fbpx
Banner
Author

Editor

Browsing

Memberus gigi tidak harus menjadi satu beban kepada anak dan ibubapa, malah ia boleh dijadikan sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan jika anda tahu cara yang betul untuk membuatkan anak anda teruja untuk memberus gigi.

Menurut pakar pergigian, ada beberapa cara berkesan yang boleh digunakan untuk mendidik anak-anak memberus gigi tanpa sebarang paksaan atau hukuman.

Paksaan dan hukuman bukanlah cara terbaik untuk menanam tabiat memberus gigi di dalam diri anak-anak kerana ia boleh memberikan impak yang negatif terhadap emosi mereka. Proses menyemai tabiat itu juga akan menjadi lebih sukar untuk anak dan ibubapa.

Seeloknya mommy daddy mulakan rutin membersihkan gusi sebelum gigi susu anak tumbuh. Bersihkan gusi anak menggunakan tuala atau kain bersih yang lembap dan balut jari anda menggunakan kain tersebut, menurut portal MyHealth.

1. Jadikan ia satu rutin

Tidak kiralah apa yang anda cuba, peringkat permulaan sememangnya akan menjadi sukar. Lumrah manusia tidak sukakan sesuatu dimasukkan ke dalam mulut secara paksa, terutamanya jika ia dilakukan oleh orang lain. Setelah anda perkenalkan konsep penjagaan mulut dan gigi kepada anak, cuba ulangi idea itu untuk membina minat dan tabiat mereka. Anda perlu peka kepada respon anak dan cuba tanam kepercayaan mereka supaya lama kelamaan mereka akan faham bahawa memberus gigi itu adalah satu keperluan harian.

2. Jadikan ia satu pengalaman yang menyeronokkan

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga tidak suka jika mereka dipaksa melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu. Memaksa anak membuat sesuatu perkara akan menyebabkan mereka merasa takut atau negatif terhadap perkara itu, dan ia juga akan menyukarkan lagi usaha anda. Jadikan aktiviti memberus gigi satu pengalaman yang menyeronokkan untuk mereka. Ia juga satu peluang untuk anda mengeratkan lagi hubungan dengan anak anda. Sebagai contoh, menyanyi bersama-sama ketika memberus gigi amat menyeronokkan untuk anak yang menggemari muzik. Selain itu, anda juga boleh mencipta permainan yang melibatkan aktiviti memberus gigi. Ia tentunya boleh menghilangkan rasa takut anak anda kerana terlalu seronok bermain!

anak memberus gigi

3. Mengajar dengan perbuatan

Kata pepatah Inggeris – monkey see, monkey do! Jadi, jika anak anda melihat anda memberus gigi sendiri, mereka akan mahu melakukannya sendiri juga. Stimulus visual seperti ini adalah sangat penting kerana ia mengajar melalui contoh dan perbuatan. Anda boleh juga menemani anak anda di hadapan cermin sebelum dan selepas memberus gigi. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka mengenai kebaikan dan cara-cara memberus gigi dengan betul. Lama kelamaan, anak anda tentu faham kenapa mereka perlu meneruskannya.

4. Bantu-membantu

Beri peluang kepada anak anda untuk memberus gigi anda. Dengan cara ini, dia akan merasa “in control” dan mendapat keseronokan kerana dapat membantu memberus gigi ibu atau ayah. Perasaan positif ini akan membuatkan anak merasa lebih selesa dengan aktiviti memberus gigi. Anda juga boleh memberikannya peluang untuk memberus gigi patung atau permainan kegemarannya.

5. Cari masa yang paling sesuai

Sebagai ibubapa, kita boleh mengenali masa sama ada anak sedang aktif atau keletihan. Jika mereka keletihan dan mengantuk, mungkin masa itu tidak sesuai untuk melatih mereka memberus gigi. Anda boleh mencuba ketika mereka masih aktif dan segar supaya mereka dapat fokus dan melibatkan diri, namun ada juga kanak-kanak yang senang hilang fokus di dalam keadaan tersebut. Cuba dengan masa masa yang berlainan dan kenalpasti bilakah waktu yang paling sesuai.

6. Cuba tanpa atau dengan ubat gigi

anak memberus gigi

Pakar pergigian berkata bahawa penggunaan ubat gigi di peringkat kanak-kanak adalah tidak perlu, asalkan gigi mereka digosok dengan betul. Ada kanak-kanak yang mahu memberus gigi jika menggunakan ubat gigi berjenama kartun kesukaan, dan ada juga yang tidak sukakan sebarang ubat gigi di berus gigi mereka.

7. Mula dari awal

Anda sebenarnya boleh mula mengajak anak memberus gigi sendiri dari awal. Ia boleh dimulakan seawal usia 3 tahun. Walaupun teknik mereka tidak betul, ia akan menanam minat mereka dan memudahkan proses membina rutin dan tabiat memberus gigi sehingga dewasa.

8. Didik mereka mengenai kebaikan memberus gigi

Anda boleh juga bercerita mengenai kebaikan memberus gigi dan kesan buruk tidak melakukannya, tetapi elakkan dari menggunakan perkataan yang negatif supaya mereka tidak merasa takut. Gunakan kaedah penceritaan dan masukkan elemen memberus gigi untuk membantu mereka memahami dan mula melihat aktiviti memberus gigi sebagai sesuatu yang positif dan menyeronokkan.

Suka artikel ini? Baca Teething: 6 Resepi Mudah Buat Si Kecil dan 22 Klinik Pergigian Kanak-Kanak di Lembah Klang.

Menjadi seorang ibu atau bapa bukanlah sesuatu yang mudah. Menjadi ibu atau bapa tunggal disebabkan perpisahan dengan pasangan, kematian atau kerja berjauhan menjadikan ia lebih sukar.

Menurut Harian Metro, selepas perpisahan, tidak semua bekas pasangan mampu menggalas tanggungjawab bersama dan ia bukan saja memberi kesan emosi kepada anak-anak, malah bagi yang sedang melalui fasa perkembangan sahsiah diri dan keperibadian mereka semasa meningkat remaja.

Anak-anak sentiasa memerlukan ibubapa mereka di sisi. Keperluan mereka ini boleh membuatkan ibu atau bapa tunggal menjadi keletihan dan tidak berdaya terutamanya jika tiada sistem sokongan seperti pertolongan dari ahli keluarga, pengasuh atau pembantu rumah.

Di sini saya kongsikan beberapa tips berguna untuk kehidupan daripada ibubapa tunggal yang berpengalaman:

Jagalah diri sendiri

ibubapa tunggal

Sebagai manusia biasa, tidak mungkin seorang ibu atau bapa mempunyai tenaga yang tidak terhad dan terus mempunyai kekuatan untuk bermain dengan anaknya apabila dia tidak cukup tidur dan sudah kepenatan setelah sentiasa mendedikasikan diri untuk menjaga anak-anak.

Mencari masa untuk diri sendiri mungkin sukar atau mustahil, tetapi mengambil sedikit masa untuk rehat dan menjaga diri sangatlah penting. Cuba minta bantuan dari keluarga atau kenalan untuk menjaga anak dalam beberapa jam seminggu sekali, sementara anda menggunakan masa itu untuk rehat, tidur, membeli-belah dengan aman atau melakukan perkara yang anda suka seperti yoga. 

Nikmati keseronokan

ibubapa tunggal

Jika anda jarang ke panggung wayang atau membawa anak-anak ke taman tema, apa kata anda cuba lakukannya kali ini? Ia mungkin sedikit mencabar jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, tetapi melakukan aktiviti baru di luar rumah kadangkala memberikan satu keseronokan dan memberi ruang untuk lari dari rutin yang membosankan.

Selain itu, anda boleh juga pergi berkelah atau membawa anak-anak makan di restoran (ada banyak restoran yang juga memberikan makanan percuma untuk anak-anak). Jika ia terlalu mencabar untuk anda, lawatan ke kedai aiskrim untuk menikmatinya sambil berbual santai bersama anak juga sesuatu yang seronok untuk dilakukan. Anak-anak tentunya menghargai masa indah bersama ibu atau bapa kesayangan mereka.

Minta dan terima bantuan dari orang lain

ibubapa tunggal

Jika anda merasa terlalu kepenatan, jangan malu untuk meminta atau menerima bantuan. Sebenarnya ramai di kalangan kita yang segan untuk meminta bantuan, sedangkan orang sekililing kita sangat ikhlas dan gembira untuk membantu meringankan beban kita. Cuba tanya kenalan, saudara, atau ibubapa anda sendiri. Jika anda merasakan seperti kemurungan, anda juga boleh bercakap dengan pakar yang professional.

Kehilangan pasangan, perpisahan atau mempunyai pasangan yang bekerja jauh dari rumah boleh menjadikan anda kesunyian dan tidak gembira, namun ingat anda tidak perlu melaluinya berseorangan. Berjumpalah dengan pakar kaunselor, pakar psikologi atau sertai kumpulan sokongan ibubapa yang ada di luar sana. Kadangkala, ia dapat diatasi dengan bersosial dan mempunyai seseorang untuk mendengar dan berbual dengan anda.

Belajar menolak dan berkata “tidak”

Kanak-kanak sememangnya pandai mencuba untuk mengatasi batasan, terutamanya apabila ibu atau bapa sudah terlalu penat untuk melayan kerenah mereka. Ada yang akan menangis tidak berhenti, meminta-minta atau melakukan “tantrum” semata-mata untuk memenuhi kemahuan mereka.

Walaupun akur kepada kehendak mereka adalah sesuatu yang mudah dilakukan, ia tidak akan membantu anda mendisiplinkan mereka dalam jangka masa panjang. Bantu anak anda berdisiplin dengan mengadakan rutin harian atau melibatkan mereka dalam menguruskan kerja di rumah. Anak yang berumur 3 tahun sebenarnya sudah boleh mengemaskan permainan mereka sendiri setelah habis bermain.

Selain dari berkata “tidak” kepada anak-anak, anda juga perlu belajar berkata “tidak” kepada diri sendiri. Contohnya, jika anda terkejar-kejar untuk menghantar anak ke kelas renang dan cuba berjumpa klien untuk urusan bisnes anda, fikirkan alternatif yang anda boleh lakukan seperti menukar jadual renang atau jadual temujanji anda. Hakikatnya, tiada siapa yang boleh berada di dua tempat dalam satu masa kan?

Ditulis oleh : Faye Song

Suka artikel ini? Baca 5 Langkah Persediaan Kewangan untuk Masa Depan Anak Anda dan Ibu Pelupa: 6 Tips Mengekalkan Ingatan Anda!.

Menjadi seorang ibu yang menyusu bayi bermakna anda akan sentiasa sibuk dan lapar.

Tentunya, snek dan makanan ruji yang sihat dan mudah disediakan adalah paling ideal untuk ibu menyusu. Di sini kami kongsikan 16 idea snek yang berkhasiat, enak dan sangat mudah disediakan untuk anda cuba sendiri!

Yogurt Rendah Lemak

Yogurt rendah lemak merupakan sumber kalsium, protein dan bakteria sihat yang mudah didapati. Jika ada masa, tambahkan buah atau granola kepada yoghurt anda untuk meningkatkan nutrisinya. Ia juga akan membantu anda kekal kenyang untuk lebih lama.

Alpukat (Avocado)

ibu menyusu

Alpukat penuh dengan lemak tak tepu yang baik untuk badan, termasuk serat dan vitamin C. Lenyekkan beberapa keratan alpukat, sapu ke atas roti bijirin penuh dan snek anda siap untuk dimakan.

Roti bijirin penuh

Roti bijirin penuh yang disapu dengan mentega badam dan pisang merupakan snek manis yang sempurna dan boleh dimakan bila-bila masa. Jika anda risaukan bayi anda menjadi alah kepada kacang tanah, gunakan mentega badam sebagai pengganti. Mentega badam mengandungi lemak omega-3 dan pisang mengandungi potassium yang baik untuk badan.

Buah-buahan segar

Buah-buahan segar mengandungi banyak nutrisi seperti serat dan vitamin A, C dan E. Untuk snek yang mudah dan cepat, pilih daripada buah-buahan yang senang didapati seperti buah pisang, pir dan beri.

Sayur-sayuran

ibu menyusu

Sayur-sayuran seperti lobak merah atau saderi tinggi dengan potasium, vitamin A, serat dan air. Ia boleh disiang dan disimpan di dalam peti sejuk . Sos ranch atau bayam boleh membekalkan protein.

Keju

ibu menyusu

Keju mampu membekalkan banyak kalsium dan protein serta pelbagai vitamin B yang penting untuk sistem badan. Pilih bungkusan kiub keju berasingan (seeloknya yang tidak diproses) untuk dijadikan snek yang mudah dimakan dicapai dan dimakan dengan satu tangan. Makan bersama kepingan biskut tawar bijiran penuh seperti Ryvita untuk lebih nutrisi.

Kekacang

Snek kekacang kaya dengan sumber protein dan lemak sihat. Segenggam kacang badam, macadamia, walnut atau gajus akan membantu anda merasa kenyang dan puas.

Pretzel

Pretzel merupakan pengganti kerepek kentang yang terbaik. Ia lebih berkhasiat dan enak dimakan dengan pencicah seperti yogurt Greek dan alpukat.

Telur rebus

ibu menyusu

Hidangan telur rebus mungkin membosankan, tetapi ia kaya dengan kandungan protein. Rebus sedozen telur pada satu kali, kupas dan simpan di dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk memudahkan anda menikmatinya bila-bila masa. Ia akan bertahan untuk lebih kurang dua minggu.

Hummus

Hummus juga mengandungi banyak protein dan lemak sihat yang baik untuk ibu yang sedang menyusu. Makan bersama lobak merah atau sadri yang telah dipotong memanjang.

Biji chia

Biji chia adalah makanan tambahan “superfood” yang enak dimakan bersama yoghurt, smoothie, dan oat. Ia juga mengandungi serat, protein, antioksida, asik lemak omega-3 dan nutrien penting yang lain termasuk kalsium, fosforus dan magnesium.

Biskut laktasi

Biskut laktasi dirumus khas untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu. Anda boleh cuba membuatnya sendiri menggunakan resipi dari Internet seperti ini, atau anda boleh membeli biskut laktasi sedia dimakan dari penjual online.

Edamame

ibu menyusu

Edamame adalah salah satu sumber zat besi yang terbaik. Secawan edamame setiap hari boleh membekalkan 12.1% folat yang diperlukan setiap hari oleh ibu mengandung dan menyusu.

Pisang

Pisang mengandungi potasium, serat dan vitamin di dalamnya. Ia dapat memenuhi kuota kalori harian anda dan membantu memberikan anda tenaga.

Epal dengan mentega badam

Hiriskan epal dan sapukan setiap keping dengan satu sudu besar mentega badam. Ia penuh dengan protein dan serat, dan juga sangat enak dimakan.

Buah-buahan kering

Jika anda gemarkan makanan manis, buah-buahan kering seperti adalah snek yang terbaik untuk anda. Pilih yang tidak mengandungi sulfida dan tanpa gula tambahan.

Suka artikel ini? Baca Skim PERKESO untuk Golongan Suri Rumah, Apa yang Perlu Anda Tahu? dan 5 Langkah Persediaan Kewangan untuk Masa Depan Anak Anda.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Ditulis oleh : Kathryn Rao
Terjemahan oleh : Ayuni A.
 









Dapatkan baju pre-loved murah, trendy & berkualiti!








Kehamilan adalah waktu yang sangat mengujakan, tetapi kadangkala ia membuatkan ibu gundah dan kebingungan. Jangan bimbang, anda tidak keseorangan! Ketika hamil, badan wanita mampu menyesuaikan diri dengan keperluan bayi yang sedang membesar di dalam rahim, namun hakikatnya ia bukan semuanya indah.

Masalah perut berangin? Rambut tumbuh terlalu banyak?

Ini jawapan kepada soalan-soalan yang anda mungkin terlalu malu untuk bertanya tentang kehamilan dan kelahiran.

1. Kenapa saya mengalami sembelit?

kehamilan

Sembelit adalah perkara yang biasa berlaku semasa hamil dan ia disebabkan oleh hormon-hormon yang meningkat secara mendadak. Tingkatkan pengambilan makanan berserat dan minum lebih banyak air supaya sistem pencernaan anda berjalan dengan lancar.

2. Macamana kalau air ketuban saya pecah ketika saya berada di luar? Adakah saya akan kelihatan seperti telah terkencing di dalam seluar?

Kebanyakan bayi akan bergerak ke arah bawah pelvis di hujung tempoh kehamilan, jadi, kepala mereka akan bertindak seperti penghadang. Jangan bimbang, kalau air ketuban anda pecah di khalayak ramai, ia akan mengalir dengan perlahan (bukan macam air terjun!). Maklumkan pada seseorang jika anda memerlukan bantuan. Jika anda masih risau, pakailah tuala wanita sebelum keluar rumah.

kehamilan

3. Mengapakah saya mengalami simptom keputihan di trimester pertama?

Memang biasa untuk wanita berasa lebih “lembap” semasa trimester pertama. Keputihan ini disebabkan oleh hormon progesteron yang bertindak sebagai pelindung daripada jangkitan kuman yang boleh sampai ke rahim.

4. Kenapa saya sering mengalami mimpi yang erotik dan memberahikan?

Mimpi erotik semasa kehamilan boleh terjadi kerana pengaliran darah yang lebih banyak ke kawasan faraj dan tahap estrogen lebih tinggi di dalam badan. Peningkatan saiz dan rasa sensitif pada payudara juga petanda peningkatan “sex drive“ anda.

5. Adakah bayi saya boleh kentut di dalam rahim?

Tidak boleh, tetapi dia boleh kencing.

6. Mengapakah saya terkencing di dalam seluar ketika hamil?

Kebanyakan wanita hamil terkencing dalam seluar apabila mereka batuk, bersin atau ketawa kerana tekanan yang berlebihan ke atas pundi kencing. Walaupun hanya beberapa titis, ia tetap membuatkan kita berasa malu. Rajinkan diri melakukan senaman lantai pelvik atau Kegels untuk membantu menguatkan lantai pelvik anda.

7. Ketika melakukan hubungan seks, bolehkah bayi saya “terganggu” dengan pasangan saya?

The American Congress of Obstetrics and Gynecology menyatakan bahawa jika kehamilan anda normal dan sihat, hubungan seks adalah 100% selamat, walaupun di trimester ketiga. Jika seseorang wanita itu selesa dalam mana-mana posisi seks tanpa sebarang kesakitan, ia petanda bahawa bayinya juga selamat dan selesa.

8. Mengapakah vagina saya bengkak?

Vagina yang membengkak terjadi kerana darah berlebihan yang mengalir di dalam badan anda, sendi pelvis yang sedang giat bersedia untuk melahirkan dan juga tekanan bayi ke atas tulang pelvis anda.

9. Adakah saya akan terbuang air besar semasa melahirkan?

Ini boleh berlaku terutamanya sejurus sebelum bayi mengeluarkan kepalanya (crowning) . Ini adalah kerana otot-otot yang digunakan untuk meneran bayi adalah otot sama yang digunakan untuk membuang air besar. Jangan risau, anda akan lebih sibuk dengan kelahiran dan tentu lebih tidak sabar untuk melihat bayi anda!

10. Kenapakah abdomen saya merasa kejang selepas seks?

Jangan risau kalau anda berasa kejang selepas hubungan seks. Kekejangan ini boleh disebabkan oleh klimaks dan/atau kandungan prostaglandin di dalam air mani. Ia biasanya akan beransur pulih setelah anda berehat.

11. Mengapa muka saya berjerawat?

Menurut WebMD, kandungan hormon yang berlebihan dalam sistem badan anda juga boleh menyebabkan jerawat.

12. Mengapakah perut saya berasa kembung?

Hormon yang berlebihan boleh memperlahankan sistem pencernaan anda. Ini menyebabkan anda terasa kembung semasa hamil. Malangnya, anda hanya boleh sendawa dan kentut untuk mengeluarkan angin berlebihan ini.

13. Mengapakah payu dara saya terasa gatal?

Menurut BabyCenter, kulit yang terasa gatal adalah normal, terutamanya di bahagian kulit yang menegang seperti payudara dan perut. Elakkan dari menggaru dan sentiasa lembapkan kulit anda dengan losyen, krim atau minyak kelapa dara.

14. Kawan saya kata yang bayi saya akan diselaputi bahan seakan krim keju selepas dia dilahirkan. Adakah saya akan mahu memeluk anak saya?

kehamilan

Selaput ini dipanggil ‘vernix’ dan ia akan diserap ke dalam kulit bayi anda dalam masa dua hari. Ia membantu melindungi bayi anda daripada jangkitan. Kebanyakan hospital akan memandikan bayi dalam tempoh beberapa jam selepas dia dilahirkan, tetapi sebagai ibubapa, anda boleh memutuskan bila dia dimandikan dan siapa yang akan memandikannya.

15. Berapa lamakah jahitan saya akan pulih? Bilakah saya boleh memulakan hubungan seks sekali lagi?

Selalunya ia akan memakan masa selama tiga hingga empat minggu untuk pulih. Tetapi, anda boleh melakukan hubungan seks apabila anda rasa bersedia. Ada yang bersedia selepas beberapa minggu, ada juga sehingga beberapa bulan.

16. Adakah pasangan saya akan jijik melakukan hubungan seks dengan saya jika dia melihat sendiri proses kelahiran?

Ada di antara kaum lelaki yang akan merasa sukar, terutamanya jika kelahiran adalah traumatik. Tetapi kebanyakan lelaki akan berasa kagum dengan pasangan mereka kerana telah melahirkan bayi kesayangan anda berdua. Jika anda masih risau, minta suami hanya menunggu di sisi tanpa perlu melihat kawasan faraj anda.

Suka artikel ini? Baca Kisahku: Pengalaman Bersalin PKP/PKPB dari 4 mommies. Sediakah Anda? dan 5 makanan terbaik untuk kesuburan.

“Ah, tak lama lagi nak dapat “baby”, budget mesti lari kalau tak berhati-hati”

Frasa ini mungkin sering berulang di dalam pemikiran bakal ibubapa, ibubapa muda atau keluarga yang tinggal di kawasan bandar dengan kos kehidupan yang tinggi. Di dalam era kehidupan serba lengkap ini, ada ibubapa yang sanggup berbelanja ribuan ringgit demi keperluan anak tersayang.

Namun, untuk para ibubapa yang mahu lebih bijak dalam mengurus hal kewangan keluarga, ada cara-cara untuk berjimat cermat dan tidak keterlaluan dalam berbelanja, terutamanya untuk ibubapa kali pertama.

Secara ringkasan:

  1. Jangan beli terlalu awal dan terlalu banyak
  2. Jangan lupa, bayi anda cepat membesar
  3. Utamakan yang penting
  4. Pembelian pukal dan diskaun
  5. Barangan pelbagai guna = jimat
  6. Bagaimana jika anda perlu beli baru?
  7. Pilih warna uniseks
  8. Lupakan kedai barangan mewah
  9. Sertai komuniti sokongan ibubapa

Sedang cuba untuk mengandung? Apakata cuba ubah diet anda dan pasangan anda dahulu sebelum membuat keputusan untuk menjalani rawatan kesuburan yang invasif?

5 jenis makanan ini mengandungi nutrisi penting yang boleh membantu meningkatkan kesuburan dan sistem imun anda. Namun, jangan lupa mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam, minum air secukupnya dan mengurangkan stress juga!

Ketika saya ditawarkan untuk berkongsi tentang kisah kelahiran anak kedua saya, Maryam, perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Terlalu gembira, terlalu teruja, namun dalam masa yang sama sedikit gusar kerana menceburi bidang penulisan merupakan salah satu daripada impian saya.

Maryam Ahmad Hazwan, anak kedua adalah seorang bayi pramatang yang lahir pada usia 33 minggu, 5 hari.

Kelahirannya bukan sahaja mengubah, malah menguatkan lagi persepsi saya terhadap pelbagai aspek termasuklah kekuatan diri dan kebergantungan yang amat tinggi kepada Tuhan.

Semasa saya hamil anak pertama, ibu sering menceritakan kisah-kisah semasa beliau berpantang satu ketika dulu. Menurut ibu, hasil daripada berpantang itulah yang membawa kepada kesihatan beliau yang baik pada usia emas sekarang.

Walaupun tanpa syor daripada doktor dan ada amalan-amalan yang kedengaran mengarut, saya langsung tidak mempersoalkannya. Pada hemat saya, “Cuma 44 hari, apa salahnya?”

Namun tempoh itu adalah enam minggu paling mencabar dalam hidup saya.

Biasanya, kita sering ternampak banyak artikel di Internet tentang apa yang tak sesuai dikatakan kepada ibubapa baru. Tapi, bagaimana jika anda mahu melawat rakan yang baru melahirkan dan tidak pasti pula apa yang boleh dikatakan?

Pengalaman melahirkan boleh menjadi sesuatu yang emosional untuk ibubapa baru. Dengannya, datang pelbagai perasaan yang bercampur baur, seperti kegembiraan, kebanggaan, kerisauan dan tidak cukup tidur. Ini ada beberapa perkara yang boleh anda katakan sebagai sokongan kepada mereka: