fbpx
Banner

5 tahun 6 bulan. Itulah tempoh yang kami lalui sebelum Hannan dilahirkan. Setelah mendirikan rumahtangga pada 2006, dan seperti pasangan lain yang baru berkahwin, kami turut memasang impian untuk menjadi seorang ayah dan ibu. Namun, Allah mempunyai perancangan-Nya tersendiri.

Walau bagaimanapun, pada 2011 semuanya berubah. Saya yang dalam perjalanan tugasan ke Sabah telah menerima SMS dari isteri yang mengatakan bahawa ujian kehamilannya positif.

“Tak kot…nanti bila saya balik, kita beli pregnancy test yang lagi mahal ya?” saya cuba untuk mengawal kegembiraan memandangkan kes ‘silap bacaan’ (false alarm) pernah terjadi sebelum ini. Ternyata kami tidak tersilap kali ini.

Tanggal 11 September 2011, Hannan Nur Sufiyyah, puteri pertama kami dilahirkan.

Sewaktu tempoh kehamilan dan selepas dilahirkan, pelbagai perkara luar biasa dan rezeki yang tidak disangka-sangka telah kami perolehi terutama sekali dalam bidang kerjaya dan kewangan keluarga.

Bukan itu sahaja. Daripada menanti selama hampir 6 tahun, kami kini dikurniakan 2 cahaya mata lagi iaitu Suphie dan Muhammad.

“Rezeki anak” adalah terma yang amat saya pegang dan percayai berdasarkan episod ini.

Rezeki yang saya perolehi ini sesungguhnya datang dari Allah dan Hannan, Suphie dan Muhammad merupakan asbabnya.

Bertitik tolak daripada itu, saya memasang impian untuk menjadi seorang ‘Ayah Sepenuh Masa’.

Hasrat sebegini di kalangan para ayah bukanlah sesuatu yang sering didengari. Tentu ramai yang tertanya kenapa saya berimpian sebegitu?

Ini pandangan dari kaca mata saya secara peribadi:

Motivasi bebas kewangan

Setelah kelahiran Hannan, pandangan saya terhadap erti kehidupan telah berubah. Saya perlu kembalikan rezeki yang diperoleh ini dengan memberikan komitmen yang lebih sebagai seorang ayah.

Saya ingin menjadi seorang ayah sepenuh masa. Untuk itu, saya perlu memperoleh status bebas kewangan (financial freedom).

Saya menggunakan impian untuk menjadi ayah sepenuh masa bagi mencapai status bebas kewangan tersebut.

Saya masih lagi dalam perjalanan ini dan saya tidak pasti yang saya akan mencapainya. Namun itulah impiannya.

Rezeki anak - ayah dengan tiga cahaya mata

Peranan seorang ayah

Berdasarkan kajian Sheila Brachfeld-Child pada tahun 1980an yang merupakan seorang pensyarah kanan dari Wellesley College, peranan seorang ayah adalah saling melengkapi dengan peranan seorang ibu.

Peranan ibu dalam permainan kanak-kanak adalah dengan mengajar pelbagai aktiviti dan membentuk kemahiran halus motor kanak-kanak.

Manakala peranan ayah dalam permainan adalah untuk lebih aktif seperti melambungkan, berguling dan pelbagai aktiviti fizikal lain.

Oleh itu, bagi memastikan keseimbangan personaliti anak-anak, amatlah penting untuk saya rapat dan selalu berada bersama mereka pada setiap masa.

Remaja merupakan antara fasa terpenting dalam perkembangan anak-anak

Hannan akan mencecah umur remaja dalam tempoh 3 tahun lagi. Suphie dan Muhammad pula akan menyusul kemudian.

Dalam fasa kedua kehidupan anak-anak sebagai remaja ini, hubungan dengan kedua ibu bapa menjadi lebih penting.

Dalam fasa inilah anak-anak akan melihat pengaruh rakan sebaya sebagai ikutan pada masa sekarang. Tetapi melihat pengaruh ibu bapa sebagai ikutan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, menjadi ‘rakan karib’ anak-anak adalah penting agar anak-anak mempunyai saluran yang betul untuk menceritakan setiap perkara yang terjadi di dalam kehidupan mereka.

Filantropi kecil

Saya dan anak-anak ingin memulakan usaha kecil kami dalam menyebarkan usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Kami telah mewujudkan page ‘Little Philantropeas’ di Facebook sebagai permulaan.

Model ‘social entrepreneurship’ ini adalah untuk menjalakan perniagaan.

Dalam model ini, 50% daripada hasil keuntungan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Baki 50% lagi akan digunakan untuk modal perniagaan dan simpanan kewangan anak-anak.

Hasrat usaha kecil ini adalah untuk mengajar ilmu asas perniagaan. Mereka perlu memahami bahawa di dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada bahagian untuk mereka yang kurang bernasib baik.

Oleh itu bagi saya, peluang menjalankan perniagaan dan berada di dalam status bebas kewangan adalah amat penting dalam memastikan kejayaan usaha filantropi-filantropi kecil saya.

Sesungguhnya, setiap ayah memasang niat untuk menjadi acuan ayah yang terbaik untuk anak-anak yang mereka sayangi. Tiada jawapan yang betul atau salah dalam mendidik anak-anak mengikut acuan seorang ayah.

Ramai daripada kita merancang kehidupan kita bergantung kepada pekerjaan kita seharian. Contohnya, masa bercuti dengan keluarga hanya boleh dilaksanakan sekiranya cuti di pejabat diluluskan oleh boss.

Impian saya, adalah untuk mengubah rutin itu dengan merancang pekerjaan dan merencana kehidupan berdasarkan jadual anak-anak.

Sejauh manakah impian ini akan tercapai? Hanya Tuhan yang tahu.

Azam saya, saya ingin memberi sepenuh perhatian dan sentiasa boleh menjawab “Ya” kepada anak-anak sekiranya ditanya “Daddy, free tak?”

Author

Comments are closed.