fbpx
Banner

Kanak-kanak sememangnya aktif kerana mereka sedang membesar dan mahu ‘meneroka’ setiap pelusuk kawasan rumah.

Oleh itu, mereka sering terdedah dengan bahaya apabila bermain dengan barang-barang rumah yang berbahaya untuk kanak-kanak terutama bawah dua tahun. Berikut merupakan empat jenis barang di rumah yang berbahaya untuk si kecil anda:

Gam gajah

Gam gajah atau lebih dikenali sebagai gam tiga second, gam UHU atau super glue sebenarnya amat berbahaya untuk anak kecil anda. Mereka melihat botol gam gajah itu seperti botol makanan dan amat berbahaya jika mereka termakan gam tersebut.

Bidai tingkap

Untuk pengetahuan anda, perhiasan bidai di tingkap rumah anda boleh mengancam keselamatan anak anda. Bagaimana ia boleh berlaku?

Terdapat pelbagai kes kecederaan dan kematian kanak-kanak disebabkan terjerut tali  kawalan untuk membuka bidai. Malah, statistik menunjukkan kes kematian mengejut di antara dua hingga tiga peratus daripada kes kanak-kanak terjerut tali bidai tingkap berlaku di seluruh dunia.

Magnet

Kadang-kadang kita tidak sedar permainan yang diberikan kepada si kecil boleh mengundang bahaya. Tidak dapat dinafikan bahawa permainan magnet menyeronokkan bagi mereka, tetapi ia boleh membahayakan nyawa anak anda jika mereka tertelan dua magnet atau lebih dari itu.

Tisu bahagian organ usus akan tersumbat antara celahan dua magnet jika ia bercantum dalam badan anak anda.

Malah, tisu-tisu yang terganggu akan menyebabkan kegagalan kelancaran saluran darah yang menyebabkan simptom perforasi berlaku pada dinding usus. Selain itu, anak anda juga berpotensi untuk mendapat jangkitan kuman dan keracunan darah disebabkan tertelan magnet.

Bateri butang

Antara barang kecil yang paling berbahaya jika ditelan oleh anak anda ialah bateri butang. Kebanyakan permainan elektronik kanak-kanak mempunyai bateri butang sebagai punca kuasa untuk ia berfungsi dan bergerak.

Antara kesan yang mangsa akan alami ialah ia akan menyebabkan kerosakan kekal pada organ dalaman, melecur pada bahagian dalaman, pendarahan dan ia juga boleh menyebabkan kematian.

Tindak balas bateri mampu membakar bahagian esofagus kanak-kanak dalam masa dua jam selepas tertelan bateri.

Walaupun kita tidak dapat mengawasi anak anda pada setiap masa, namun cuba untuk mengelakkan daripada membeli mainan yang berpotensi membahayakan mereka serta elak daripada meletakkan atau menggunakan barang rumah yang boleh dicapai oleh anak-anak anda.

Author

Comments are closed.