fbpx
Banner

Semenjak bergelar seorang ibu, hati saya sentiasa kerunsingan. Mungkin perasaan ini datang bersama pakej menjadi seorang ibu. Walaupun saya telah bersalin dengan selamat dan anak saya sihat, saya menemui satu kebimbangan yang baru apabila tempoh cuti bersalin berakhir. Bagaimana harus saya mencari taska yang terbaik untuk anak kesayangan saya?

Dalam kerunsingan itu, saya menyedari bahawa proses mencari taska terbaik untuk anak saya adalah satu usaha yang perlu saya lakukan. Ia memerlukan persiapan yang rapi. Selain dari mempercayai gerak hati saya sebagai seorang ibu, ini lima perkara yang saya rasakan sangat penting dalam proses mencari taska terbaik untuk anak kecil:

1. Kenalpasti keperluan anda dan anak anda

Sebelum mula mencari taska di kawasan sekitar kediaman atau tempat pekerjaan anda, kenalpasti dahulu keperluan anda dan anak anda.

Dari segi lokasi, adakah anda mahu ia berada dekat dengan rumah atau tempat kerja? Jika anda berniat untuk menyusukan anak ketika bekerja, taska yang dekat dengan tempat kerja mungkin adalah pilihan yang terbaik. Anda juga harus memastikan taska itu mesra-menyusu dan pandai mengendalikan susu perahan dengan baik.

Dari segi pekerjaan, kenalpasti waktu anda pergi dan pulang dari kerja dan lihat jika ia bersesuaian dengan masa taska.

Kenalpasti juga keperluan anak anda. Adakah dia mempunyai keperluan istimewa atau alergi? Jika ada, anda perlu bertanya dengan taska jika mereka mempunyai polisi yang bersesuaian.

Tuliskan semua keperluan ini dengan rapi supaya ia dapat membantu anda mengenalpasti apa yang paling penting.

2. Kenalpasti bajet anda

Ada banyak taska untuk dipilih, namun harga yuran bulanannya banyak berbeza. Taska kerajaan biasanya lebih ekonomi daripada taska swasta, namun apa yang penting ialah anda perlu memastikan ia bersesuaian dengan keperluan anda.

Tentukan bajet bulanan untuk yuran taska, dan jangan lupa harga untuk bayi dan kanak-kanak juga berlainan.

Jika anak anda sudah bertatih dan berjalan, anda mungkin mahu memilih taska atau prasekolah yang mempunyai sistem pembelajaran awal kanak-kanak yang juga mempunyai khidmat taska setelah waktu pembelajaran selesai. Taska seperti ini sudah tentunya lebih mahal. Selain yuran bulanan, yuran lain untuk aktiviti kokurikulum dan uniform mungkin juga diperlukan.

Jika anda perlukan fleksibiti dengan masa, tanya mengenai caj luar masa (OT) jika ada. Kadarnya mungkin berbeza di antara taska.

3. Lawati taska-taska yang telah anda kenalpasti

Setelah mengenalpasti keperluan anak dan bajet, anda boleh mula melawat taska-taska yang telah anda pilih. Ambil peluang ini untuk mendapatkan informasi selanjutnya daripada mereka, seperti yuran dan peraturan-peraturan taska.

Perhatikan keadaan taska sama ada ia selamat, bersih, teratur dan keadaan sekelilingnya selesa untuk anak anda. Perhatikan juga cara penjaga dan guru menjaga anak-anak di bawah seliaan mereka. Temui pengetua taska dan cuba berbual santai untuk mendapatkan lebih idea mengenai komitmen mereka terhadap taska masing-masing.

4. Pastikan kredibiliti premis taska tersebut

Pusat taska kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, tetapi tidak semuanya berdaftar dengan pihak autoriti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Taska yang berdaftar adalah paling ideal kerana ia lebih selamat dan mempunyai polisi dan peraturan yang perlu diikuti. Contohnya, setiap taska harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang penjaga yang terlatih dengan pertolongan cemas dan membuat latihan kebakaran secara berkala.

Mungkin ada taska yang sedang di dalam proses mendapatkan kelulusan pendaftaran, jadi terpulanglah pada ibubapa untuk menunggu atau memilih taska yang lain.

5. Mainkan peranan aktif sebagai ibubapa

Menghantar anak ke taska samalah juga dengan menghantar anak ke sekolah. Anda harus memainkan peranan sebagai ibubapa yang cakna mengenai taska dan kegembiraan anak anda.

Jadilah ibubapa yang mesra tetapi tegas dengan penjaga, cuba lawati mereka ketika sedang beroperasi (mungkin sewaktu waktu makan tengahari di pejabat), dan sentiasa berkomunikasi dengan pihak taska jika ada hal yang membimbangkan anda.

Sentiasa perhatikan keadaan anak anda di rumah setelah dia pulang dari taska.Jika ada sesuatu yang tidak kena, anak-anak biasanya akan menunjukkannya dari segi perbuatan atau perbualan. Anak yang tidak gembira atau tidak menunjukkan minat ke taska mungkin menandakan ada sesuatu yang meminta perhatian anda.

Jika anda mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku dan ia tidak bertambah baik walaupun setelah anda menyuarakannya, ingat bahawa anda sentiasa ada pilihan untuk menukar taska.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Ayuni A.

Ayuni adalah seorang penulis bebas dan ibu kepada dua cahayamata. Dia gemar mendengar cerita dan menulis kisah-kisah inspirasi. Jika tidak menulis, dia biasanya sibuk menguruskan rumahtangga, berangan-angan menjelajahi dunia atau melukis di dalam jurnal hariannya.

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Author

Comments are closed.