fbpx
Banner

Anak-anak semakin membesar dan anda terfikir untuk kembali bekerja. Tetapi entah kenapa, gambaran kehidupan berkerjaya itu tiba-tiba menimbulkan debaran. Jangan risau, anda tidak bersendirian. Ramai suri rumah mendapati, kembali bekerja selepas beberapa tahun ‘bercuti’ adalah sesuatu yang sangat mencabar. Kami mendapatkan pandangan beberapa wanita besi yang menjadi idola kami, untuk mengetahui bagaimana mereka melakukannya selepas beberapa tahun meninggalkan dunia pekerjaan.

Ketahui maklumat mutakhir dan dapatkan semula keyakinan anda

Pertama sekali, hubungi rakan-rakan atau bekas rakan sekerja anda. Ajak mereka bertemu untuk mengetahui maklumat mutakhir. Tak salah jika anda berkongsi tentang rancangan untuk kembali bekerja dan sekali gus mendapatkan input positif daripada mereka. Mereka boleh menjelaskan amalan korporat semasa, perkara-perkara baharu dalam bidang anda serta jawatan kosong yang ada.

Rakan-rakan baik juga boleh memberikan galakan yang diperlukan untuk mendapatkan semula keyakinan anda. Input mereka bakal membantu anda menyelaraskan rancangan dan menjadikannya lebih mudah untuk dilakukan.

Menilai keadaan dan tidak takut untuk ‘berhijrah’ untuk kembali bekerjaya

Apabila anda telah bergelar suri rumah selama beberapa tahun, mungkin ada terpalit rasa seolah-olah bakat anda telah melepasi tarikh luput. Adakah kerjaya anda satu ketika dahulu masih relevan pada hari ini? Pada masa yang sama, mungkinkah minat anda telah beralih arah atau semakin berkembang?

Ambil masa untuk menilai keadaan dan minat anda, termasuk pilihan kerjaya. Jangan takut untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada kelayakan asal anda.

Menjadi seorang ibu mungkin juga telah melatih anda menjadi lebih mahir dalam perkara-perkara seperti memenuhi berbilang tarikh akhir, menguruskan jadual 5 orang pada satu masa dan memastikan anda tidak melebihi bajet bulanan.

Cuba pertimbangkan jawatan seperti Khidmat Pelanggan, Perancang Projek, Pembantu, Pentadbir dan banyak lagi jawatan yang memerlukan kemahiran kendiri. Jika anda masih ragu-ragu untuk kembali bekerja, cuba cari sesuatu yang lebih fleksibel contohnya kerja separuh masa. Apa yang penting, anda haruslah bersikap objektif dan tidak mengehadkan diri anda dengan tugas-tugas sama yang pernah anda lakukan sebelum ini.

Wujudkan satu sistem

Jika anda bercadang untuk kembali bekerja, anda memerlukan satu sistem yang dapat membantu anda menyeimbangkan antara kerja dan tanggungjawab di rumah secara efektif. Di sinilah kerjasama pasangan sangat penting terutamanya dalam menguruskan rumah tangga serta jadual anak-anak.

Rancang jadual yang paling sesuai untuk kedua-dua ibu bapa dan senaraikan perkara yang perlu dilakukan bersama dari awal. Tentukan perkara-perkara rutin seperti siapa yang menghantar atau mengambil anak-anak. Bersedia untuk berkongsi tugasan rumah dan ajak anak-anak untuk turut sama membantu. Mereka boleh melakukan tugas-tugas mudah seperti mengasingkan pakaian untuk dibasuh, menulis senarai barang dapur atau membuang sampah. Minta bantuan ahli keluarga lain atau sahabat baik anda yang dipercayai supaya ada antara mereka yang boleh bertindak dan memberi respons ketika kecemasan.

Anda juga boleh mengambil bekerja tukang cuci mingguan atau tukang kebun untuk membersihkan halaman rumah serta pengasuh kanak-kanak. Pastikan mereka mudah dihubungi. Percayalah, berbaloi untuk membelanjakan sedikit wang untuk mereka membantu melancarkan kehidupan anda.

Komunikasi dan rasa percaya

Sebelum ini mungkin anda tahu jadual setiap ahli keluarga pada setiap masa. Tetapi bila anda mula bekerja, komunikasi yang konsisten sangat penting antara anda, pasangan, anak-anak, penjaga dan sekolah mereka untuk mengetahui di mana mereka berada. Jika anda seorang ‘helicopter parent’, anda perlu bertenang dan berasa yakin. Percaya bahawa pasangan anda berupaya untuk membantu anda menguruskan anak-anak. Percaya bahawa sepanjang ketiadaan anda, anak-anak dan penjaga mereka mampu melakukannya.

Abaikan perkara remeh

Akhir sekali, walau sejauh mana anda berusaha untuk meneliti segala perkara dari setiap sudut, tentu ada yang tidak berlaku seperti yang diharapkan. Anda boleh merancang tetapi mungkin berlaku perubahan yang di luar jangkaan. Ada ketikanya anak-anak akan jatuh sakit, penjaga anda mempunyai kecemasan atau pihak sekolah membuat panggilan. Bak kata pepatah Inggeris – Roll with the punches!

Jika ada satu ketika di mana anda pernah berkata “satu hari nanti saya akan kembali bekerja” dan saat itu telah tiba, kami harap petua-petua ini akan membantu anda bersedia. Ramai ibu yang sudah berjaya melakukannya dan kami pasti anda juga boleh. Selamat maju jaya!


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

 Ditulis oleh: Dessy Barnaby

Dessy meninggalkan kerjaya sepenuh masa sebagai Pengurus PR dan Media untuk menyempurnakan kemahiran berunding dengan dua orang cahaya mata kesayangannya. Beliau telah menemui ketenangan dengan menulis dan kini bergelar penulis bebas.

 Terjemahan oleh : Nurul Dayanna Norji

Author

Comments are closed.