fbpx
Banner

Ketika saya ditawarkan untuk berkongsi tentang kisah kelahiran anak kedua saya, Maryam, perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Terlalu gembira, terlalu teruja, namun dalam masa yang sama sedikit gusar kerana menceburi bidang penulisan merupakan salah satu daripada impian saya.

Maryam Ahmad Hazwan, anak kedua adalah seorang bayi pramatang yang lahir pada usia 33 minggu, 5 hari.

Kelahirannya bukan sahaja mengubah, malah menguatkan lagi persepsi saya terhadap pelbagai aspek termasuklah kekuatan diri dan kebergantungan yang amat tinggi kepada Tuhan.

Kisahku melahirkan bayi pramatang

Ketibaan Maryam secara tiba-tiba

“You will never know how strong you are, until being strong is the only option you have”.

Pepatah Inggeris ini paling tepat menggambarkan perasaan saya ketika dalam proses melahirkan Maryam.

Tidak ada angin, tidak ada ribut, lebih kurang pukul 10 malam pada tanggal 21 Oktober 2017, saya tiba-tiba kerap membuang air besar sehingga mencapai tahap cirit-birit.

Saya rupanya sedang mengalami salah satu tanda awal bersalin kerana ianya merupakan suatu pengalaman yang baru buat saya.

Berbeza dengan proses kelahiran anak pertama saya, Umar, tanda-tanda awal bersalin yang saya alami hanyalah kontraksi yang berkala dan pecah air ketuban.

Pada mulanya, saya hanya menganggap keadaan itu berpunca daripada keracunan makanan sehinggalah cirit-birit tersebut bertambah menjadi sakit yang menggila di bahagian pinggang.

Maryam hanyalah seberat 1.96 kg pada masa dilahirkan pramatang.Ketika itulah, saya meminta suami yang baru sahaja pulang dari Australia pada pagi itu untuk membawa saya ke hospital daerah.

Rupanya, bukaan sudah 4 cm dan dipendekkan cerita, tiba sahaja di hospital dengan dibawa oleh ambulans, bukaan telah pun mencapai 10 cm. 10 minit kemudian, lahirlah Maryam, pejuang kecil saya.

Walaupun masih dalam keadaan terpinga-pinga, di saat itu, hanya satu sahaja yang berlegar di fikiran : “Aku harus kuat”.

Maryam hanyalah seberat 1.96 kg pada masa dilahirkan. Saya masih di bilik bersalin ketika Maryam dibawa ke NICU dan hanya suami sahaja yang menemaninya di sana.

Mencari kekuatan

Meskipun saya membayangkan Maryam diletakkan di pangkuan saya sejurus selepas dilahirkan sepertimana kelahiran anak pertama saya, saya faham keadaan cemas ketika itu tidak mengizinkan saya untuk menatap wajahnya.

Hanya tangisan Maryam yang terngiang-ngiang di minda.





Suami ada menghantar gambar Maryam melalui aplikasi Whatsapp. Putih kemerahan kulitnya, namun wajahnya tidak kelihatan jelas kerana hidung dan mulutnya berselirat dengan wayar.

Begitu juga di dada, di perut, di tangan kanan dan kaki kirinya. Kali pertama saya berjumpa dengan Maryam di NICU ialah sewaktu suami tiba dari Dungun ketika waktu melawat tengah hari tersebut.

Panjangnya hanyalah ibarat cantuman dua tapak tangan saya sahaja.

Sedih, sebak, takut, seringkali bertanya pada Tuhan “Kenapa, Ya Allah?”, namun saya simpulkan semua perasaan itu dalam satu ikatan kemas yang saya labelkan di minda, “Jangan Buka” kerana waktu itu saya tak boleh rebah. Maryam perlukan saya untuk dia terus gagah.

Namun, ketika masih terkial-kial mengelak daripada rebah, kami menerima perkhabaran daripada doktor pakar mengenai bayi pramatang kami.

Kata mereka, sekiranya bacaan bilirubin tidak turun ke paras yang bersesuaian dengan kondisinya ketika itu, dia harus menjalani transfusi darah untuk mengelakkan risiko jangkitan kuman pada otak.

Saya menangis ketika menandatangani surat kebenaran untuk menjalani transfusi darah itu.

Masih segar kata-kata suami di minda saya, “Tak apa sayang. Itu usaha kita. Kita usaha yang terbaik dah untuk Maryam. Allah tahu perasaan kita. Kita serah pada Allah belaka”.

Tuhan itu Maha Pengasih. Tidak diberi suatu ujian yang di luar kemampuan hambaNya.

…saya simpulkan semua perasaan itu dalam satu ikatan kemas yang saya labelkan di minda, “Jangan Buka” kerana waktu itu saya tak boleh rebah. Maryam perlukan saya untuk dia terus gagah.

Sentiasa di sisi Maryam

Bacaan bilirubin Maryam turun dan dia tidak perlu menjalani transfusi darah. Hari-hari yang mendatang sewaktu di NICU, keadaannya bertambah baik.

Dia tidak lagi ditempatkan di zon kritikal dan berupaya untuk bernafas tanpa memerlukan bantuan oksigen. Maryam juga sudah pandai ‘latching’ jadi dia dibenarkan menyusu badan secara terus tanpa perlu diberikan susu yang dipam melalui picagari.

Sorry Maryam. Ibu balik rumah kejap. Badan ibu rasa sakit sangat. Maryam kena kuat eh. Nanti kita jumpa lagi”.

Perbualan saya dengan Maryam ketika memberitahunya yang saya terpaksa pulang mengurut dahulu untuk beberapa hari. Saya perlu alihkan fokus kepada diri saya sendiri supaya saya sihat dan bertenaga untuk menjaganya.

Namun, saya dan suami tetap berulang-alik dari Dungun ke Terengganu sepanjang beberapa hari saya tiada di NICU demi memberi semangat padanya di samping menghantar susu yang di pam.

Amat sedih saya rasakan apabila ada jururawat di situ memberitahu terdapat segelintir ibu-bapa yang meletakkan sepenuh tanggungjawab menjaga anak mereka pada jururawat-jururawat tersebut.

Ya, saya tidak tahu keadaan sebenar mereka untuk saya sewenang-wenangnya melabel atau memandang serong apa jua keputusan yang mereka buat.

Namun, ketika mengetahui anak kita bayi pramatang, kita sebagai ibu bapa harus mencurahkan 200% kasih sayang kita pada mereka dalam apa jua bentuk sekalipun, walaupun kita takut, walaupun kita merasakan kita tidak pandai, walaupun hati kita sarat dengan perasaan sedih.

5 hari Maryam di NICU dan seterusnya 13 hari di wad MAC.

Kebergantungan yang tinggi pada Tuhan

Melihat seorang bayi kecil berjuang untuk hidup mengingatkan saya bahawasanya ceritera hidup saya ditulis oleh ‘The Greatest of all Writers’. Mungkin jalan ceritanya tidak seperti yang saya harap atau impikan, namun ianya adalah yang terbaik buat saya.

Dalam apa jua yang kita lakukan, jangan sesekali kita lupa yang tatkala kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu adalah yang terbaik.

Memberi inspirasi kepada mommy yang melahirkan bayi pramatang

Benarlah, setiap anak yang lahir itu, telah Tuhan tetapkan rezekinya sejak dari awal kandungan lagi dan melalui penulisan saya ini, telah direzekikan kepada Maryam untuk menjadi salah satu kisah yang dengan izinNya mampu memberi inspirasi dan tauladan.

Sebagaimana kisah kelahiran Maryam ini memberi inspirasi buat saya, saya berharap agar ianya dapat mencetuskan sesuatu yang memberi manfaat pada diri mereka yang membacanya.


Ditulis oleh : Hanum Rahman

Hanum Rahman merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat (Teknologi Sekuriti). Ibu kepada dua cahaya mata ini memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa, namun dalam masa yang sama telah memulakan ‘home baking business’ secara kecil-kecilan sejak 2016. 















Dapatkan baju pre-loved murah, trendy & berkualiti!








Author

Comments are closed.