fbpx
Banner

Selepas baca artikel ini, anda akan lebih faham mengapa surirumah juga mengalami burnout:

  • Bukan wanita bekerja sahaja mengalami burnout.
  • Surirumah juga galas tanggungjawab yang besar sama seperti wanita bekerjaya.
  • Ada beberapa faktor membuatkan surirumah burnout.

Maksud burnout

burnout

Pernahkah mommies yang bergelar surirumah berasa terlampau letih secara fizikal dan mental selepas seharian menjalani kehidupan? Menjaga anak, mengemas rumah, memasak dan sebagainya tanpa bantuan orang lain hinggakan rasa tak sanggup nak menghadapi hari esok?

Menurut pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria, menjelaskan di Harian Metro bahawa ‘burnout’ dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan kepenatan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan.

Istilah burnout ini diperkenalkan oleh pakar psikologi, Herbert Freudenberger, pada tahun 1974, tetapi diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu sindrom klinikal pada tahun 2019 lalu. Istilah ini digunakan bagi menggambarkan satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan fizikal dan psikologikal disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan profesional, lapor Astro Awani.

Kenapa golongan ibu selalu burnout?

burnout

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu adalah satu tanggungjawab yang berat. Anda memerlukan sistem sokongan yang kuat untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Bayangkan, ada sesetengah mommies tiada sistem sokongan daripada pasangan atau keluarga. Macam mana mereka nak minta tolong jika mereka tak larat nak jaga anak, tak sihat atau perlu berehat? Dalam sehari, mommy melakukan pelbagai rutin harian tanpa cuti dan tanpa alasan penat. Malah, mereka perlu ulang rutin harian yang sama tanpa bantuan jika pasangan sibuk bekerja.

Burnout jaga 5 orang anak!

burnout

Kali ini, penulis ingin berkongsi kisah seorang ibu yang juga surirumah selalu berasa burnout menjaga lima orang anak. Puan Yana, 34 tahun, bercerita kisah dirinya mengapa dia burnout sebagai surirumah sepenuh masa. Ini kisahnya:

Saya seorang surirumah sepenuh masa sejak berkahwin 11 tahun lalu. Saya berasa bersyukur dan sangat gembira dikurniakan anak-anak yang sangat comel. Kenangan terindah dalam hidup bila dapat melihat kesemua anak membesar di depan mata sendiri. Anak pertama berusia 11 tahun, anak kedua 8 tahun, anak ketiga dan keempat merupakan kembar berusia 4 tahun manakala anak kelima baru berusia 2 tahun.

Rutin harian saya bermula awal pagi dengan menyiapkan sarapan untuk anak sulung dan kedua sebelum ke sekolah. Selepas itu, baru siapkan anak-anak lain dengan mandikan dan bagi sarapan. Kemudian, baru saya akan sidai baju dan memasak untuk makan tengah hari pulak.

Aktiviti petang bersama anak-anak pula lebih kepada santai-santai dan lepas tu pantau kerja sekolah anak sulung dan kedua. Biasanya, anak-anak akan tidur seawal pukul 9 malam selepas semua kerja sekolah selesai dan siap susun jadual sekolah untuk keesokan hari.

Selalunya, kami banyak bergurau senda berbual bertanya apabila mereka menonton rancangan kegemaran dan kadang-kadang mereka ada membantu kemas permainan masing-masing.

Berdiam diri hingga anak habis mengamuk

burnout

Walau bagaimanapun, saya berasa sangat penat untuk membahagikan tumpuan kelima-lima anak bila mereka mahukan perhatian lebih daripada saya. Bila anak-anak mengamuk, saya cuba kawal situasi dengan ambil keputusan untuk berdiam diri seketika sehingga mereka habis mengamuk atau memberontak.

Saya bukanlah seorang ibu yang sentiasa garang, tetapi ada masa garang lah jugak bergantung kepada situasi pada masa itu.

Saya berehat selepas siap semua urusan harian iaitu dalam 10 minit. Selebihnya banyak berehat pada waktu malam bila anak-anak sudah tidur. Kali terakhir saya buat hobi atau perkara kegemaran seingat sebelum kahwin dulu, kira-kira 11 tahun dulu.

Malah, kali terakhir saya bercuti bersama keluarga pada hujung tahun 2019 di Cameron Highlands, Pahang. Masa tu tengah sarat mengandung anak bongsu.

Suami tolong bila disuruh saja

Suami bantu buat kerja-kerja rumah bila disuruh saja. Dia pun tak tolong tengokkan anak-anak bila saya penat. Saya ada penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi) disebabkan burnout. Apa saya buat bila penat ialah berehat seketika dan ambil nafas. Saya rasa burnout hampir setiap hari. Diharap suami dapat membantu saya menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak bersama pada masa akan datang.

Bincang dengan pasangan atau ahli keluarga terdekat

Semoga Puan Yana diberi kesihatan yang baik dan anak-anak dapat membalas pengorbanan puan dalam membesarkan mereka menjadi anak-anak yang berbakti kepada keluarga satu hari nanti. Penulis yakin ramai mommies di luar sana berkongsi perasaan yang sama. Mungkin sudah tiba masanya untuk berbincang dengan pasangan atau ahli keluarga terdekat mengenai situasi sebenar yang mommy alami supaya dapat meringankan beban mommy. Kita ni dapat beberapa jam rehat tanpa anak pun dah cukup sebenarnya asalkan dapat berehat sekejap.

Suka artikel ini? Baca Kisahku: Postpartum Depression Muncul Selepas Anak Kedua Lahir dan Kisahku: Menempuh Trimester Ke-4 Dengan Bayi High Demand.

Author

Comments are closed.