fbpx
Banner

Pernahkah anda terasa waktu berlalu begitu pantas dalam kehidupan seharian sehinggakan anda terlupa untuk berhenti seketika, menarik nafas panjang dan memberi tumpuan kepada diri anda sendiri? 

Lumrah wanita terutamanya para ibu mempunyai terlalu banyak tugasan dan tanggungjawab seperti menjaga keluarga, anak-anak dan memasak, walaupun seharian sibuk dengan urusan lain seperti bekerja sepenuh masa. Ia adalah suatu kebenaran dan menjadi semakin biasa di dalam dunia moden ini dan juga mempengaruhi kesihatan mental para ibu.

Secara ringkasan, ini 10 tips penjagaan diri untuk kesihatan mental!

  1. Anda penting. Ambil masa untuk memikirkan tentang diri sendiri
  2. Mengenal pasti, mengakui dan melepaskan tekanan
  3. Luangkan masa untuk membelai diri
  4. Diet yang seimbang penting!
  5. Minum air yang secukupnya
  6. Meditasi
  7. Bersenam
  8. Berhobi
  9. Luangkan ‘Alone Time’
  10. Tidur secukupnya

Kehamilan pula adalah sesuatu yang diinginkan oleh setiap wanita namun penuh dengan kejutan, stres dan ketidakpastian. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan mahu tidak mahu, ia akan mula membebani fikiran.

Ketika hamil, badan kita akan melalui fasa perubahan hormon yang tidak konsisten yang menyebabkan pelbagai simptom yang nampak lemah pada mata kasar masyarakat. Di kala itu, kita amat mudah untuk dinilai sebagai lemah, tidak produktif lalu menyebabkan kita merasa rendah diri dan bersalah.

Namun begitu, fikirkan secara mendalam : Menjadi ‘lemah’ bukan satu pilihan yang salah, dan kita tidak seharusnya berasa malu kerana mempunyai perasaan sedemikian. Menjadi ‘lemah’ sebenarnya adalah satu panggilan untuk memberi masa dan tumpuan kepada diri kita.  Ini adalah satu isu psikologi yang perlu ditangani.

Selepas melahirkan, seorang ibu bekerja pula masih perlu memilih kerjaya dan terpaksa meninggalkan bayi kesayangan untuk kembali bekerja. Nampak mudah, namun pilihan yang dibuat pada masa itu adalah keputusan yang sukar bagi kebanyakan wanita.

Jadi, bagaimanakah untuk menanganinya?

Secara amnya, langkah pertama ke arah kesihatan mental yang baik ialah dengan menjaga kebajikan diri, mengurangkan tekanan, dan kenalpasti ‘coping mechanism’, iaitu kemahiran menguruskan emosi. Pengurusan emosi boleh dipelajari melalui seminar atau kelas yang berkaitan.

Selain itu, cuba amalkan beberapa tips yang dikongsi oleh kebanyakan wanita dan juga jurulatih psikososial ini:

1) Ambil masa untuk memikirkan tentang diri sendiri. Jadi lebih positif dan yakini bahawa anda adalah seorang wanita atau ibu yang hebat dalam apa yang anda lakukan.

2) Mengenal pasti, mengakui dan melepaskan tekanan atau kebimbangan anda.

3) Luangkan masa untuk membelai diri seperti mendapatkan khidmat mengurut di pusat spa.

4) Makan makanan yang seimbang kerana ia dapat membantu perubahan hormon. Lebihkan sayur-sayuran dan kurangkan karbohidrat dan juga makanan terproses atau segera dalam diet anda.

5) Minum air yang secukupnya. Ia dapat membantu mengurangkan tekanan fikiran, mengurangkan toksik di dalam badan dan melancarkan peredaran darah.

6) Meditasi boleh memberi kesan positif dalam kehidupan seharian anda termasuk membantu mengurangkan tekanan, menguruskan emosi dengan baik, meringankan gangguan mental, dan membantu anda memberikan lebih fokus kepada anak-anak anda.

7) Bersenam atau beriadah boleh mencegah dari pelbagai penyakit dan dapat mengurangkan berat badan yang keterlaluan. Ia menghasilkan hormon endorfin yang boleh meningkatkan keyakinan dengan kehidupan seharian anda dan keputusan yang perlu anda lakukan setiap hari. Ia juga dapat mengimbangkan reaksi kimia di dalam otak anda.

8) Pilih satu hobi. Antara hobi yang boleh anda cuba adalah menjahit, membuat kraftangan, membaca, penulisan jurnal, melukis, fotografi, menari dan banyak lagi.

9) Luangkan masa sendiri (alone time). Pergi bercuti atau keluar bersama teman-teman atau bersendirian. Tidak salah sekiranya anda memilih untuk bersendirian untuk beberapa jam untuk lari dari rutin kebiasaan. Anda boleh meminta sokongan dari ahli keluarga, suami, atau mencuba khidmat pengasuh atau ‘baby-sitter’ yang bertauliah untuk menjaga anak-anak anda untuk beberapa jam.

10) Tidur secukupnya. Memang sukar bagi kita untuk mendapat tidur yang secukupnya terutama apabila mempunyai tangunggjawab yang tidak pernah putus di rumah mahupun di tempat kerja. Minta sokongan dan bantuan keluarga atau rakan sementara anda tidur selama 1-2 jam. Ia tidak salah dan jangan rasa bersalah kerana tidur yang cukup dapat membantu anda terus fokus dalam menangani masalah atau kerumitan fikiran yang anda sedang lalui.

Ke arah kesihatan mental yang lebih baik

Sekiranya anda akan kembali bertugas selepas mengakhiri cuti bersalin tetapi belum bersedia, cuba berbincang bersama majikan anda. Mungkin anda boleh pertimbangkan pilihan bekerja secara flexi, contohnya bekerja 4 hari seminggu (sekiranya kerja anda adalah 5 hari setiap minggu), bekerja dari rumah dan seumpamanya. Bekerja dalam jadual yang lebih fleksibel boleh membantu mengurangkan tekanan mental kita.

Kesihatan mental untuk ibu, 10 tips penjagaan diri!Oleh itu, dalam kesibukan kita mencari kehidupan yang selesa tanpa sebarang kebimbangan, janganlah kita lupa untuk mencintai diri kita dan mengamalkan penjagaan diri seperti di atas.

Percayalah, tumpuan yang anda berikan pada diri sendiri akan dapat mengurangkan tekanan di dalam hidup seharian anda dan fikiran anda akan menjadi lebih lapang. Ia juga mengurangkan risiko anda untuk menghidapi pelbagai masalah kesihatan mental seperti stres, kebimbangan dan kemurungan.


Ditulis oleh : Marlini Ismail

Marlini ialah seorang ibu kepada 4 orang cahayamata. Dia bekerja di dalam sektor kemanusiaan di Singapura dan mempunyai kepakaran dalam bidang Kaunseling & Pertolongan Cemas Psikososial. Selain itu, dia juga adalah seorang doula dan gemar menulis mengenai topik kewanitaan, keluarga, kesihatan mental dan kehidupan.

Author

Comments are closed.