fbpx
Banner

Sedihnya jika kedua-dua pasangan tak dapat kahwin bersama kerana Thalassemia.

Insiden menyedihkan ini berlaku apabila pasangan yang merancang untuk berkahwin mengetahui pasangan mereka atau kedua-duanya pembawa genetik Thalassemia. Alangkah bagusnya jika tahu lebih awal, mungkin hati tak terlalu sayang supaya tidak terluka sebegini.

Penyakit Thalassemia

kerana thalassemia

Thalassemia merupakan sejenis penyakit boleh diwarisi dari genetik dan boleh menyebabkan:

  • Pucat semakin ketara
  • Sentiasa lemah dan resah
  • Anemia yang serius sehingga menyebabkan susah bernafas
  • Jaundis
  • Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa
  • Tumbesaran terbantut
  • Perubahan pembentukan di bahagian muka apabila kanak-kanak semakin membesar  

Ada yang hanya menjadi pembawa dan juga menghidap Thalassemia seperti Thalassemia intermedia dan Thalassemia major seperti penerangan ujian Thalassemia di sini. Ada beberapa kes pasangan tak dapat meneruskan perkahwinan disebabkan Thalassemia.

‘Cinta tak kesampaian’ kerana Thalassemia

Siapa yang mahu berpisah dengan pasangan tanpa sebab yang kukuh, kan? Lebih sedih bila mengetahui anda terpaksa berpisah kerana penyakit dan selamanya tak dapat bersama dengan orang tersayang. Kami kongsikan tiga kisah menyedihkan yang berkaitan Thalassemia:

1. Pelamin anganku musnah gara-gara Thalassemia

kerana thalassemia

Menurut Columbia Asia dan SinarPlus, seorang penghidap Thalassemia, Nadia Muhammad (bukan nama sebenar), 38 tahun, menderita penyakit ini sejak kecil.

Bukan sahaja dirinya, seorang adiknya turut terkesan. Malah, mereka berdua akan bersama-sama melakukan transfusi darah sebulan sekali.

“Ibu saya seorang pembawa Thalassemia, sementara bapa saya tidak. Namun, baka ibu itu diwarisi oleh kami berdua,“ ujar Nadia yang juga menganggap dirinya seorang yang malang.

“Tunang saya telah meninggalkan saya sebaik mengetahui saya pembawa Thalassemia. Pada awalnya saya tak beritahu dia kerana tak sanggup berpisah, namun rahsia itu pecah apabila rakan saya sendiri bongkarkan kebenaran. Cincin pertunangan telah dipulangkan selepas dua tahun kami bertunang,” jelasnya.

“Katanya, dia tak mahu nanti bakal anak kami akan mendapat macam-macam penyakit. Saya sangat tertekan kerana saya juga mahu bahagia seperti orang,“ kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu lagi sambil menangis teresak-esak.

Sejak peristiwa pahit itu, dia mengalami masalah kemurungan telah diberhentikan kerja gara-gara prestasi kerjanya yang tidak memberangsangkan.

2. “Kami tak mampu nak tanggung sesuatu yang tak pasti”

kerana thalassemia

Laporan daripada Berita Harian, pasangan tunang yang juga kedua-duanya doktor membuat keputusan untuk membatalkan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung selepas mengetahui kedua-duanya pembawa Thalassemia.

Dia yang dikenali sebagai Dr Farra, sudah lama mengetahui bahawa tunangnya pembawa Thalassemia. Namun, dia tergerak hati untuk buat ujian penyakit itu selepas majlis pertunangan membawa mimpi ngeri buat mereka kerana keputusan ujian menunjukkan Farra juga pembawa Thalassemia.

“Dia adalah pembawa. Dia beritahu saya dari awal lagi. Tapi saya sangka saya normal. Tak pernah buat pemeriksaan pun. Saya buat pemeriksaan lepas kami bertunang, sebagai langkah berjaga-jaga. Tapi itu yang saya sangka. Rupa-rupanya saya pun pembawa. Jadi, risiko untuk mendapat Talasemia Major tu ada. Kami tak mampu nak tanggung sesuatu yang tak pasti,” jelasnya di laman sosial Twitter.

kerana thalassemia

Dr Farra dan pasangan menghabiskan beberapa bulan untuk berbincang sebelum membuat keputusan untuk berpisah kerana ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk diterima terutamanya membabitkan masa depan mereka berdua.

Malah, keputusan itu juga dicapai selepas mengenangkan kembali keadaan kanak-kanak yang menghidap Thalassemia ketika mereka berdua bertugas di bahagian Pediatrik dulu.

“Kami ingat kanak-kanak yang kami jaga sebelum ni. Kami kena masukkan darah mereka setiap malam, dan mereka perlu bergantung kepada pemindahan darah. Walau sesedih mana yang kami rasakan, mereka (kanak-kanak) juga memberontak,” katanya.

“Mereka luahkan rasa mengapa perlu menghidapi penyakit seumpama itu. Jadi saya bersetuju (untuk berpisah) terutamanya bila dia (bekas tunang) kata, kita tidak boleh pentingkan diri. Kita jatuh cinta dan dapat bertemu juga adalah satu rahmat. Tapi, tolong kasihankan anak-anak nanti,” sambungnya lagi. Jika anda dan pasangan sedang TTC (Trying To Conceive), boleh cuba beberapa rawatan kesuburan yang kami kongsikan ini.

3. Tak tahu hidap Thalassemia semasa hamil

kerana thalassemia

Berbeza pengalaman dengan wanita hamil ini, Anis Nur Elyani Rosdi, 27 tahun, mengetahui dirinya pembawa Thalassemia semasa sedang hamil 17 minggu, lapor mStar.

“Doktor suruh buat saringan Talasemia. Bila buat saya memang pembawa Beta Talasemia. Dah keluar keputusan saya, doktor suruh buat husband la pula, jadi bila keluar keputusan dia pun pembawa,” ujarnya.

“Masa keluar keputusan saya okey lagi tapi bila keluar keputusan ujian suami juga pembawa, saya jadi down sangatlah,” jelasnya yang juga bimbang dengan bayi dalam kandungan berkemungkinan menghidap penyakit berkenaan.

“Kita dapat tahu saya sudah 17 minggu jadi doktor cuma fokus untuk teruskan kandungan. Doktor kata 25 peratus dia mungkin penghidap, 50 peratus pembawa dan 25 peratus dia normal. Untuk kehamilan akan datang doktor minta saya rancang dahulu,” tambahnya.

Dia dan suaminya, Ahmad Asyraf Hafidzin Mohamad, 27 tahun, tahu mengenai penyakit Talasemia adalah pada April 2021.

Walau bagaimanapun, pasangan ini telah dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Athia El Inara berusia tiga bulan.

Suka artikel ini? Baca banyak lagi kisah-kisah menarik mengenai suami isteri di sini.

Author

Comments are closed.