fbpx
Banner

Memiliki zuriat merupakan impian setiap wanita. Namun, ramai kurang bahawa menyedari anda berisiko mengalami postpartum depression dalam tempoh selepas melahirkan anak hingga setahun kemudian. Menurut Michel Bourin, sindrom “baby blues” berlaku kepada 80 peratus wanita selepas mereka melahirkan anak.

Selain bayi, mommy juga perlu diutamakan terutama jika ia kelahiran kedua atau lebih. Doktor dan penyelidik menggunakan istilah Postpartum Depression (PPD) bagi merujuk kepada kemurungan bukan psikotik yang berlaku selepas melahirkan anak.

Anak kedua mengalami prolong jaundice

Seorang mommy kepada tiga orang anak, Puan Aida (bukan nama sebenar), 34 tahun, berkongsi kisah dirinya mengalami Postpartum Depression selepas melahirkan anak kedua.

postpartum depression

Saya mengalami kemurungan selepas melahirkan anak kedua. Ia berlaku selama lebih kurang tiga bulan dan bermula semasa anak mengalami penyakit kuning (prolong jaundice) yang berpanjangan dan semasa saya berusaha mencari arah hidup untuk diri selepas berhenti kerja ketika hamil empat bulan akibat kejadian tidak diingini berlaku di tempat kerja.

Saya tinggal bersama ibu bapa saya sementara menunggu rumah baru kami siap. Kami menghadapi masalah dengan kontraktor rumah. Selain itu, agak sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan kenyataan bahawa saya sudah memiliki dua orang anak.

Tempoh penyesuaian itu agak mencabar selain banyak perkara di sekeliling saya turut berubah. Saya dan suami berjuang untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru (mempunyai dua anak) serta cabaran tinggal bersama ibu bapa saya, rumah yang tidak lengkap (terpaksa menukar kontraktor, masalah kewangan) dan cabaran menyesuaikan diri menjadi suri rumah sepenuh masa.

Beberapa faktor mempengaruhi kemurungan

postpartum depression

Menurut kajian (Kendell 1987, Paffenbarger 1982), wanita berkemungkinan tinggi mengalami gangguan emosi yang teruk selepas bersalin serta lebih berisiko tinggi untuk dimasukkan ke hospital psikiatri semasa bulan pertama selepas kelahiran berbanding waktu kehidupan lain. Untuk pengetahuan anda, PPD boleh berlaku kepada mana-mana mommy yang baru melahirkan anak jika emosi mereka tidak stabil.

Golongan profesional kesihatan tidak mengetahui punca PPD, namun mereka beranggapan bahawa beberapa faktor seperti fizikal, hormon, sosial, psikologi dan emosi mendorong ke arah kemurungan selepas bersalin. Selain itu, ia juga dikenali sebagai model depresi biopsikososial dan diterima oleh kebanyakan penyelidik serta doktor.

Minta sokongan suami dan keluarga

postpartum depression

Apa yang membuat saya merasa lebih baik ialah saya dekatkan diri dengan Tuhan. Saya terus berdoa dan meminta bimbingan daripadaNya agar Dia meringankan jalan saya menjadi ibu baru kepada dua orang anak dan menyelamatkan perkahwinan saya. Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikan masalah selepas itu. Saya memberitahu suami dan ibu bapa apa yang saya lalui, bagaimana perasaan saya, dan mereka menyokong saya serta bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kemurungan saya.

I always count my blessings. Alhamdulillah untuk setiap hari. Rakan-rakan baik saya juga menyokong dan terus mengingatkan saya bahawa saya sangat bertuah dalam kehidupan, seperti mempunyai anak-anak yang sihat walaupun dulu mengalami kesakitan yang teruk setiap bulan sejak remaja dan proses kehamilan yang sukar.

Selain itu, saya berjaya atasi kemurungan selepas bersalin dengan lebih menghargai diri sendiri dan belajar berniaga. Saya mendaftarkan diri sebagai ejen menjual kosmetik untuk jenama tempatan, dan selepas itu berhenti untuk memulakan jenama saya sendiri dengan rakan-rakan yang juga mengalami kesukaran dalam hidup mereka.

Kami saling membantu dan sekarang saya mempunyai tiga cahaya mata, bahagia dengan hidup saya dan pilihan yang saya buat walaupun pada awalnya saya menghadapi kesukaran.

Kesimpulannya, antara jalan penyelesaian Puan Aida lakukan untuk mengatasi PPD adalah:

  • Dekatkan diri dengan Tuhan.
  • Kongsi masalah dengan suami.
  • Kongsi masalah dengan ibu bapa.
  • Kongsi masalah dengan rakan terdekat.

Perlu diingatkan jika mommy ada mengalami kemurungan selepas bersalin, seeloknya mommy minta bantuan pakar seperti pakar kaunseling atau doktor bertauliah. Anda boleh dapatkan kaunseling dan diagnosis yang tepat berkaitan postpartum depression dan cara untuk atasinya. Usah risau, anda tidak keseorangan dan ramai di luar sana yang ambil berat serta mahu menolong anda.

Suka artikel ini? Baca 4 Tips Jaga Kesihatan Mental Selepas Bersalin dan Pengalaman melahirkan anak pertama yang penuh pengajaran

Author

Comments are closed.