fbpx
Banner

Sembilan bulan hampir berlalu. Tak lama lagi, anda akan melangkah ke alam yang baru – menjadi seorang bapa. Dengan tak semena-mena, hati mula berdebar-debar memikirkannya.

“Bersediakah aku?”

“Macamana nak tau kalau aku dah bersedia?”

“Macamana nak tau kalau aku belum bersedia?”

Rileks, papa. Gaya Suri kan ada.

Untuk membantu bakal papa di luar sana, kami bertanya beberapa orang papa berpengalaman yang ikhlas berkongsi 10 tip dan pesanan untuk anda.

1. Sentiasa beri perhatian pada pasangan tersayang

Tugas anda sebagai bapa telah bermula. Oleh itu, tidak hairanlah jika lima gambar terakhir di dalam kamera anda adalah gambar bayi comel anda. Namun begitu, jangan pernah lupakan dia yang telah berkorban 9 bulan mengandungkan anak tersayang.

Tubuh kentalnya telah melalui pelbagai perubahan fizikal dan mental, termasuk menanggung peritnya melahirkan. Ya, beri perhatian pada ibunya. Berdasarkan perbualan dengan ramai papa berpengalaman, mereka semua bersetuju bahawa mama baru memerlukan sokongan dan bantuan sepenuhnya.

Carilah makanan pantang terbaik untuknya. Pastikan dia selesa dan gembira ketika dalam pantang. Benar kata Tan Kek Yoong, seorang bapa kepada anak perempuan, bahawa seorang mama yang gembira akan menjadikan seluruh keluarganya bahagia.

2. Hidup bukanlah satu persembahan di media sosial

Di era media sosial, “timeline” masing-masing sentiasa dipenuhi dengan gambar ibubapa melakukan pelbagai perkara menarik dengan anak-anak mereka yang sentiasa nampak sempurna.

Ikhlas kami katakan, hakikatnya ia bukan sentiasa senang.

“Hidup tidak semuanya indah dengan kelahiran bayi baru. Apa yang kita lihat di dalam media sosial dan televisyen bukanlah 100% benar belaka,” kata Aman Zenni, seorang bapa kepada 2 orang cahayamata.

Di sebalik gambar bayi comel, ada tugas membersihkan, memandikan dan menyusukannnya yang tak pernah berakhir. Bersiap sedialah untuk melakukannya.

Juga, sentiasa bersedia untuk perkara yang tidak disangka.

Kata Saiful Adib, juga papa kepada 2 cahayamata lelaki dan perempuan : “Perkara yang tidak disangka-sangka boleh berlaku. Jadi, eloklah jika kita boleh bersedia secara mental supaya apabila ia berlaku, kita boleh menerima mengatasinya dengan redha”

3. Belajar berjalan sebelum berlari

Jangan berasa takut untuk belajar mengenai keibubapaan. Satu caranya adalah dengan membaca, tetapi cara terbaik adalah belajar melakukannya sendiri.

Hargai pengalaman pertama anda menukar lampin bayi. Ingat saat anda belajar menentukan suhu mandian bayi anda. Jika anda tidak pasti, jangan malu untuk bertanya.

Tiada istilah “soalan bodoh” berkaitan keibubapaan. Berbanggalah dengan proses pembelajaran anda, tak kira jika ia belajar memasak atau belajar pertolongan cemas untuk kebaikan keluarga anda.

4. Terima dan sayangilah anak-anak seadanya

Anak adalah suatu pemberian dan amanah dari yang Esa. Ramai pasangan yang mudah mendapat anak, namun ramai juga yang terpaksa menunggu lama untuk menjadi ibubapa. Jadi apabila anak anda tiba, ia menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya.

“Setiap anak adalah unik dan dia wajar dibanggakan,” kata Azamil Izzat, seorang bapa kepada cahayamata perempuan. Membandingkan anak dengan anak orang lain ialah sesuatu yang tidak adil, terutamanya terhadap anak itu sendiri. Terimalah dia seadanya dan ingat bahawa bayi anda sangat memerlukan anda, bukan orang lain. Sifat bersyukur adalah indah dan sangat mulia.

5. Kenalpasti doktor yang boleh dipercayai

Apabila bayi tiba-tiba jatuh sakit, keadaan boleh menjadi rumit dan mengelirukan. Kadangkala, selsema biasa boleh menjadi serius. Mama mungkin terlalu sibuk menjaga bayi, jadi papa harus mengambil alih tugas mencari rawatan untuk bayi.

Kenali satu atau dua orang doktor yang boleh dihubungi di saat anda memerlukan nasihat, dan baca informasi dari laman web yang boleh dipercayai.

Jasbir Singh, bapa kepada 3 orang cahayamata berkata: “Kami mempunyai seorang doktor umum dan doktor pakar kanak-kanak yang boleh kami hubungi setiap kali memerlukan nasihat. Ia membantu kami mengetahui apa yang perlu dilakukan dan apa yang boleh dijangka apabila anak jatuh sakit, sama ada ia serius atau tidak”

6. Luangkan masa bersama keluarga sendiri dan mertua

 Kehadiran bayi baru di dalam keluarga membahagiakan semua orang, termasuklah atuk, nenek, bapa dan ibu saudara. Mereka tentu mahukan masa bersama bayi baru anda, dan ia juga suatu cara yang baik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Tambahan lagi, merekalah yang akan bersedia untuk membantu anda menjaganya jika anda memerlukan bantuan di masa hadapan.

Mohd Ezad, papa kepada anak berumur satu tahun berkata: “Rancang dan luangkan masa bersama keluarga sendiri dan mertua secara adil dan saksama. Tiada ada yang lebih menggembirakan bayi selain berkongsi kasih sayang bersama keluarga”

7. Rancang pelaburan untuk masa hadapan anak-anak

“Tempoh masa 18 tahun mungkin nampak seperti panjang, tetapi rancangan pelaburan untuk masa hadapan anak-anak elok dimulakan secepat mungkin,” kata Mohd Azfar Ridhwan, bapa kepada 2 orang cahayamata.

Ada pelbagai pilihan pelaburan diluar sana, antaranya yang memberikan pelaburan tambahan sebanyak RM500 dan perlindungan insuran. Mungkin anda berasa sedikit keliru dan memerlukan pertolongan di dalam membuat pemilihan, tetapi ia sangat bermanfaat untuk masa akan datang.

8. Pastikan waktu rehat dan tidur masing-masing

Menjadi papa dan mama baru bermakna anda akan tidak cukup tidur. Tiada gunanya berbalah mengenai siapa yang perlukan lebih rehat. Beri sokongan sesama sendiri dan berbincanglah mengenai tugas dan waktu rehat masing-masing. Ingat, anda berdua memerlukan rehat secukupnya untuk bergilir-gilir menjaga bayi kesayangan anda.

9. Berjimat-cermat di dalam perbelanjaan

Lumrah ibubapa baru membeli-belah pelbagai pakaian dan aksesori untuk bayinya. Tetapi, bayi sangat cepat membesar dan kadangkala tidak sempat memakai pakaian yang terlalu banyak. Saiz badan bayi biasanya akan berganda dalam 6 bulan pertama. Jadi, pastikan pakaiannya selesa, sesuai dan praktikal.

Ada papa yang mencadangkan bahawa pertumbuhan badan bayi akan lebih perlahan bermula umur 11 bulan, jadi ia waktu yang paling sesuai untuk mula membeli pakaian yang lebih “trendy” kerana dia boleh memakainya lebih lama.

10. Jangan lupa menghargai pengalaman ini

Perjalanan menjadi ayah adalah satu laluan kehidupan. Walaupun hanya memikirkannya boleh membuatkan seseorang itu berdebar-debar, ia juga satu perjalanan yang menyeronokkan. Kisah bersama anak akan menjadi kenangan manis untuk diceritakan di masa hadapan. Jadi buat masa ini, jangan lupa untuk menerimanya dengan penuh redha, kesyukuran dan nikmatilah setiap waktu membesarkan anak kesayangan.

Tahniah kami ucapkan, dan selamat berjaya papa!


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Mohd Hakimi Jauhari Jamalus

Hari-hari Mohd Hakimi Jauhari Jamalus diseimbangkan antara tanggungjawabnya sebagai seorang konsultan IT dan bapa kepada seorang anak lelaki dan perempuan. Dia sentiasa belajar sesuatu yang baru sebagai bapa dan kini mengecapi setiap detik indah bersama anak-anak kesayangannya.

Terjemahan oleh: Ayuni A.

Author

Comments are closed.