fbpx
Banner

Menjadi seorang ibu atau bapa bukanlah sesuatu yang mudah. Menjadi ibu atau bapa tunggal disebabkan perpisahan dengan pasangan, kematian atau kerja berjauhan menjadikan ia lebih sukar.

Menurut Harian Metro, selepas perpisahan, tidak semua bekas pasangan mampu menggalas tanggungjawab bersama dan ia bukan saja memberi kesan emosi kepada anak-anak, malah bagi yang sedang melalui fasa perkembangan sahsiah diri dan keperibadian mereka semasa meningkat remaja.

Anak-anak sentiasa memerlukan ibubapa mereka di sisi. Keperluan mereka ini boleh membuatkan ibu atau bapa tunggal menjadi keletihan dan tidak berdaya terutamanya jika tiada sistem sokongan seperti pertolongan dari ahli keluarga, pengasuh atau pembantu rumah.

Di sini saya kongsikan beberapa tips berguna untuk kehidupan daripada ibubapa tunggal yang berpengalaman:

Jagalah diri sendiri

ibubapa tunggal

Sebagai manusia biasa, tidak mungkin seorang ibu atau bapa mempunyai tenaga yang tidak terhad dan terus mempunyai kekuatan untuk bermain dengan anaknya apabila dia tidak cukup tidur dan sudah kepenatan setelah sentiasa mendedikasikan diri untuk menjaga anak-anak.

Mencari masa untuk diri sendiri mungkin sukar atau mustahil, tetapi mengambil sedikit masa untuk rehat dan menjaga diri sangatlah penting. Cuba minta bantuan dari keluarga atau kenalan untuk menjaga anak dalam beberapa jam seminggu sekali, sementara anda menggunakan masa itu untuk rehat, tidur, membeli-belah dengan aman atau melakukan perkara yang anda suka seperti yoga. 

Nikmati keseronokan

ibubapa tunggal

Jika anda jarang ke panggung wayang atau membawa anak-anak ke taman tema, apa kata anda cuba lakukannya kali ini? Ia mungkin sedikit mencabar jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, tetapi melakukan aktiviti baru di luar rumah kadangkala memberikan satu keseronokan dan memberi ruang untuk lari dari rutin yang membosankan.

Selain itu, anda boleh juga pergi berkelah atau membawa anak-anak makan di restoran (ada banyak restoran yang juga memberikan makanan percuma untuk anak-anak). Jika ia terlalu mencabar untuk anda, lawatan ke kedai aiskrim untuk menikmatinya sambil berbual santai bersama anak juga sesuatu yang seronok untuk dilakukan. Anak-anak tentunya menghargai masa indah bersama ibu atau bapa kesayangan mereka.

Minta dan terima bantuan dari orang lain

ibubapa tunggal

Jika anda merasa terlalu kepenatan, jangan malu untuk meminta atau menerima bantuan. Sebenarnya ramai di kalangan kita yang segan untuk meminta bantuan, sedangkan orang sekililing kita sangat ikhlas dan gembira untuk membantu meringankan beban kita. Cuba tanya kenalan, saudara, atau ibubapa anda sendiri. Jika anda merasakan seperti kemurungan, anda juga boleh bercakap dengan pakar yang professional.

Kehilangan pasangan, perpisahan atau mempunyai pasangan yang bekerja jauh dari rumah boleh menjadikan anda kesunyian dan tidak gembira, namun ingat anda tidak perlu melaluinya berseorangan. Berjumpalah dengan pakar kaunselor, pakar psikologi atau sertai kumpulan sokongan ibubapa yang ada di luar sana. Kadangkala, ia dapat diatasi dengan bersosial dan mempunyai seseorang untuk mendengar dan berbual dengan anda.

Belajar menolak dan berkata “tidak”

Kanak-kanak sememangnya pandai mencuba untuk mengatasi batasan, terutamanya apabila ibu atau bapa sudah terlalu penat untuk melayan kerenah mereka. Ada yang akan menangis tidak berhenti, meminta-minta atau melakukan “tantrum” semata-mata untuk memenuhi kemahuan mereka.

Walaupun akur kepada kehendak mereka adalah sesuatu yang mudah dilakukan, ia tidak akan membantu anda mendisiplinkan mereka dalam jangka masa panjang. Bantu anak anda berdisiplin dengan mengadakan rutin harian atau melibatkan mereka dalam menguruskan kerja di rumah. Anak yang berumur 3 tahun sebenarnya sudah boleh mengemaskan permainan mereka sendiri setelah habis bermain.

Selain dari berkata “tidak” kepada anak-anak, anda juga perlu belajar berkata “tidak” kepada diri sendiri. Contohnya, jika anda terkejar-kejar untuk menghantar anak ke kelas renang dan cuba berjumpa klien untuk urusan bisnes anda, fikirkan alternatif yang anda boleh lakukan seperti menukar jadual renang atau jadual temujanji anda. Hakikatnya, tiada siapa yang boleh berada di dua tempat dalam satu masa kan?

Ditulis oleh : Faye Song

Suka artikel ini? Baca 5 Langkah Persediaan Kewangan untuk Masa Depan Anak Anda dan Ibu Pelupa: 6 Tips Mengekalkan Ingatan Anda!.

Author

Comments are closed.