fbpx
Banner

“Alah, tak payah fikir panjang-panjang. Cepatlah dapat baby lagi, nanti umur makin meningkat ”

“Tak nak bagi kawan ke untuk anak sulung tu?”

Saya percaya persoalan ini seringkali didengari oleh mereka yang bergelar ibubapa.

Lumrah setelah anak pertama dilahirkan, dia dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Segalanya mahu sempurna. Setiap masa dan perhatian yang ada diberi sepenuhnya kepada anak.

Tanpa disedari, anak sulung kesayangan sudah mula menginjak umur 3 tahun. Ah, perasaan rindu pada bau dan kehadiran seorang bayi yang “innocent” mula membuak-buak. Ditambah lagi dengan tekanan dari masyarakat sekeliling, keluarga dan kawan-kawan.

Lalu, pertanyaan seperti di atas mula menjelma. Ada yang meresahkan, ada yang menjengkelkan. Jauh di lubuk hati, hasrat menimang bayi seterusnya itu ada. Walaupun kebanyakan dari ibubapa akan meneruskan hasrat tanpa berfikir panjang, ada juga yang tertanya-tanya : Sebenarnya bersediakah kita?

Dilema ini bukanlah sesuatu yang baru. Seringkali ia disimpan sendiri, baik oleh si ayah atau ibu. Di zaman serba moden ini, ditambah lagi dengan keadaan sosioekonomi yang semakin mencabar, persoalan ini sebenarnya sangat relevan.

Cabaran membesarkan anak

Persediaan membina keluarga yang lebih besar sebenarnya bukan hanya bergantung kepada segi ekonomi. Persediaan mental untuk membesarkan anak-anak adalah sangat penting, termasuklah persediaan dari segi masa dan perhatian.

Pengalaman saya menimang anak kedua dan seterusnya seringkali meletakkan saya di dalam keadaan “mom guilt”, di mana saya merasakan tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada anak yang lebih tua dek kehadiran bayi baru.

Anak kedua saya seringkali memberontak dengan pelbagai cara, terutamanya ketika saya perlu berikan perhatian sepenuhnya pada bayi. Ada sahaja perkara yang dia akan lakukan untuk mencuri perhatian saya.

Di saat inilah kesabaran saya diuji dengan hebat, dan ketika itu saya perlu sentiasa mengingati bahawa kehadiran bayi baru sebenarnya bukan sahaja memerlukan ibubapa untuk menyesuaikan diri. Anak-anak yang lebih tua juga memerlukan masa dan ruang untuk menyesuaikan diri mereka dan kita perlu memahami proses ini.

Seperti ibubapa moden yang lain, saya luahkan isi hati dan berkongsi pengalaman saya dengan komuniti ibubapa di sekeliling. Ramai sebenarnya yang mempunyai pengalaman yang sama. Ada yang mencadangkan saya tetapkan masa khas untuk diluangkan bersama setiap anak, sama ada membawa mereka berjalan-jalan atau melakukan aktiviti yang mereka gemari.

Saya cuba lakukannya dan saya bersyukur kerana ia sesuatu yang sangat menyeronokkan untuk diri saya dan apatah lagi si anak. Selain dari itu, sentiasalah memeluk dan memberitahu mereka betapa berharganya mereka kepada anda. Walaupun mereka masih muda, anak-anak sebenarnya dapat merasakan kehebatan kasih sayang itu dan ia sememangnya sangat membantu membina keyakinan dan jati diri mereka.

Ekonomi keluarga

Kos sara hidup yang semakin meningkat di negara kita juga menjadi salah satu faktor kepada persoalan ini. Semakin ramai ibubapa yang kedua-duanya perlu bekerja sepenuh masa untuk menyara keluarga dan ia juga memberikan impak kepada masa dan kualiti kehidupan yang dilalui bersama anak.

Di dalam panduan Belanjawanku yang diterbitkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya pada Mac 2019, pasangan yang sudah berkahwin di Kuala Lumpur dan Selangor memerlukan RM5730 setiap bulan untuk keluarga yang beranak satu dan RM6620 setiap bulan untuk yang mempunyai 2 orang anak.

Laporan Gaji Kehidupan (Living Wage) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa gaji minima yang diperlukan oleh keluarga beranak dua di Kuala Lumpur adalah sekurang-kurangnya RM6500 untuk mencapai standard kehidupan minimum.Definisi standard kehidupan minimum yang digariskan adalah termasuk keupayaan mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat, pembangunan diri dan keluarga serta kebebasan daripada tekanan kewangan yang teruk.

Jumlah ini tentunya akan bertambah jika keluarga lebih besar, oleh itu, tidak hairanlah jika ada yang berfikir panjang mengenainya. Pelbagai aspek ekonomi perlu diambil kira dalam membesarkan anak. Selain keperluan asas, jangan dilupakan perancangan pelaburan untuk pendidikannya di masa hadapan dan pelan insuran untuk kesihatan.

Benar, anak membawa rezeki bersama kehadirannya, tetapi keputusan untuk membesarkan keluarga tetap memerlukan perancangan ekonomi yang bijak dan persediaan yang rapi.

Jangan mudah menilai ibubapa yang merancang keluarga mereka dan terlalu pantas menghukum, sedangkan mungkin mereka sebenarnya sedang mencuba yang terbaik untuk memberikan kehidupan sempurna untuk keluarga mereka.

Kualiti atau kuantiti?

Jadi, adakah kita bersedia menambah bilangan anak, atau cukup dengan seorang sahaja? Jika direnungkan sejenak, tiada jawapan yang salah atau betul kepada persoalan ini. Rata-rata ada pelbagai keputusan di kalangan sahabat dan keluarga saya sendiri.

Ada yang gembira dan bahagia dengan kehadiran seorang anak atau setakat dua orang sahaja. Ada yang bercita-cita mahukan sekurang-kurangnya 5 anak! Lebih meriah katanya.

Apa sahaja keputusan yang dibuat, biarlah ia menjadi sesuatu yang ditentukan oleh pasangan ibubapa itu sendiri. Dalam membesarkan anak-anak, apa yang paling penting ialah komitmen dan tanggungjawab dalam menjadikan mereka insan yang berakhlak dan berbakti kepada keluarga dan masyarakat. Pepatah mengatakan tepuk dada tanya selera, tetapi dalam konteks ini, tepuklah kotak fikiran dan tanyalah prinsip diri sendiri.

Author

Comments are closed.