fbpx
Banner

Selepas baca artikel ini, golongan wanita akan lebih faham mengenai sebab mengapa mereka lebih ramai menghidap depresi:

  • Terdapat kajian mengatakan wanita lebih cenderung depresi berbanding lelaki.
  • Beberapa faktor membuatkan wanita mudah depresi.
  • Cara wanita dan lelaki mengawal depresi berbeza.

Depresi atau kemurungan merupakan salah satu daripada gangguan mental yang semakin menular di seluruh dunia terutama golongan wanita. Menurut Astro Awani, Pakar psikiatri Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Hamidah Mohd Salleh, menyatakan bahawa rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan kira-kira 41.9 peratus wanita mengalami masalah kesihatan mental berbanding lelaki yang mencatatkan 29.3 peratus, beberapa tahun lalu.

Tambahnya, keupayaan wanita melakukan banyak pekerjaan pada masa kini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada masalah berkenaan selain faktor-faktor lain.

Sebab golongan wanita lebih ramai menghidap depresi

depresi

Menurut sebuah jurnal daripada Universiti Malaya bertajuk WANITA DAN KEMURUNGAN DARI PERSPEKTIF JURANG GENDER: SIMPTOM DAN FAKTOR penulis Rose Fazilah Ismail, Rusdi Abd. Rashid, Zahari Ishak dan Haris Abd. Wahab, antara penyebab wanita lebih mengalami depresi adalah:

  • Faktor biologi

Faktor biologi

depresi

Masalah depresi dalam kalangan wanita amat berkaitan dengan perubahan hormon dalam sistem biologi wanita terutama sewaktu waktu peralihan daripada usia sebelum baligh kepada usia akil baligh, ketika wanita dalam proses menstruasi, ketika wanita dalam proses kehamilan dan apabila wanita mencapai pre-menopause walaupun pada permulaannya jumlah peratus penyakit depresi adalah sama di antara golongan lelaki dan wanita.

Hormon estrogen

Wanita mengalami depresi semasa berumur 14 tahun hingga 25 tahun selepas mencapai umur akil baligh. Gangguan kemurungan yang tinggi dalam kalangan wanita semasa usia akil baligh berlaku kerana perubahan yang ketara pada tahap hormon estrogen (hormon seks). Hormon ini merupakan hormon yang dihasilkan oleh sistem reproduktif wanita yang berkaitan dengan perkembangan wanita semasa akil baligh. Hormon ini mempengaruhi kitaran reproduktif wanita.

Hormon serotonin

Selain itu, hormon estrogen juga diperlukan bagi meningkatkan hormon serotonin, iaitu cecair kimia yang terdapat dalam struktur otak manusia yang berfungsi untuk menstabilkan mood. Rendahnya hormon estrogen boleh menyebabkan hormon serotonin berkurangan seterusnya boleh menyebabkan perubahan pada mood individu dan mengakibatkan kewujudan simptom gangguan kemurungan.

Contohnya, perubahan pada hormon estrogen berlaku semasa proses menstruasi dalam sistem biologi wanita. Perubahan hormon yang berlaku ini secara tidak langsung menyebabkan perubahan pada mood wanita apabila tahap estrogen rendah.

Proses kehamilan

depresi

Wanita hamil bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal, malah hormon dan emosi juga turut berubah. Difahamkan, kira-kira 10 hingga 15 peratus wanita hamil menderita pelbagai masalah mental seperti masalah depresi dan kebimbangan (anxiety).

Perubahan hormon estrogen yang tidak stabil boleh mengganggu aktiviti hormon serotonin hingga membuatkan perubahan emosi kepada wanita hamil sehingga terdapat simptom depresi. Mungkin sebab ini kita sering berkata ibu hamil lebih beremosi berbanding wanita tidak hamil.

Pre-menopause

depresi

Selain itu, wanita yang melalui proses peralihan menopaus turut berisiko tinggi menghidap depresi. Menopaus bermaksud berakhirnya kitaran haid untuk seseorang wanita atau istilah lain, ovari wanita telah berhenti menghasilkan telur dan wanita tidak lagi boleh hamil.

Biasanya, proses menopaus mengambil masa yang lama di antara tiga hingga lima tahun dan hanya lengkap setelah kitaran haid wanita berhenti sepenuhnya selama 12 bulan kemudian. Sewaktu proses menopaus, perubahan yang berlaku dari tahap kesuburan tinggi hingga ke tahap ketidaksuburan dikenali sebagai klimakterik, berlaku beberapa perubahan yang ketara terhadap diri wanita. Perubahan tersebut termasuklah hormon wanita, fizikal dan psikologi wanita sehingga mengganggu kualiti hidup wanita secara keseluruhannya.

Antara simptom-simptom pre-menopause adalah kitaran haid yang tidak teratur, berpeluh pada waktu malam, sukar untuk tidur (insomnia), perubahan mood, pertambahan berat badan, osteoporosis dan sebagainya.

Rasa kecewa, putus asa, rasa marah yang tidak dapat dikawal serta hilang fokus atau tumpuan terhadap sesuatu perkara adalah simptom utama yang sering dialami oleh golongan wanita yang melalui proses peralihan menopaus. Malah, mereka juga selalu berasa mudah letih dan tidak bertenaga.

Kisahku: Cuba kongsi pengalaman pergi “check-up” di hospital, tak sangka perkongsian di TikTok raih perhatian ramai

Seorang gadis berasal dari Subang Jaya, Alya, berusia 22 tahun, berkongsi pengalaman dirinya selepas disahkan menghidap Major Depression Disorder (MDD) dan anxiety (kebimbangan melampau) dua tahun lalu serta prosedur mendapatkan rawatan psikiatri di hospital kerajaan.

Menurut perkongsiannya di mStar, Alya mengalami simptom seperti kesedihan melampau, kemurungan dan rasa kekosongan selama hampir setahun. Ini kisahnya:

Masa itu saya masih menuntut di peringkat diploma di Johor. Berjauhan pula dengan keluarga yang menetap di Subang Jaya, Selangor. Faktornya disebabkan oleh peristiwa yang pernah saya alami namun saya tidak selesa berkongsi mengenainya.

Pada mulanya saya sedih, boleh dikatakan kerap menangis. Saya seorang yang ceria pada awalnya, bila keadaan macam ini, kawan-kawan cadangkan saya dapatkan rawatan. Bila bertemu pakar dan buat test, pakar sahkan saya ada MDD dan anxiety.

Pada peringkat awal, saya pergi klinik swasta. Saya tak beritahu ibu bapa pun. Selama enam bulan saya ke klinik swasta, kosnya lebih sikit. Kemudian, saya bertukar kepada hospital kerajaan.

Tidak lama kemudian, saya beritahu ibu dan bapa mengenai kesihatan saya. Mereka terkejut juga namun tetap memberi sokongan.

Sekarang ini saya bergantung kepada ubat ubatan. Saya juga sedang cuba berjinak dengan karya seni sebagai terapi. Dalam masa yang sama, saya juga banyak berkongsi dan bercerita dengan kawan-kawan dari sekolah dan kawan baru yang dikenali dalam aplikasi Clubhouse. Itu adalah sebahagian daripada terapi
untuk saya. Rasa lega dapat berkongsi dan bercerita.

Pada mulanya saya hanya terbuka mengenai apa yang saya hadapi ini dengan kawan-kawan rapat di Instagram sahaja. Ini kerana saya rasakan keadaan sekeliling masih belum mempunyai cukup kesedaran mengenai isu kesihatan mental.

@nndaisy_ Its getting long, so part 2? #mentalhealth #fyp ♬ original sound – alya wahid

Kemudian, saya mula cuba kongsi di TikTok. Video ketika itu meraih 11,000 jumlah tontonan. Dan ramai yang komen, minta saya ceritakan bagaimana proses untuk dapatkan rawatan pakar.

Mengapa tidak saya share sebab ramai yang tak tahu dan tercari-cari mengenai prosedurnya. Kebetulan pula saya ada appointment dengan pakar psikiatri baru-baru ini, jadi saya ambil kesempatan untuk rekod dan rangkumkan, dan kongsi di media sosial.

Penyakit mental ni ada banyak jenis. Jagalah tutur kata kerana kita tak tahu apa yang individu itu alami. Fikir dahulu sebelum berkata-kata.

Semoga dengan perkongsian Cik Alya di atas dapat memberi semangat kepada kaum wanita di luar sana yang mengalami masalah sama dan teruskan berjuang. Jangan berputus asa, anda boleh hadapinya!

Suka artikel ini? Baca Postpartum depression: 5 Punca dan atasi kemurungan lepas bersalin dan 5 Cara atasi kemurungan dengan segera.

Author

Comments are closed.