fbpx
Banner

Amalan menggendong bayi (babywearing) bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Walaupun ia sesuatu yang kerap dipraktikkan pada masa dahulu , ia semakin meraih populariti di kalangan ibubapa moden yang memilih keibubapaan alami atau “natural parenting” dalam membesarkan anak mereka.

Kredit foto : Facebook Dr Izam Suziani

Benar, “babywearing” apabila dibuat menggunakan alatan gendong yang ergonomik berserta cara yang betul boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada penggendong dan bayi.

Di sini kami kongsikan sepuluh kebaikan menggendong bayi anda:

1. Menggalakkan perhubungan yang rapat dengan bayi (bonding)

Perhubungan akan terjalin rapat apabila terdapat sentuhan kulit ke kulit di antara penggendong dan bayi yang digendong.

2. Memberi ketenangan emosi kepada bayi

Bayi yang digendong akan merasakan persamaan berada di dalam gendongan dengan perasaan semasa berada di dalam rahim ibunya. Bayi masih dapat mendengar degupan jantung, suara serta pergerakan ibunya seolah-olah dia masih berada di dalam rahim. Menenangkan bukan?

Kredit foto : Facebook Dr Izam Suziani

3. Bayi kurang menangis dan meragam

Ini kerana bayi suka dipeluk dan apabila digendong, bayi berada di dalam pelukan ibunya sentiasa.

4. Berat badan bayi naik dengan cepat dan mudah

Apabila bayi digendong, kurang berlaku penurunan suhu badan bayi dan bayi tidak banyak membakar lemak untuk memanaskan badannya. Dengan ini, berat badan bayi cepat dan mudah naik.

Kredit foto : Blog Adriana Thani

5. Merangsang pertumbuhan mental

Bayi yang digendong sentiasa mendapat rangsangan dari persekitaran yang sama dengan orang dewasa yang menggendongnya. Ini dapat merangsang deria dan menggalakkan pertumbuhan mental bayi.

6. Mendidik anak lebih yakin dan berdikari

Ramai yang berpendapat bayi yang digendong akan menjadi manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapanya. Sebenarnya, yang berlaku adalah sebaliknya. Anak yang sentiasa berada bersama-sama ibu bapa (kerana digendong) akan merasa yang dia telah mendapat cukup perhatian daripada mereka semasa anak ini sedang membesar. Oleh itu, dia akan kurang menagih perhatian dari ibu bapanya dan lebih berdikari di kemudian hari.

Kredit foto : @unopopshuvit di Instagram

7. Mengurangkan kembung perut dan muntah (refluks)

Bayi yang digendong di dalam gendongan ergonomik akan sentiasa berada di dalam keadaan menegak (prompt up position). Apabila bayi berada di dalam keadaan menegak, kebarangkalian susu yang telah diminum untuk naik semula melalui salur makanan yang masih belum matang adalah kurang. Perut bayi juga sentiasa “ditekan” pada badan penggendong. Dengan itu, bayi akan kurang muntah atau kembung perut.

8. Menggalakkan penyusuan susu ibu

Menggendong bayi memberi pelbagai kesan positif kepada penyusuan susu ibu. Di antaranya ialah:

  • Menambah penghasilan susu ibu melalui sentuhan kulit ke kulit yang optimum
  • Sentuhan kulit ke kulit menggalakkan pengeluaran hormon Oxytocin yang sangat penting dalam penghasilan susu ibu
  • Ibu lebih tenang dan lebih banyak susu dihasilkan apabila ibu kurang stres
  • Membenarkan bayi menyusu “on demand”, di mana sahaja, pada bila-bila masa
  • Memudahkan ibu untuk mengecam “feeding cues” iaitu tanda-tanda bayi lapar dan payudara boleh ditawarkan kepada bayi dengan segera

Kredit foto : @snuggbaby di Instagram

9. Mengurangkan kadar meroyan (Post Partum Depression)

Kajian telah menunjukkan kadar Post Partum Depression (PPD) berkurangan di kalangan ibu-ibu yang menggendong anaknya. Ini boleh dijelaskan melalui penghasilan hormon Oxytocin, yang juga dikenali sebagai hormon cinta (the love hormone), semasa berlakunya sentuhan kulit ke kulit. Mereka yang mempunyai kadar hormon Oxytocin yang tinggi di dalam badan akan merasa gembira dan tenang sentiasa.

10. Memudahkan pergerakan dan bayi sentiasa di dalam pemantauan

Bayi yang digendong mudah dibawa ke mana sahaja. Ibu bapa juga tidak perlu lagi membawa “stroller” sekiranya berjalan-jalan terutama sekali semasa melancong atau ke pasaraya. Bayi juga lebih selamat kerana sentiasa berada bersama-sama penggendongnya.

Kredit foto : FB Dr Izam Suziani

Sesungguhnya, terlalu banyak faedah menggendong bayi. Semoga perkongsian ini dapat meyakinkan ibubapa untuk menggendong bayi kesayangan masing-masing.

Jangan lupa memilih penggendong bayi yang ergonomik dan sentiasa pantau keadaan bayi (terutamanya pernafasan) semasa menggendong. Selamat menggendong semua!


Ditulis oleh : Dr Izam Suziani

Dr Izam Suziani ialah seorang ibu kepada 6 orang anak. Beliau merupakan seorang doktor perubatan am dan konsultan “babywearing” bertauliah yang seringkali muncul di televisyen serta media cetak. Beliau aktif mempromosikan penggunaan alatan gendong ergonomik dengan selamat melalui ceramah dan kelas-kelas menggendong yang dianjurkannya.

Author

Comments are closed.