fbpx
Banner

Jawapannya, boleh dan tak boleh. Rasa keliru, kan? Nak tahu ibu mengandung boleh puasa, sila baca sampai habis.

Puasa merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan jika memenuhi syarat sah puasa iaitu beragama Islam, baligh, berakal, sihat dan bermuqim (tak bermusafir). Bagi ibu mengandung, ada beberapa situasi yang membolehkan mommy buka puasa dengan segera.

Sebagai seorang mommy-to-be, mommy mesti berasa risau dengan bayi dalam kandungan semasa puasa kan? Malah, ada yang risau dengan kesihatan diri sendiri termasuk kesihatan bayi dalam kandungan. Jika mommy ada GDM atau kencing manis semasa hamil, sila minta nasihat doktor mengenai puasa. Bahaya kalau mommy tiba-tiba hypo kerana boleh pitam.

Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

ibu mengandung boleh puasa

Menurut kenyataan daripada Mufti Wilayah Persekutuan menjawab persoalan mengenai isu ini di laman web rasmi mereka, ibu mengandung wajib puasa di bulan Ramadan tetapi diharuskan berbuka atas sebab-sebab tertentu iaitu mudarat ke atas diri sendiri dan bayi dalam kandungan atau mudarat ke atas bayi dalam kandungan.

Janganlah kita mudah kecam ibu hamil yang tak mampu berpuasa kerana mereka menjaga satu lagi nyawa dalam badan mereka. Fahami keadaan kesihatan mereka dan beri sokongan supaya mereka tak rasa bersalah atau takut bila tak mampu berpuasa.

Mudarat ke atas diri dan bayi

ibu mengandung boleh puasa

Jika mommy takut berlaku mudarat ke atas diri sendiri saja atau takut ke atas diri dan bayi dalam kandungan, maka dalam hal ini mommy wajib qadha (ganti) puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain seperti keadaan orang sakit yang perlu qadha puasa.

Dalam situasi ini, ada mommy risau dirinya akan pitam atau pengsan jika terlampau lapar semasa berpuasa. Seterusnya, ia akan membahayakan si kecil dalam kandungan jika apa-apa berlaku pada mommy.

Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam keadaan musafir (maka bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa mengqadha (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain

Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah, ayat 184

Mudarat ke atas bayi dalam kandungan

ibu mengandung boleh puasa

Situasi kedua, jika mommy takut akan berlaku mudarat ke atas bayi dalam kandungan saja, mommy boleh berbuka puasa tetapi wajib qadha puasa dan mengeluarkan fidyah sebanyak satu mud (cupak) sebanyak hari-hari puasa yang ditinggalkan.

Dalam situasi ini, doktor mengesahkan mommy sihat dan boleh berpuasa seperti biasa, tetapi mommy tetap risaukan bayi dalam kandungan dan memilih untuk tidak berpuasa. Boleh untuk berbuka puasa tetapi mommy perlu ganti puasa dan bayar fidyah ya sebelum bulan Ramadan tahun depan. Catat awal-awal dalam buku nota atau kalendar berapa hari tinggal puasa supaya senang ganti nanti.

Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya untuk berpuasa ( kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu member makan kepada orang miskin

Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 184

Ibu mengandung wajib puasa

Walau bagaimanapun, ibu mengandung boleh puasa di bulan Ramadan. Namun, golongan ini diberi kelonggaran syarak untuk berbuka jika mengalami salah satu situasi di atas. Ia terpulang kepada individu, ada mommy mempunyai tahap kesihatan bagus dan tiada masalah berpuasa, tetapi ada mommy tak mampu bertahan untuk puasa hingga petang.

Kenali tahap kesihatan mommy sendiri. Jangan paksa diri jika betul-betul tak mampu untuk berpuasa. Puasa boleh ganti, nyawa bayi tiada galang gantinya. Minta pandangan ustaz atau pakar agama Islam untuk mendalami pengetahuan mengenai kelonggaran puasa bagi ibu hamil jika mommy perlukan maklumat selanjutnya.

Jika mommy yakin dan percaya keupayaan diri mampu berpuasa, cari makanan lebih berkhasiat supaya lebih lama kenyang. Pilih juadah berbuka puasa lebih sihat agar bayi dalam kandungan menerima nutrien mencukupi. Pemakanan juga penting kerana apa mommy makan, itulah yang akan bayi terima sebagai nutrien dalam kandungan mommy.

Mahu info lanjut mengenai penyusuan di bulan puasa? Mommy boleh klik sini.

Author

Comments are closed.