti yang terproses dan tinggi kandungan gula.

Bayangkan kitaran ini akan berlangsung setiap hari selama mana anda berasa tertekan, dan tidak tahu cara untuk berhenti, dan tanpa disedari risiko kanser semakin meningkat.

Bersenam, bergaul dan memulakan hobi baru antara jalan yang anda boleh pilih bagi meredakan tekanan. Dan jangan lupa, mintalah bantuan sekiranya anda berasa terlalu buntu untuk keluar daripada tekanan tersebut.

5. Buat pemeriksaan kesihatan secara berkala

Kelima, buat pemeriksaan rutin kesihatan secara berkala bagi memastikan anda tahu apa yang perlu anda buat bagi mencapai tahap kesihatan optimum. Pemeriksaan tahunan untuk kesihatan payu dara, pangkal serviks, paras gula dalam darah dan paras kolesterol boleh dilakukan dengan mudah dan dengan belanja yang minima (malah ianya percuma di klinik kesihatan milik kerajaan).

Jadikan pemeriksaan kesihatan ini sebagai satu kewajipan dalam keluarga, tanpa menunggu apa- apa simptom penyakit muncul dalam diri masing- masing. 

Persepsi masyarakat tentang kanser seharusnya diubah daripada berbentuk reaktif kepada proaktif.  Usaha mencegah kanser mesti dilihat daripada sudut yang lebih menyeluruh iaitu kesejahteraan dan kualiti hidup – bukan sekadar hanya takut kepada penyakit semata- mata.

Paling penting, sayangilah diri kita supaya kita boleh menyanyangi keluarga dan anak-anak dengan lebih baik lagi.

Author

Comments are closed.