fbpx
Banner
Tag

murid

Browsing

Selama hampir 12 bulan, ibu bapa, anak-anak dan juga guru-guru terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Tanpa persediaan yang rapi dan pengetahuan yang menyeluruh, mampukah kita sebagai ibu bapa memainkan peranan sebagai guru di rumah? Bagaimana pula penerimaan anak-anak yang sudah menjadi rutin mereka ke sekolah tetapi kini terpaksa belajar di rumah pula? Bolehkah guru-guru menyediakan bahan yang lengkap, sesuai untuk ibu bapa dan anak murid di rumah?

Agak sukar untuk anak-anak kecil

Pembelajaran atas talian lebih mudah untuk dipraktikkan oleh murid yang lebih dewasa, contohnya murid sekolah menengah atau sekurang-kurangnya pelajar Tahun 6. Anak-anak yang masih tadika atau Tahun 1 terutamanya mempunyai masalah untuk memberikan sepenuh perhatian dalam tempoh yang lama berbanding mereka yang lebih dewasa. Ini mungkin menyukarkan sesi pembelajaran atas talian untuk dijalankan.

Pembelajaran Atas Talian agak sukar untuk anak-anak kecil
Pembelajaran Atas Talian agak sukar untuk anak-anak kecil

Masalah akses kepada fasiliti

Kita perlu terima hakikat bahawa kemudahan internet atau WiFi di negara kita masih belum mencapai tahap optimum. Tidak semua murid mempunyai akses ini di rumah masing-masing, lebih-lebih lagi murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman. Ini juga sukar buat keluarga yang mempunyai ramai adik-beradik yang masih bersekolah dan kemudahan seperti komputer atau telefon pintar sangat terhad.

Interaksi antara murid dan guru

Interaksi antara murid dengan guru amat penting demi memastikan tiada yang ketinggalan dalam kelas. Ini mungkin lebih mudah jika pembelajaran dilakukan secara normal di sekolah, namun berbeza keadaannya di atas talian. Murid yang pendiam akan terus senyap dan ‘halimunan’ dalam kelas atas talian berbanding dengan yang lain.

Faktor persekitaran di rumah

Jika di sekolah, setiap murid akan berada dalam kelas semasa sesi pembelajaran. Berbeza dengan di rumah, murid terpaksa sesuaikan dengan keadaan di rumah. Bising, adik-beradik yang lain mengganggu konsentrasi, persekitaran yang tidak kondusif seperti tiada bilik yang sesuai – ini semua boleh menyebabkan murid-murid menjadi tidak bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Lebih sukar lagi untuk murid-murid yang ibu bapa adalah petugas barisan hadapan. Ibu bapa terpaksa pergi bertugas tetapi sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak pula tidak dibuka. Maka murid-murid inilah yang terpaksa menjaga adik-beradik mereka di rumah. Apa lagi pilihan yang mereka ada, bukan?

Ibu bapa bukan pengganti guru untuk pembelajaran atas talian

Kasihan juga buat ibu bapa yang juga merupakan petugas barisan hadapan. Penat seharian bekerja, terpaksa pula menggagahkan diri membantu anak dalam hal sekolah yang selama ini dapat diringankan sikit dengan bantuan guru-guru di sekolah.

Tidak semua ibu bapa juga mempunyai kesabaran dan kemahiran yang ada pada para guru dalam mendidik anak-anak. Jika di sekolah, anak-anak ini akan lebih hormat dan mendengar kata guru. Berbeza pula di rumah kerana mereka melihat ibu bapa bukanlah sebagai guru mereka sendiri.

Kaedah dan teknik pengajaran ibu bapa sudah tentulah berpandukan cara lama, cara kita di bangku sekolah dahulu. Sudah tentulah berbeza sekali dengan cara pra guru mengajar zaman sekarang. Kalau untuk murid sekolah rendah mungkin masih tiada masalah, tetapi bagaimana pula untuk mengajar subjek yang lebih sukar? Pening dibuatnya!

Apa yang boleh kita lakukan jika pembelajaran atas talian diperpanjangkan?

Singkatkan waktu belajar

Beberapa penambahbaikkan perlu dibuat demi memastikan pembelajaran atas talian ini boleh dilakukan dengan baik. Untuk anak-anak yang masih kecil, mungkin sesi pembelajaran ini boleh dibuat secara singkat antara 30 minit ke sejam. Aktiviti yang dilakukan pula lebih kepada belajar sambil bermain kerana itulah fitrah mereka, terutamanya yang berusia 4 hingga 6 tahun.

Gunakan aplikasi yang bersesuaian untuk membantu

Bagi murid-murid yang tiada kemudahan akses internet, guru-guru boleh merekod sesi pembelajaran melalui aplikasi seperti Zoom, Webex, Google Classroom dan sebagainya untuk murid-murid ini ikuti kemudian. Murid-murid ini juga boleh mengajukan soalan melalui Whatsapp atau emel kepada guru.

Berikan kelonggaran untuk deadline kerja sekolah

Guru-guru juga boleh memberikan masa yang lebih panjang untuk murid-murid menyiapkan kerja sekolah, contohnya seminggu untuk satu subjek. Ini kerana mungkin murid-murid ini perlu berkongsi kemudahan internet dengan adik-beradik yang lain, atau perlu menunggu hingga ibu bapa mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan untuk cuti dan menggunakan telefon bimbit mereka.

Sediakan jadual untuk kekalkan disiplin

Bagi ibu bapa pula, jika dirasakan tidak mahir atau tidak tahu cara yang betul untuk mengajar anak di rumah, mungkin boleh dapatkan bantuan guru tuisyen online. Selain itu, sediakan juga jadual pembelajaran buat anak-anak setiap hari untuk setiap subjek. Ini supaya mereka kekal berdisiplin walaupun sudah lama tidak ke sekolah. Tidaklah mereka mensia-siakan masa bermalasan di rumah.

Guru-guru juga digalakkan untuk lebih kreatif dalam membantu murid-murid yang masih terpaksa ‘bersekolah’ di rumah masing-masing.

Tidak dinafikan, sukar untuk semua pihak terlibat menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian ini. Namun demi masa depan anak-anak kita sendiri, kita perlulah berkorban dan berusaha lebih kuat kerana entah bila akhirnya PKP dan COVID-19 ini. Sementara itu, bertabahlah semua! Kita pasti boleh lakukan ini bersama!

Baca: Lima tips untuk membantu anak menggunakan gajet untuk pembelajaran