fbpx
Banner

Berjauhan dengan anak bukanlah perkara mudah untuk dilakukan oleh ibu bapa. Ada ibubapa yang terpaksa tinggal berasingan dengan anak-anak kerana mencari rezeki. Ada juga yang terpaksa meninggalkan anak-anak buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti bertugas di luar kawasan. Ada pula yang berjauhan kerana anak-anak bersekolah di asrama atau mendapat tawaran sambung belajar.

Persediaan mental dan fizikal dari kedua belah pihak ibu bapa dan anak-anak amatlah penting apabila telah ada persetujuan untuk tinggal berjauhan.Walaupun pada awalnya perubahan suasana ini akan menimbulkan perasaan bimbang dalam diri ibubapa, lama kelamaan ianya akan dapat diatasi. Belajar dari pengalaman sendiri, di sini saya kongsikan 5 persiapan yang boleh dibuat apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

1) Berfikiran positif

Perkara yang paling utama, pastikan kita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik. Fikiran positif akan menarik perkara-perkara yang baik dalam kehidupan kita. Janganlah terlalu risau dengan perkara yang bakal terjadi atau belum terjadi. Apa yang kita fikir, apa yang kita ucap dan apa yang kita rasa di dalam hati, semuanya adalah doa. Hadirkan doa-doa yang baik apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

2) Tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan dipercayai, di dalam persekitaran yang selamat

Jadilah ibubapa yang bijak dan hanya tinggalkan anak untuk tempoh yang lama kepada orang yang dikenali dan dipercayai sahaja. Pastikan penjaga yang dipilih adalah dari kalangan keluarga yang rapat dan anak-anak sudah biasa dan selesa bersama mereka.

Sekiranya berjauhan dengan anak-anak yang sudah dewasa, ia tidak menjadi masalah yang besar. Ibu bapa boleh membuat senarai tugasan untuk anak-anak. Ibu bapa boleh menghubungi anak-anak untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Tetapi, jika anak-anak masih kecil dan tidak pandai mengurus diri, ibu bapa terpaksa bergantung harap kepada penjaga. Pastikan penjaga tahu apa keperluan anak-anak. Senaraikan nombor-nombor telefon penting yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan dan tampalkan ditempat yang mudah dilihat.

Jika anak-anak berada di asrama, pastikan ibu bapa ada nombor telefon warden yang berkenaan dalam simpanan untuk mudah dihubungi.

3) Perbelanjaan yang cukup

Kewangan adalah antara perkara yang mesti diberi perhatian apabila perlu berjauhan dengan anak. Sediakan perbelanjaan secukupnya untuk anak yang tinggal berasingan seperti di asrama atau yang ditinggalkan untuk bekerja ke luar kawasan. Pastikan juga ada wang yang disimpan berasingan untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti anak sakit atau sebagainya.

4) Sentiasa berhubung

Komunikasi sangat penting apabila berjauhan. Dengan adanya teknologi komunikasi, tiada alasan untuk tidak memanfaatkan kemajuan dan kecanggihan berhubung menerusi telefon, WhatsApp, video call dan sebagainya. Ibu bapa akan memperoleh informasi tentang anak-anak dengan cepat dan pantas.  Sentiasalah berhubung dengan anak-anak dan penjaga mereka.

Sentiasa juga pantau pergerakan anak-anak. Walaupun kita tiada di sisi mereka, itu tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati. Sentiasa juga pesan kepada anak yang berada di sekolah berasrama untuk menelefon ibu bapa. Perhatian yang ibu bapa berikan akan dapat mengeratkan kasih sayang dengan anak-anak walaupun berjauhan.

5) Doa dan tawakal

Saban hari kita disajikan dengan pelbagai berita tentang kejadian, bunuh, buli, dera, hilang dan yang paling terbaru berita cubaan membunuh diri seawal usia 13 tahun hanya kerana cinta ditolak rakan sebaya. Hakikatnya, pada alaf baru ini, faktor persekitaran, media dan rakan sebaya banyak mempengaruhi perilaku anak-anak. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila ibu bapa terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Walaupun perhubungan menjadi mudah dengan adanya telefon pintar, perasaan risau masih terbuku di dada selagi anak tidak berada di hadapan mata.

Setelah melakukan persiapan yang terbaik untuk mengatur kehidupan apabila berjauhan dengan anak-anak, sandarkan sepenuh pengharapan kepada yang Maha Berkuasa untuk melindungi anak-anak kita. Setiap usaha yang dimulakan dengan berbekalkan pengharapan harus disertakan dengan tawakal kepadaNya. Sentiasa berdoa supaya anak-anak kuat, sabar dan terhindar daripada gejala sosial dan perkara yang tidak diingini.

Pengorbanan untuk berjauhan pasti akan memberi erti dan manfaat dalam kehidupan. Berjauhan dengan ibu bapa dapat melatih anak-anak belajar hidup berdikari dan belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Author

Comments are closed.