fbpx
Banner

Kita sedia maklum bahawa banyak kisah dera kanak-kanak sering berlaku sejak beberapa tahun lepas tidak kira sama ada di tadika, taska ataupun di rumah pengasuh. Ini membuatkan mommy daddy takut untuk hantar anak tetapi mereka tiada pilihan lain kerana kedua-duanya bekerja dan tiada orang lain yang boleh menjaga anak mereka.

pusat jagaan kanak-kanak

Banyak ciri-ciri penting perlu dititikberatkan sebelum mommy daddy buat keputusan untuk hantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak kerana bukan mudah untuk mereka memberi kepercayaan sepenuhnya untuk menjaga anak yang “ditatang bagai minyak yang penuh” kepada orang lain.

Antara enam ciri penting anda perlu utamakan sebelum hantar ke pusat jagaan kanak-kanak adalah:

  • Selidik latar belakang pusat jagaan
  • Selidik latar belakang tenaga pengajar
  • Semak lesen beroperasi (dari JKM)
  • Adakah suasana persekitaran selamat untuk anak?
  • Adakah ia pilihan terbaik untuk anak anda?
  • Waktu operasi

Selidik latar belakang pusat jagaan/pengasuh

pusat jagaan kanak-kanak

Jika anda tiada pengalaman menghantar anak ke tempat jagaan, ini ciri paling utama anda perlu lakukan pada peringkat awal. Cari maklumat secara online mengenai pusat jagaan atau pengasuh tersebut supaya anda dapat mengenalpasti latar belakang, dapat baca feedback daripada mommy daddy lain serta berapa lama tempoh mereka beroperasi.

Ia bagi memastikan anak anda dijaga dengan elok semasa ketiadaan anda. Dari situ kita boleh lihat bagaimana cara mereka melayan kanak-kanak serta bilangan kanak-kanak dalam jagaan mereka.

Selidik latar belakang tenaga pengajar

pusat jagaan kanak-kanak

Menjaga kanak-kanak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ini penting untuk pastikan guru pandai mengawal perasaan semasa mengajar serta mampu mengawal kanak-kanak dalam jagaan mereka. Mommy daddy perlu ambil tahu nama, umur, pengalaman kerja dan tahap pendidikan bagi memastikan mereka sudah terlatih sebelum menjadi cikgu.

Namun, bagi pengasuh pula, anda boleh selidik pengalaman pengasuh menjaga anak kecil untuk ketahui mereka mahir menjaga anak kecil terutama bayi tanpa pengawasan anda.

Semak lesen beroperasi

Pusat jagaan kanak-kanak perlu berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika mereka mahu beroperasi di negara ini.

pusat jagaan kanak-kanak

Menurut laman web JKM, Jika mana-mana TASKA tidak berdaftar atau TASKA yang berdaftar tetapi tidak mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, Peraturan-Peraturan TASKA (Pengkompaunan Kesalahan) 2011, Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 boleh dikenakan tindakan seperti berikut:

  • Kompaun maksimum RM5,000.00 bagi setiap kesalahan.
  • Pembatalan Pendaftaran.
  • Arahan TASKA ditutup sementara.
  • Lak (seal).
  • Pendakwaan dan jika sabit kesalahan boleh : 
    1. didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya;
    2. bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Seterusnya, minta kebenaran pihak pusat jagaan untuk melihat salinan sijil lesen beroperasi dan periksa tempoh sah lesen supaya anda tahu tempoh terbaru lesen pusat jagaan tersebut. Malah, anda juga boleh cuba bertanya beberapa soalan seperti kekerapan JKM datang buat pemeriksaan di pusat jagaan berkenaan.

Adakah suasana persekitaran selamat untuk anak?

pusat jagaan kanak-kanak

Antara sebab kita mahu hantar anak ke pusat jagaan adalah kerana kita percaya anak akan selamat berada di sana selama kita bekerja. Persekitaran yang selamat membuatkan mommy daddy lebih percaya untuk menghantar anak. Pastikan pusat jagaan itu mempunyai kamera litar tertutup untuk rujukan anda jika berlaku perkara tidak diingini terhadap anak anda.

Seeloknya cuba buat temujanji dan lihat sendiri suasana persekitaran luar dan dalam tempat tersebut sebelum hantar anak. Gambar dalam media sosial mungkin berbeza atas faktor-faktor tertentu. Mommy daddy juga lebih berpuas hati jika dapat lihat persekitaran depan mata sendiri, kan?

Adakah ia pilihan terbaik untuk anak anda?

pusat jagaan kanak-kanak

Walaupun pusat jagaan kanak-kanak yang anda pilih itu terbaik dan selamat untuk si manja anda, banyak faktor lain mempengaruhi keselesaan anak di sana. Adakah ia membantu perkembangan fizikal dan mental anak? Jika ya, anda harus yakin dengan keputusan anda.

Sesetengah kanak-kanak mengambil masa lama untuk sesuaikan diri di tempat baru. Jika mereka menangis dan tidak selesa apabila berada di tempat lain selain rumah anda, cuba hantar anak dalam tempoh seminggu untuk dia sesuaikan diri bersama rakan-rakan dan guru. Pujuk anak supaya dia memahami kenapa dia dihantar ke pusat jagaan. Jangan lupa untuk cium dan peluk anak anda sebelum menghantar mereka.

Waktu operasi

pusat jagaan kanak-kanak

Tempoh waktu operasi haruslah selari dengan waktu bekerja anda. Jika anda bekerja mengikut waktu syif, bincang dahulu dengan pengetua atau pengasuh untuk tentukan waktu penjagaan anak anda. Tempoh jagaan juga perlu bersesuaian dengan bayaran dikenakan.

Ciri-ciri di atas amat penting kerana anda meletakkan kepercayaan kepada orang lain bagi menjaga si manja anda. Cuba kita fikirkan, andai anak yang tersayang tidak dijaga dengan betul. Paling teruk, didera semasa dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak.

Luluh hati ibu bapa bila anak dipukul tanpa belas kasihan. Malah, ada kes kanak-kanak didera sehingga meninggal dunia. Beberapa kisah dera di pusat jagaan pernah tular dalam negara ini sehingga membuatkan ibu bapa takut untuk menghantar anak.

Antara kes dera yang mendapat perhatian warga laman sosial ialah pengasuh simpan mayat bayi tersedak susu, anak terlalu hiperaktif punca didera, guru tadika campak kanak-kanak, pengasuh taska didakwa dera kanak-kanak dan banyak lagi.

pusat jagaan kanak-kanak

Jika anda berpuas hati dengan kajian dilakukan mengenai pusat jagaan yang sesuai, barulah hantar anak ke tempat tersebut. Jangan ambil mudah perkara ini kerana ia melibatkan nyawa yang tersayang. 

Suka artikel ini? Baca 5 Tips Siapkan Bekal Makanan Anak Ke Sekolah dan Empat Barang Di Rumah Berbahaya Untuk Anak Anda

Author

Comments are closed.