fbpx
Banner

Sifat berkongsi tidak datang dengan fitrah, ia lebih kepada sesuatu yang kita belajar apabila kita meningkat dewasa. Jadi, kita perlu mendidik anak-anak untuk belajar berkongsi. Dengan belajar berkongsi, anak akan membesar menjadi manusia yang tidak mementingkan diri sendiri dan memahami nilai murni ini.

Mungkin lebih senang berbicara dari melakukannya, jadi kami faham kesukaran untuk mendidik ketika mereka sedang berebut permainan atau makanan. Kadangkala mereka berebut sesuatu yang tak masuk akal pun!

Di sini kami kongsikan beberapa tip untuk membantu anda. Selamat mencuba!

Pilih masa & umur yang sesuai

Sebelum berumur 6 tahun, kebanyakan kanak-kanak tidak memahami konsep menjaga hati dan perasaan orang lain. Namun, kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas boleh mula memahami konsep berkongsi, jadi mungkin umur 3 tahun adalah umur terbaik untuk mula mendidik mereka mengenai sifat ikhlas dan memberi.

Jangan paksa mereka berkongsi

Jangan sesekali memaksa anak berkongsi barangan mereka kerana kita mungkin tak faham betapa bermakna barang tersebut kepada mereka. Kepada kita ia mungkin hanya permainan, tetapi bagi anak ia mungkin segala-galanya. Jadi, bina persekitaran yang menggalakkan mereka berkongsi dan sentiasa beri dorongan dan galakan.

Jadikan berkongsi sesuatu yang menyeronokkan

Seperti orang dewasa, kanak-kanak sukakan aktiviti yang menyeronokkan. Tanamkan nilai murni berkongsi di dalam aktiviti seperti bermain Lego bersama atau membuat kek bersama-sama. Sedar tak sedar, mereka sudah mula belajar mengenai kebaikan berkongsi.

Sentiasa berkomunikasi

Komunikasi adalah kunci kepada hubungan yang berjaya, jadi sentiasa berkomunikasi dengan anak anda tentang kepentingan berkongsi. Cuba terangkan kepada mereka dengan sempurna, berikan penerangan kepada kekeliruan mereka dan bina persepsi yang baik terhadap sifat berkongsi.

Pembahagian masa

Gunakan pemasa jika anda ada lebih dari seorang anak yang mahu bermain permainan video. Belajar menunggu giliran juga adalah sesuatu yang penting untuk dipelajari. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka mengenai keadilan dan mematuhi peraturan.

Jadi contoh yang baik

Kanak-kanak belajar melalui tauladan, jadi cara terbaik ialah dengan menjadi contoh kepada mereka. Ajak mereka berkongsi barangan kita sendiri, seperti bola yoga dan tanya jika mereka boleh kongsi permainan mereka dengan kita. Jadi contoh yang baik dan praktikkan apa yang kita ajar kepada mereka.

 

Author

Comments are closed.