fbpx
Banner
Tag

persekolahan anak

Browsing

Siapa tidak stres ajar anak? Lebih-lebih lagi sekarang apabila semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

Pasti ada yang sudah merasa resah gelisah kerana terpaksa berkurung di rumah, ditambah pula dengan anak kecil yang tidak mengenal erti penat!

Guru-guru berusaha mengadakan kelas online dan memberikan tugasan untuk dibuat. Kita sebagai ibu pula terpaksa mengambil alih peranan sebagai guru untuk mengajar di rumah. Ternyata ia bukannya satu perkara yang mudah. Sekarang barulah kita semakin menghargai penat lelah seorang insan bergelar guru!

Bukan mudah nak homeschool anak, tapi ini ada beberapa tips yang mungkin dapat bantu ringankan stres ibu bapa dan anak-anak lebih enjoy:

1. Child directed learning

Cara paling mudah untuk menarik minat anak-anak untuk belajar ialah dengan memastikan mereka sendiri berminat dan ingin belajar.

Aktiviti yang ‘dimulakan’ sendiri oleh anak-anak disokong oleh ramai pakar termasuklah Reggio Emilia. Sesi pembelajaran yang lebih berkualiti dapat diperolehi apabila anak-anak menunjukkan minat dan melibatkan diri mereka sendiri dalam aktiviti tersebut. Oleh itu, sentiasa peka dan kenalpasti kata-kata ataupun persoalan yang diajukan oleh anak-anak sepanjang hari.

2. Ruang dan jadual pembelajaran

Sediakan ruang dan jadual pembelajaran yang sama setiap hari. Ini membolehkan anak-anak bersedia dan tahu apabila tiba masanya untuk belajar pada hari tersebut. Homeschooling memberikan fleksibiliti yang diperlukan dalam situasi seperti ini. Ada sesetengah anak-anak yang suka beberapa waktu rehat diselang-selikan dengan sesi pembelajaran. Ada sesetengahnya pula sukakan ruang kecil dan selesa dalam bilik yang besar. Bincangkan dan capai kata sepakat dengan anak-anak.

Apabila di rumah, sudah tentulah sesi pembelajaran yang lebih praktikal akan berlaku setiap masa sepanjang hari tanpa boleh dirancang sepenuhnya. Kadangkala semasa memasak juga boleh dijadikan sesi pembelajaran tentang konsep sukatan. Gunakan contoh-contoh praktikal ini untuk memperteguh pembelajaran harian.

3. Tugasan harian di rumah

Sentiasa libatkan anak-anak dalam tugasan harian di rumah. Kaedah Montessori yang popular juga menggalakkan kemahiran  ‘kehidupan praktikal’ bermula dari kecil.

Melakukan tugasan harian di rumah membina sifat-sifat positif seperti rasa tanggungjawab, ringan tulang dan kerjasama. Anak kecil yang baru belajar berjalan pun boleh diajar untuk membantu tugasan yang mudah seperti menyedok nasi ke dalam mangkuk. Walaupun perlu dilakukan berkali-kali untuk menyudahkan tugasan itu dan perlu dibersihkan pula kemudian!

Susun barang dapur mengikut kategori. Membaca resipi semasa memasak. Kitar semula semasa membuang sampah. Semua ini adalah antara perkara yang boleh anak-anak belajar hanya dengan melakukan tugasan harian di rumah.

4. Kemahiran sosio-emosi

Dalam kehidupan seharian kita sering bersosial maka sudah tentu bukan sesuatu yang mudah apabila terpaksa mengamalkan penjarakan sosial. Anak-anak apatah lagi. Oleh itu, galakkan anak-anak untuk kekal berhubung melalui panggilan video dengan orang-orang yang mereka sering berjumpa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan.

Bercakap tentang perasaan juga membantu anak-anak melalui perubahan drastik ini. Kumpulkan seluruh ahli keluarga untuk bercakap secara terbuka tentang apa yang mereka rasa tentang perubahan ini dan cuba cari jalan penyelesaian untuk membantu meringankan tekanan yang dirasai.

Galakkan rasa bersyukur dikalangan ahli keluarga dalam situasi sekarang ini. Contoh aktiviti mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membuat jurnal kesyukuran. Suruh anak-anak untuk lukiskan atau tuliskan perkara yang membuatkan mereka rasa bersyukur sepanjang minggu. Jawapan yang mereka berikan mungkin akan mencairkan hati anda!

5. Biarkan anak-anak bosan

Kita semua mahukan hanya yang terbaik untuk anak-anak. Pada hari biasa, anak-anak kita akan dibawa ke sana-sini untuk pelbagai aktiviti. Memenatkan buat kita tetapi tetap kita lakukan demi masa depan mereka. Tetapi apa yang boleh dimanfaatkan dengan hanya terperuk di rumah sepanjang hari? Kita pula yang stres cuba mencari aktiviti yang boleh mereka lakukan untuk mengisi masa lapang mereka agar tidak bosan.

Jangan bimbang, kajian mendapati banyak kebaikan yang diperolehi melalui kebosanan. Menurut pakar psikologi, kebosanan dan masa terluang membuahkan kreativiti dan membolehkan anak-anak ketahui minat masing-masing. Perhatikan anak-anak mencari idea untuk menghiburkan diri sendiri. Tidak perlu membazir beli barang permainan berasaskan pendidikan atau educational toys. Selimut di rumah boleh dijadikan ‘kubu pertahanan’. Kerusi pula dijadikan ‘keretapi’.

Ini adalah masa terbaik untuk ‘memperlahankan’ kehidupan harian kita, nikmati momen-momen bersama anak di rumah dan biarkan mereka bosan!

Sedar kebolehan sebenar anak-anak

Masa inilah baru kita dapat lihat dengan lebih jelas kebolehan anak-anak kita dalam pembelajaran. Mungkin selama ini kita ingatkan mereka tiada masalah dalam memahami apa yang diajarkan di sekolah, namun sebaliknya yang berlaku.

Benar, bukanlah perkara mudah untuk mengajar anak contohnya ketika membuat kerja sekolah bersama mereka. Namun kita sebagai ibu janganlah cepat melenting, sentiasa sabar kerana tanpa kita sedar, perbuatan kita itu mampu memberikan impak negatif buat emosi mereka.  Kita stres, mereka lagi stres.

Berpadu tenaga dengan pasangan untuk meringankan stres ajar anak

Masa inilah juga kita dapat lihat sisi sebenar pasangan kita. Adakah mereka membantu atau pun hanya menyerahkan segalanya kepada kita untuk diselesaikan?

Mungkin juga kita sudah terbiasa selama ini segalanya diuruskan oleh pasangan atau kita sendiri. Namun dalam tempoh PKP sekarang ini, kita perlu bergabung tenaga dengan pasangan demi memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan tidak berakhir dengan pertengkaran setiap hari.

Lebih menyedihkan jika anak-anak lebih suka meluangkan masa dengan ayah mereka berbanding kita sendiri kerana kita bukan ibu yang fun berbanding ayah. Jadi janganlah terlalu serius wahai ibu! Jangan terlalu ambil pusing tentang sesuatu perkara buat masa sekarang ini, fokus untuk luangkan masa gembira bersama keluarga.

Berikan pujian

Bila terpaksa duduk sebumbung dalam tempoh yang lama, senang untuk kita nampak perkara yang negatif contohnya rumah bersepah. Gunakan peluang ini untuk meminta anak mengemas rumah bersama-sama. Jangan lupa berikan arahan dengan jelas dan tepat. Kemudian berikan pujian atas usaha mereka. Barulah mereka ringan tulang untuk membantu dengan perkara lain selepas itu, bukan? Perkara yang sama juga boleh dibuat untuk pasangan.

Jangan cuba untuk melakukan semuanya seorang diri. Ini bukan masanya untuk menjadi terlalu teliti atau mementingkan kesempurnaan. Letakkan kepercayaan kepada orang lain dalam rumah untuk membantu anda, barulah tak stres!

Artikel lain seperti ini mengenai: 5 tips untuk quality time bersama anak untuk ibu berkerjaya, 5 tips kekal positif semasa pandemik, dan tips WFH sambil jaga anak untuk ibu berkerjaya!