Memang seram bila anda baru saja bersalin beberapa bulan tiba-tiba hamil tanpa dirancang.
Walaupun kita sudah berhati-hati dan mengambil perancang keluarga, ada juga sesetengah mommies ‘termengandung’ jugak. Jangan panik, mungkin itu petanda Tuhan mahu beri rezeki anak kepada mommy.

Untuk pengetahuan mommies, sebelum ini penulis pernah berkongsi artikel mengenai jenis-jenis kaedah merancang keluarga seperti pil kontraseptif, depo (suntikan perancang), implan, IUCD dan juga kondom. Malah, kami juga pernah senaraikan kebaikan dan kesan sampingan penggunaan pil kontraseptif selain berkongsi pengalaman memasang IUCD.
Tetapi, terdapat beberapa peratus wanita masih boleh mengandung walaupun sudah mengamalkan perancang keluarga. Menurut NHS, bagi pil kontraseptif, jika penggunaan sempurna, lebih daripada 99 peratus berkesan mencegah kehamilan iaitu kurang daripada 1 dalam 100 wanita akan mengandung dalam setahun. Manakala bagi penggunaan biasa pula, sekitar 91 peratus wanita berkesan cegah kehamilan iaitu sekitar 9 dalam 100 wanita yang menggunakan pil akan berbadan dua dalam masa setahun.
Beberapa langkah boleh buat selepas keputusan positif
1. Pergi ke klinik berdekatan
Mommy segeralah ke klinik berdekatan rumah untuk mengesahkan kehamilan. Lagi cepat, lagi bagus supaya mommy tahu keadaan sebenar bayi dalam kandungan bagi mengelakkan kandungan luar rahim. Biasanya, doktor akan nasihat supaya lebih berhati-hati dengan kandungan sekarang dan memeriksa kesihatan mommy dengan lebih lanjut.
2. Beritahu pasangan atau ahli keluarga terdekat

Ia bertujuan untuk suami sedar tanggungjawab baru yang bakal digalas dan merancang kewangan dengan lebih teliti selain menolong mommy menguruskan anak-anak yang lain.
3. Pergi temujanji kehamilan seperti yang ditetapkan

Seeloknya mommy buka buku pink secepat mungkin dan pergi ke temujanji kehamilan di Klinik Kesihatan (KK) seperti yang ditetapkan. Ini memudahkan doktor untuk memantau tahap kesihatan mommy dan bayi dikandung jika jarak kehamilan rapat dengan kehamilan sebelum ini.
4. Minta bantuan ahli keluarga jika tak larat menguruskan anak-anak

Perkara ini amat penting bagi mommy yang sedang berbadan dua dan mempunyai anak-anak kecil. Penulis faham betapa penatnya nak bawa perut sambil menjaga anak-anak yang lain. Belum lagi masuk perihal kerja-kerja rumah yang lain, kan? Jangan segan silu minta bantuan daripada ahli keluarga terdekat untuk menguruskan anak-anak mommy jika badan terlalu lemah. Awal-awal trimester mesti ada yang mengalami morning sickness hingga masuk trimester kedua. Get some help, okay?
Trauma bersalin dulu belum hilang

Memang sukar untuk terima hakikat bahawa mommy sedang mengandung sekali lagi. Mungkin ada yang trauma bersalin belum hilang tetapi sudah mengandung lagi. Redha dan anggap apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Setiap anak membawa rezeki kepada ibu bapanya. Bak kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Suka artikel ini? Baca Baru Lepas Bersalin? Nurse Mungkin akan Nasihat Anda Lakukan 5 Perkara Ini dengan Segera dan 5 Tanggungjawab suami isteri ini boleh digalas bersama jika tak mahu isteri burnout!.
Comments are closed.