fbpx
Banner

Selepas baca artikel ini, anda akan lebih faham hukum tentang bermesra dalam bulan Ramadan kerana:

  • Penjelasan terperinci daripada sumber yang boleh dipercayai.
  • Tahu mengenai perkara apa boleh dibuat dan tak boleh dibuat dalam bulan Ramadan.
  • Tahu bila masa yang sesuai untuk bermesra.

Hukum bermesra dalam bulan Ramadan

bermesra dalam bulan ramadan

Bagi pasangan suami isteri beragama Islam, anda mesti tahu bahawa puasa bukan saja bermaksud menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu di siang hari. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Menurut Saidatuna A’isyah R.anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).”

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas bahawa baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.

Walau bagaimanapun, menurut mazhab al-Imam al-Syafie sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi:

Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.

Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut.

Seperkara yang perlu dinyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.

Hukum bersetubuh di siang hari dalam bulan Ramadan

bermesra dalam bulan ramadan

Menurut firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.”

Surah al-Baqarah (187)

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.

Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Apa perlu dibuat jika telah bersetubuh di bulan Ramadan?

bermesra dalam bulan ramadan
  • Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ

Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.”

Riwayat Ibn Majah (1671)

  • Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):
  1. Membebaskan seorang hamba.
  2. Berpuasa dua bulan berturut-turut.
  3. Memberi makan kepada 60 orang miskin.
bermesra dalam bulan ramadan

Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:

أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَهْلَكَكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏”‏ أَعْتِقْ رَقَبَةً ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُهَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أُطِيقُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ لاَ أَجِدُ

Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.

Riwayat al-Bukhari (1936)

Walau bagaimanapun, anda boleh rujuk kepada sumber lain seperti Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk kepastian dan rujuk ahli ulama yang lain. Amat penting untuk anda faham mengenai isu ini kerana ia merupakan isu berat jika seseorang tidak tahu dan sengaja membatalkan puasa demi nafsu.

Suka artikel ini? Baca 7 tips menghidupkan Ramadan bersama anak-anak dan Jadual Makan Pil Perancang Semasa Ramadan.

Author

Comments are closed.