fbpx
Banner

Diabetes biasa berlaku disebabkan oleh tabiat pemakanan, namun berbeza dengan GDM kerana ia berlaku disebabkan oleh hormon plasenta semasa hamil.

Setiap wanita hamil mempunyai risiko yang sama dan bukan sahaja mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap diabetes.

Maksud Gestational Diabetes Mellitus (GDM)

GDM

Bagi wanita yang sedang cuba untuk hamil atau sedang hamil, pernahkah anda dengar penyakit diabetes semasa hamil atau nama mudahnya, GDM? Menurut portal MyHealth, GDM merupakan satu keadaan serius berlaku apabila ibu hamil yang tidak pernah menghidap diabetes sebelum ini mempunyai paras glukosa lebih tinggi semasa hamil.

Hormon yang dihasilkan oleh plasenta akan menghalang tubuh daripada menggunakan insulin dengan berkesan, menurut HelloDoktor. Kemudian, gula akan berkumpul dalam darah dan tidak akan diserap oleh sel.

Bagaimana GDM boleh berlaku?

GDM

Penggunaan insulin dalam badan akan terganggu kerana hormon yang dihasilkan oleh plasenta atau uri, iaitu sejenis organ yang membekalkan zat makanan kepada bayi dalam kandungan melalui tali pusat. Keadaan ini dikenali sebagai rintangan insulin kerana ia mengganggu pengeluaran insulin.

Pada trimester kedua dan ketiga, hormon kehamilan lebih banyak dihasilkan seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap insulin. Biasanya, organ pankreas akan bertindak-balas dengan menghasilkan insulin tambahan untuk menangani isu rintangan insulin. Jika masih gagal, GDM akan berlaku kepada ibu hamil berkenaan.

Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes kemudian nanti.

Cara periksa paras gula dalam darah

Jika anda sedang hamil dan sudah memiliki buku berwarna merah jambu atau pink, jururawat di Klinik Kesihatan (KK) atau klinik swasta akan meminta anda lakukan ujian darah Modified Oral Glucose Tolerance Test (MOGTT) untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan. Jika keputusan ujian darah pertama anda normal, maka ujian darah kedua perlu dilakukan di antara minggu ke 24 hingga 28 kehamilan.

Biasanya, jururawat akan minta anda yang perlu jalani ujian darah ini berpuasa malam sehari sebelum dari pukul 10 malam hingga keesokan hari. Sampel darah pertama untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi keesokan hari dan anda perlu minum segelas air gula (75gm gula dilarutkan dalam 250ml air). Kemudian, sampel darah kedua diambil dua jam berikutnya selepas anda minum air gula. Pada masa ni, anda kena tahan mual sedikit dan pastikan tidak muntah. Ujian akan terbatal jika anda muntah sebelum ambil sampel darah kedua. Pastikan anda bagitahu jururawat jika termuntah tau. Keputusan akan jadi tidak tepat jika anda muntah dan akan bahayakan kandungan kerana kita tidak pasti sama ada anda ada GDM atau tidak.

Keputusan ujian darah MOGTT

GDM

Anda akan menerima keputusan ujian darah MOGTT pada temujanji seterusnya jika keputusan ujian normal, namun anda akan menerima panggilan daripada KK atau klinik swasta untuk langkah seterusnya jika keputusan menunjukkan anda menghidap GDM.

Adakah GDM bahaya untuk bayi dalam kandungan?

GDM

Jika ibu hamil dapat mengawal paras gula dalam darah sepanjang kehamilan, komplikasi terhadap bayi tak akan berlaku dan dapat dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, ia akan berpindah kepada bayi menerusi plasenta dan menyebabkan paras gula dalam darah bayi turut tinggi. Kemudian, pankreas bayi juga menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras gula.

Bayi akan mendapat tenaga lebih daripada sepatutnya dan tenaga berlebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan seterusnya menyebabkan makrosomia (bayi lahir berat empat kilogram atau lebih).

Jika bayi anda mengalami makrosomia, berkemungkinan besar dia akan menghadapi masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan di bahu semasa kelahiran serta meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Walaupun bayi berkemungkinan tidak menjadi makrosomia, bayi anda mungkin mempunyai paras gula dalam darah yang sangat rendah (hipoglisemia) selepas dilahirkan disebabkan pengeluaran insulin berlebihan daripada pankreas bayi. Hormon insulin berlebihan ini juga merangsang pembesaran bayi yang berlebihan atau makrosomid.

GDM

Selepas dilahirkan, paras gula dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti dan doktor perlu memberi glukosa secara intravena (melalui tiub iv di bahagian tangan atau kaki) kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada penyakit kuning yang berpanjangan, ketidakimbangan paras elektrolit di dalam darah seperti paras kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan atau kecacatan. Malah, bayi yang bersaiz besar dipercayai lebih cenderung menjadi obes di masa akan datang dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.

GDM akan hilang selepas bersalin atau tidak?

Selepas bayi dilahirkan dan hormon plasenta sudah tidak lagi berada dalam sistem badan anda, paras gula dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal (kecuali jika paras gula anda sememangnya tinggi tetapi tidak disedari sebelum hamil). Anda usah berasa risau yang terlampau mengenai penyakit ini tetapi jagalah diri dengan baik dan nikmatilah proses kehamilan. Bukan selalu kita hamil, kan?

Tips kawal paras gula dalam darah semasa hamil

GDM

Bagi ibu hamil yang disahkan mengalami GDM selepas buat ujian MOGTT, berikut merupakan tips ringkas untuk anda kawal paras gula sepanjang kehamilan:

  • Periksa paras gula menggunakan mesin glukometer
  • Ikut pelan pemakanan seperti yang disarankan oleh doktor
  • Buat aktiviti fizikal selalu
  • Makan ubat (jika perlu)
  • Cucuk insulin (jika perlu)
  • Makan makanan sihat
  • Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Elakkan makanan manis atau minuman manis
  • Kerap minum air kosong
  • Makan sedikit tetapi kerap

Penulis faham pasti ramai ibu hamil di luar sana yang takut jika menghidap GDM kerana risaukan keadaan bayi dalam kandungan, tetapi anda harus kuatkan semangat dan sentiasa ikut saranan doktor di samping amalkan gaya hidup sihat. Percayalah, segala penat lelah yang dilalui akan menjadi kenangan terindah apabila pertama kali melihat wajah bayi selepas dilahirkan.

Nak baca pengalaman sebenar mommies sepanjang kehamilan? Mommy klik sini laju-laju.

Author

Comments are closed.