fbpx
Banner

Sejak menjadi seorang ibu, adakah anda menyedari bahawa anda menjadi semakin pelupa? Ia terjadi pada saya.

Saya sememangnya bukan ibu yang hebat, tetapi saya telah belajar pelbagai cara untuk mengelakkan daripada menjadi ibu pelupa semasa melalui hari-hari yang sibuk. Saya harap ini dapat membantu para ibu baru di luar sana.

1. Selitkan tugasan rumah ke dalam rutin seharian

Bukan bayi sahaja yang mendapat manfaat daripada rutin. Ibubapa juga memerlukan rutin dalam melalui hidup seharian. Rutin memberikan peluang untuk anda berfungsi walaupun tidak cukup tidur.

Saya cuba untuk menyelitkan tugasan rumah yang kecil di dalam rutin seharian saya. Contohnya, selepas memandikan bayi, saya akan terlalu sibuk menyiapkannya sehingga saya lupa untuk membuang air mandiannya. Jadi, saya memandikannya di dalam bilik air saya sendiri supaya saya ingat untuk mengosongkannya semasa saya mandi kemudian.

2. Senarai semak!

Saya sering melancong bersama anak saya, jadi saya sudah terbiasa menyiapkan segala-galanya. Untuk mengelakkan daripada menjadi ibu pelupa, saya ada senarai semak khusus untuk barangan anak saya dan saya simpan di dalam begnya.

Senarai semak ini sangat membantu saya, sehinggakan saya membuat satu senarai khusus untuk inventori barangan rumah saya. Sungguh, saya tak mampu mengingati berapa gulung tisu tandas yang tinggal di dalam stor saya!

Tips: Gunakan laminasi pada senarai anda supaya ia boleh ditanda dengan pen papan putih dan dipadamkan dengan mudah.

ibu pelupa

3. Susun dengan rapi

Saya sebenarnya seorang yang penyepah. Tapi dengan kehadiran anak, saya telah bertukar  dan mula menyusun barang saya dengan rapi. Kini saya dapat menjimatkan lebih banyak masa dan tidak perlu tercari-cari barangan yang saya perlukan. Kalau barangan saya bersepah seperti dulu, tentu anak saya akan berkeliaran dalam keadaan berbogel!

4. Gunakan alat pemasa

Pernahkah anda lupa mengenai makanan yang dipanaskan di atas dapur? Saya pernah. Selalunya saya jangkakan saya sempat menunggu bubur anak saya siap sementara dia tidur. Tiba-tiba dia terbangun dan menangis dan saya terpaksa meninggalkan dapur lalu saya terus lupa! Ini sangat berbahaya kan? Ibu saudara saya telah mengajar satu tip yang sangat berguna: Gunakan alat pemasa setiap kali anda memanaskan sesuatu di atas dapur. Ia akan mengingatkan anda mengenainya!

5. Labur dalam produk yang menjimatkan masa dan tenaga

Perkakasan yang bijak dan tidak memerlukan perhatian seperti pengukus automatik dan pensteril botol yang padam sendiri adalah wajar dimiliki. Periuk “crockpot” juga sangat sesuai kerana ia membantu memasak sup dan gulai sementara anda sibuk dengan pekerjaan lain.

ibu pelupa

6. Tetapkan papan kenyataan keluarga

Sebuah papan kenyataan atau sudut keluarga adalah di mana anda boleh meletakkan pelbagai informasi berkenaan keluarga seperti nombor telefon kecemasan dan kalendar untuk setiap ahli. Setiap ahli keluarga tentu mempunyai komitmen yang berbeza setiap minggu, jadi elok untuk mempunyai satu sudut yang boleh menunjukkan kesemuanya. Saya juga mempunyai senarai barang dapur yang sentiasa dikemaskini, jadi sesiapa yang keluar ke kedai akan tahu apa yang perlu dibeli.

Anda ada tips untuk lebih mengingati perkara dengan lebih baik? Kongsi dengan kami di [email protected]

Author

Comments are closed.