fbpx
Banner

Rawatan kesuburan juga penting bagi membantu pasangan yang sedang trying to conceive (TTC) untuk mendapatkan zuriat.

rawatan kesuburan

Selepas pasangan membuat ujian kesuburan, langkah seterusnya ialah lakukan rawatan kesuburan jika mempunyai masalah kesuburan. Perlu diingatkan bahawa anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan ini.

Rawatan kesuburan bermaksud merawat ketidaksuburan yang dialami dengan ubat-ubatan yang merangsang pengeluaran telur atau sperma, atau prosedur yang melibatkan pengendalian telur, sperma, atau embrio.

IUI

Menurut MyHEALTH, IUI merupakan satu rawatan kesuburan dengan cara meletakkan sperma suami yang terpilih (bergerak pantas) ke dalam rahim isteri semasa ovulasi. Ia perlu dilakukan mengikut prosedur makmal bagi memisahkan sperma bergerak pantas berbanding kurang atau tidak bergerak manakala tiub fallopio pula haruslah berada dalam keadaan normal untuk rawatan ini.

Untuk pengetahuan anda, IUI dilakukan antara hari ke-12 dan ke-16 kitaran bulanan (hari pertama haid) jika tidak menggunakan ubat kesuburan. Sampel sperma suami diambil dan dicuci supaya ia bergerak pantas dan akan diletakkan di dalam kateter kecil (tiub) kemudian akan dimasukkan ke dalam rahim.

Jika menggunakan ubat kesuburan (merangsang ovulasi), imbasan ultrabunyi faraj akan digunakan untuk mengetahui perkembangan telur. Selepas telur matang, isteri akan diberi suntikan hormon supaya telur boleh “menetas” keluar. Kemudian, sperma akan dimasukkan selepas 36-40 jam seterusnya.

IVF

rawatan kesuburan

Istilah IVF adalah sinonim dengan “bayi tabung uji” ataupun dikenali dengan persenyawaan in vitro. Telur dikeluarkan dari ovari isteri dan disenyawakan dengan sperma suami di dalam makmal semasa rawatan IVF dijalankan. Difahamkan, rawatan ini boleh disyorkan jika suami isteri:

  • Diagnosis menunjukkan pesakit mengalami kemandulan yang tidak diketahui punca (unexplained).
  • Tiub fallopio tersumbat
  • Rawatan kesuburan lain gagal
  • Bilangan sperma pesakit terlalu kurang atau tiada (dirawat dengan suntikan ICSI).

Semasa proses IVF dijalankan, isteri akan menerima ubat dalam bentuk suntikan harian untuk disuntik sendiri selama dua minggu bagi mengawal kitaran haid secara semulajadi. Seterusnya, doktor akan memantau perkembangan isteri dengan membuat imbasan ultrabunyi faraj dan ujian darah. Selepas telur matang dalam masa 34 hingga 38 jam, ia akan disedut keluar daripada ovari isteri.

Kemudian, suami pula diminta menghasilkan sperma untuk dicampurkan bersama telur yang dikeluarkan daripada ovari isteri dan akan dikultur dalam makmal selama 16 hingga 20 jam. Telur yang berjaya disenyawakan dikenali sebagai embrio akan terbentuk. Embrio yang terbaik akan dipilih untuk proses seterusnya. Isteri diberi ubat seperti suntikan atau gel progesterone untuk bersedia melakukan pemindahan embrio ke dalam rahimnya serta menyediakan lapisan rahim.

ICSI

ICSI adalah satu proses rawatan yang dilakukan jika suami:

  • Tiada sperma.
  • Mempunyai jumlah sperma yang sedikit.
  • Tiada ejakulasi sperma namun masih terkumpul daripada buah zakar.
  • Masalah ereksi dan ejakulasi termasuklah mereka yang mempunyai penyakit diabetes, kecederaan saraf tunjang dan lain-lain.
  • Bentuk sperma morfologi yang tidak normal atau motiliti tidak normal.
  • Gagal melakukan IVF.
  • Pernah menjalani vasectomy.

Untuk pengetahuan anda, rawatan suntikan sperma Intracytoplasmic (ICSI) akan menyuntik satu sperma terus ke dalam telur isteri untuk persenyawaan. Telur yang berjaya melalui proses ini akan dipindahkan ke dalam rahim isteri.

GIFT

GIFT bermaksud pemindahan gamet ke dalam tiub fallopio wanita. Telur dan sperma yang sihat akan diletakkan bersama di dalam tiub fallopio isteri di mana persenyawaan berlaku dalam badan isteri. Kaedah ini digunakan bagi kes-kes seperti:

  • Mempunyai kemandulan yang tidak dapat dijelaskan.
  • Tiub fallopio normal (tidak tersumbat atau rosak).
  • Mempunyai kiraan sperma rendah atau mempunyai masalah sperma.
  • Tidak mahu melakukan IVF atas faktor-faktor tertentu seperti agama dan sebagainya.
  • Proses IVF gagal.

Walau bagaimanapun, setakat ini tiada klinik di negara ini (Malaysia) yang menawarkan kaedah GIFT.

Pemindahan Embrio

rawatan kesuburan

Cara ini dilakukan selepas telur dikumpul dan disenyawakan di dalam makmal. Satu atau dua embrio terbaik akan dipilih dan akan dipindahkan ke dalam rahim isteri. Kemudian, embrio mempunyai peluang tinggi untuk melekat pada dinding rahim isteri untuk menghasilkan kehamilan.

Prosedur pemindahan embrio:

  • Selepas dua hingga tiga hari telur disenyawakan, embrio terbaik sahaja akan dipilih sebelum dipindahkan ke dalam rahim. Satu atau dua embrio sahaja akan dipindahkan jika isteri berumur bawah 40 tahun. Namun, tiga embrio boleh dipindahkan jika isteri berusia lebih 40 tahun.
  • Baik embrio terbaik atau berkualiti tinggi yang belum dipindahkan boleh dibekukan. Doktor melakukan pemindahan embrio dengan memasukkan spekulum ke dalam faraj, satu tiub halus atau kateter dimasukkan melalui serviks dengan bantuan imbasan ultrabunyi dan kemudian embrio dimasukkan melalui kateter ke dalam rahim isteri.
  • Biasanya prosedur ini tidak menyakitkan dan isteri tidak memerlukan ubat pelali. Anda mungkin akan mengalami sedikit tidak selesa kerana pundi kencing harus berada dalam keadaan penuh jika mahu melakukan imbasan ultrabunyi.
  • Selepas dua minggu embrio dipindahkan, ujian darah kehamilan akan dilakukan terhadap isteri. Jika keputusan menunjukkan isteri hamil, imbasan ultrabunyi boleh dilakukan dua minggu akan datang.

Anggaran kos rawatan

rawatan kesuburan

Di Malaysia, anda boleh buat rawatan kesuburan sama ada di hospital/klinik (subfertiliti) kerajaan ataupun di hospital/klinik swasta. Ini anggaran kos rawatan berkenaan:

Kerajaan: Dari RM1,000 sehingga RM15,000 (bergantung kepada jenis rawatan kesuburan) hubungi KLINIK NUR SEJAHTERA DAN KLINIK SUBFERTILITI LPPKN untuk maklumat selanjutnya.

Swasta: Dari RM8,000 sehingga RM22,000 (bergantung kepada jenis rawatan kesuburan) hubungi IVF Kasih atau hospital/klinik swasta berdekatan anda untuk maklumat selanjutnya.

Menurut The Star, Subang Fertiity Centre menawarkan beberapa jenis rawatan kesuburan beserta maklumat jumlah kos mengikut jenis rawatan bertarikh 18 Mei 2009 seperti IUI (RM800 sehingga RM2,000 ke atas), IVF (RM16,000 ke atas) dan ICSI (RM18,000 ke atas).

Selain itu, pasangan suami isteri boleh memohon Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) bagi memohon tajaan kos rawatan kesuburan IVF. Ada beberapa syarat anda dan pasangan perlu penuhi untuk layak mendapat tajaan. Ini merupakan satu langkah yang bagus dengan mengurangkan bebanan kos ditanggung pasangan yang mahu mendapatkan anak.

Mula menabung sekarang

Rawatan-rawatan kesuburan di atas ini juga salah satu usaha yang bagus buat pasangan suami isteri di luar sana untuk mendapatkan zuriat. Anda boleh mula menabung bermula dari sekarang jika mahu mencuba rawatan-rawatan kesuburan di atas. Kos bagi setiap rawatan mencecah ribuan ringgit seperti kita sedia maklum.

Berserahlah kepada Yang Maha Kuasa selepas anda berusaha. Apa yang penting, anda harus ubah mindset dengan sentiasa berfikiran positif, bersangka baik walaupun ia mengambil masa lama untuk menimang cahaya mata.

Rasa gembira tengok kawan-kawan TTC berjaya hamil selepas bertahun mencuba. Semoga tahun ni giliran pembaca Gayasuri pulak berjaya hamil. Amin.

Mahu info mengenai TTC? Baca sini tauuu.

Author

Comments are closed.