fbpx
Banner
Author

umirrasahad

Browsing

Menjadi ibu buat kali pertama merupakan salah satu pengalaman terindah yang berlaku dalam kehidupan seorang wanita. Bermula daripada perkhabaran gembira kehadiran janin dalam perut kita, hinggalah saat diusung ke dalam dewan bersalin, semuanya pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Pengalaman ini juga berbeza bagi setiap individu, begitu juga dengan proses tumbesaran anak-anak.

Sebagai seorang ibu, sudah tentu kita hanya mahukan yang terbaik untuk tumbesaran anak kita. Begitu juga halnya dengan Jihan Muse, selebriti dan pengacara terkenal tanahair.
Baby Romper Special Sales
Jihan berkongsi dengan makchic suri pengalaman sebagai ibu kepada buah hati pengarang jantungnya, Ungku Arsalan Haq atau panggilan manjanya Baby Ninja.

Pengalaman mengandungkan Arsalan

Pada mulanya, saya berasa gementar dan gembira pada masa yang sama. Walaupun saya mempersiapkan diri sebanyak mungkin, saya bersedia juga untuk tidak terlalu berharap untuk mengikut apa yang dirancangkan lebih awal. Penting untuk mengingatkan diri kita supaya tidak tertekan dan menikmati saat-saat apa adanya.

Motherhood tidak selalu mengikut apa yang kita rancangkan tetapi kaum ibu mempunyai naluri keibuan yang kuat dan kita tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Saya cuba mengingatkan diri untuk mempercayai naluri itu.

Momen indah Jihan Muse bersama Arsalan

Semua momen dan kenangan bersama Arsalan tidak ternilai bagi saya. Tetapi memori paling bermakna bagi saya adalah apabila Arsalan mula menyebut Bonda, walaupun waktu itu dia hanya boleh menyebut ‘bomba’. Memori itulah sangat best.

Sebenarnya tempoh PKP adalah masa yang saya nanti-nantikan kerana saya sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Kerana kami sekarang lebih di rumah, kami dapat meluangkan lebih masa berkualiti bersama-sama. Saya amat menghargai waktu ini kerana dapat lihat sendiri tumbesaran Arsalan setiap hari.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah

Masa berlalu begitu cepat. Selalu saya terfikir janganlah membesar terlalu cepat wahai anakku tetapi tidak mungkinlah itu berlaku.

Saya dan suami membawa Arsalan berenang setiap minggu (sebelum PKP), mengajarnya mengira, ABC dan melukis untuk menggalakkan perkembangan minda. Buat masa ini Arsalan meminati dinosaur dan kami akan menonton dan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang ada dinosaur untuk membantu Arsalan belajar nama-nama dinosaur.

Selain itu, saya akan cuba pastikan Arsalan dapat tidur yang cukup, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan untuk memastikan badannya dilindungi oleh sistem imun yang kuat.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ahli keluarga perlu bekerjasama, bergantung pada satu sama lain untuk mendapat sokongan dan berkongsi tanggungjawab menjaga anak. Lebih mudah untuk kita atasi sebarang dugaan dalam hidup jika ada keluarga sebagai sokongan.

Jihan Muse: Cabaran paling sukar sepanjang menjadi seorang ibu

Sekarang ini, cabaran paling besar saya ialah kerenah Arsalan yang cerewet makan, dan masalah ini mungkin selalu dihadapi oleh ibu bapa lain. Saya merasa bimbang Arsalan tidak mendapat semua nutrien-nutrien. Perkembangan awal kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk anak-anak kecil dan nutrisi atau pemakanan ialah salah satu cara penting untuk membantu anak-anak kita membesar secara sihat dan aktif, dengan sistem imun yang kuat.

Dalam tempoh ini, suami dan saya mencuba pelbagai jenis makanan dengan Arsalan untuk memahami apa yang dia suka dan tidak suka. Saya belajar untuk bersabar sepanjang proses tersebut dan pada masa yang sama memastikan bahawa Arsalan mendapati nutrisi yang mencukupi semasa fasa ini.

Baru-baru ini, saya mendapat nasihat yang bernas daripada acara siaran langsung (livestream) Facebook yang saya sendiri kendalikan untuk Enfagrow A+ MedTalk bersama Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Runding Pediatrik Perkembangan dan Am dari Klinik Pakar Kanak-Kanak Baby and Beyond di Kuala Lumpur.

Dalam sesi tersebut, Dr Rajini berkongsi petua untuk menguruskan anak yang cerewet makan, dan saya suka dengan cadangannya untuk membuat seni penyediaan makanan agar proses menjamu selera lebih menyeronokkan dan menceriakan bagi anak-anak kita.

Disamping itu juga, ‘MyHealthy Plate’ boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyediakan makanan seimbang dalam jumlah yang sesuai.

Dengan mengetahui ramuan dalam pemakanan anak, ia membantu saya merancang makanan yang lebih baik dan sihat untuk Arsalan. Terdapat banyak nutrien yang berkhasiat seperti MFGM Complex (Milk Fat Globule Membrane) yang menyokong pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak.

Saya dan suami akan mencari jalan terbaik untuk menegur dan menerangkan kepada Arsalan. Suami saya juga memainkan peranan dan saya bersyukur kerana dapat melakukan semua ini bersama. Pengalaman menjaga anak lebih mudah apabila kita saling membantu.

Makanan wajib Arsalan di rumah

Saya akan cuba menyediakan makanan yang mengandungi nutrien-nutrien penting untuk Arsalan supaya dia membesar dengan sewajarnya dan mempunyai sistem imun yang kuat. Biasanya saya merancang menu lebih awal dan menyediakan pelbagai kumpulan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat seperti nasi dan mi dan protein seperti daging tanpa lemak.

Arsalan, anak Jihan Muse
Arsalan, anak Jihan Muse

Aktiviti favourite bersama Arsalan

Kami sekeluarga meluangkan banyak masa bersama dan saya percaya ini dapat membantu perkembangan mental anak serta keyakinan mereka.

Saya dan suami biasanya membawa Arsalan pergi berenang bersama-sama. Dalam tempoh PKP, oleh kerana tidak dapat berenang di luar, kami telah membuka mini pool di depan rumah dan kami seronok bermain dengan Arsalan.

Antara kerjaya dengan anak

Kita perlu membahagikan masa dengan baik antara kerja dan keluarga. Pengurusan masa itu amat penting – setelah menjadi ibu saya telah menyesuaikan jadual kerja untuk pastikan waktu kerja saya hanya lapan jam sehari. Sekarang, saya hanya menerima satu tugasan sehari kerana sudah tidak dapat bekerja sehari suntuk seperti dulu. Selain itu, jika saya bertugas pada waktu malam, saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada waktu pagi dan petang.

Dengan mengatur jadual lebih awal, saya boleh menyusun dan menetapkan rutin dalam kehidupan harian. Saya biasanya merancang jadual harian lebih awal dan menyediakan menu dan aktiviti anak terlebih dahulu, kerana langkah ini membolehkan saya menjimatkan masa dan mempersiapkan diri untuk sesuatu yang tidak dijangka kemudian.

Harapan dan impian buat Arsalan

Saya enjoy menjadi ibu kepada Arsalan. Kalau boleh saya tak nak lepaskan peluang melihat dia membesar di depan saya. Bagi saya, motherhood adalah satu kebahagiaan dan kepuasan Arsalan.

Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik untuk anak saya dan saya mahu menjadi bentuk sokongan yang terbaik untuk dia. Pada masa ini, Arsalan adalah keutamaan saya dan keperluan anak saya melebihi diri saya sekarang ini.

Saya ingin memastikan bahawa Arsalan mempunyai gaya hidup yang sihat dan aktif, perkembangan mental yang baik, imun badan yang kuat, banyak cinta dan masa keluarga.

Paling penting, saya harap dia menjadi seorang yang berakhlak, beradab dan menghormati orang-orang tua. Sebagai ibu bapa, kita adalah guru pertama anak kita dalam kehidupan. Ia sangat penting untuk kita mengamalkan nilai-nilai murni yang baik sebagai contoh kepada anak-anak kita.

Kredit foto: Jihan Muse 









Dapatkan baju pre-loved murah, trendy & berkualiti!








Selama hampir 12 bulan, ibu bapa, anak-anak dan juga guru-guru terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Tanpa persediaan yang rapi dan pengetahuan yang menyeluruh, mampukah kita sebagai ibu bapa memainkan peranan sebagai guru di rumah? Bagaimana pula penerimaan anak-anak yang sudah menjadi rutin mereka ke sekolah tetapi kini terpaksa belajar di rumah pula? Bolehkah guru-guru menyediakan bahan yang lengkap, sesuai untuk ibu bapa dan anak murid di rumah?

Agak sukar untuk anak-anak kecil

Pembelajaran atas talian lebih mudah untuk dipraktikkan oleh murid yang lebih dewasa, contohnya murid sekolah menengah atau sekurang-kurangnya pelajar Tahun 6. Anak-anak yang masih tadika atau Tahun 1 terutamanya mempunyai masalah untuk memberikan sepenuh perhatian dalam tempoh yang lama berbanding mereka yang lebih dewasa. Ini mungkin menyukarkan sesi pembelajaran atas talian untuk dijalankan.

Pembelajaran Atas Talian agak sukar untuk anak-anak kecil
Pembelajaran Atas Talian agak sukar untuk anak-anak kecil

Masalah akses kepada fasiliti

Kita perlu terima hakikat bahawa kemudahan internet atau WiFi di negara kita masih belum mencapai tahap optimum. Tidak semua murid mempunyai akses ini di rumah masing-masing, lebih-lebih lagi murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman. Ini juga sukar buat keluarga yang mempunyai ramai adik-beradik yang masih bersekolah dan kemudahan seperti komputer atau telefon pintar sangat terhad.

Interaksi antara murid dan guru

Interaksi antara murid dengan guru amat penting demi memastikan tiada yang ketinggalan dalam kelas. Ini mungkin lebih mudah jika pembelajaran dilakukan secara normal di sekolah, namun berbeza keadaannya di atas talian. Murid yang pendiam akan terus senyap dan ‘halimunan’ dalam kelas atas talian berbanding dengan yang lain.

Faktor persekitaran di rumah

Jika di sekolah, setiap murid akan berada dalam kelas semasa sesi pembelajaran. Berbeza dengan di rumah, murid terpaksa sesuaikan dengan keadaan di rumah. Bising, adik-beradik yang lain mengganggu konsentrasi, persekitaran yang tidak kondusif seperti tiada bilik yang sesuai – ini semua boleh menyebabkan murid-murid menjadi tidak bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Lebih sukar lagi untuk murid-murid yang ibu bapa adalah petugas barisan hadapan. Ibu bapa terpaksa pergi bertugas tetapi sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak pula tidak dibuka. Maka murid-murid inilah yang terpaksa menjaga adik-beradik mereka di rumah. Apa lagi pilihan yang mereka ada, bukan?

Ibu bapa bukan pengganti guru untuk pembelajaran atas talian

Kasihan juga buat ibu bapa yang juga merupakan petugas barisan hadapan. Penat seharian bekerja, terpaksa pula menggagahkan diri membantu anak dalam hal sekolah yang selama ini dapat diringankan sikit dengan bantuan guru-guru di sekolah.

Tidak semua ibu bapa juga mempunyai kesabaran dan kemahiran yang ada pada para guru dalam mendidik anak-anak. Jika di sekolah, anak-anak ini akan lebih hormat dan mendengar kata guru. Berbeza pula di rumah kerana mereka melihat ibu bapa bukanlah sebagai guru mereka sendiri.

Kaedah dan teknik pengajaran ibu bapa sudah tentulah berpandukan cara lama, cara kita di bangku sekolah dahulu. Sudah tentulah berbeza sekali dengan cara pra guru mengajar zaman sekarang. Kalau untuk murid sekolah rendah mungkin masih tiada masalah, tetapi bagaimana pula untuk mengajar subjek yang lebih sukar? Pening dibuatnya!

Apa yang boleh kita lakukan jika pembelajaran atas talian diperpanjangkan?

Singkatkan waktu belajar

Beberapa penambahbaikkan perlu dibuat demi memastikan pembelajaran atas talian ini boleh dilakukan dengan baik. Untuk anak-anak yang masih kecil, mungkin sesi pembelajaran ini boleh dibuat secara singkat antara 30 minit ke sejam. Aktiviti yang dilakukan pula lebih kepada belajar sambil bermain kerana itulah fitrah mereka, terutamanya yang berusia 4 hingga 6 tahun.

Gunakan aplikasi yang bersesuaian untuk membantu

Bagi murid-murid yang tiada kemudahan akses internet, guru-guru boleh merekod sesi pembelajaran melalui aplikasi seperti Zoom, Webex, Google Classroom dan sebagainya untuk murid-murid ini ikuti kemudian. Murid-murid ini juga boleh mengajukan soalan melalui Whatsapp atau emel kepada guru.

Berikan kelonggaran untuk deadline kerja sekolah

Guru-guru juga boleh memberikan masa yang lebih panjang untuk murid-murid menyiapkan kerja sekolah, contohnya seminggu untuk satu subjek. Ini kerana mungkin murid-murid ini perlu berkongsi kemudahan internet dengan adik-beradik yang lain, atau perlu menunggu hingga ibu bapa mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan untuk cuti dan menggunakan telefon bimbit mereka.

Sediakan jadual untuk kekalkan disiplin

Bagi ibu bapa pula, jika dirasakan tidak mahir atau tidak tahu cara yang betul untuk mengajar anak di rumah, mungkin boleh dapatkan bantuan guru tuisyen online. Selain itu, sediakan juga jadual pembelajaran buat anak-anak setiap hari untuk setiap subjek. Ini supaya mereka kekal berdisiplin walaupun sudah lama tidak ke sekolah. Tidaklah mereka mensia-siakan masa bermalasan di rumah.

Guru-guru juga digalakkan untuk lebih kreatif dalam membantu murid-murid yang masih terpaksa ‘bersekolah’ di rumah masing-masing.

Tidak dinafikan, sukar untuk semua pihak terlibat menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian ini. Namun demi masa depan anak-anak kita sendiri, kita perlulah berkorban dan berusaha lebih kuat kerana entah bila akhirnya PKP dan COVID-19 ini. Sementara itu, bertabahlah semua! Kita pasti boleh lakukan ini bersama!

Baca: Lima tips untuk membantu anak menggunakan gajet untuk pembelajaran

Bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu tahun ini disambut penuh syahdu. Tiada solat terawih berjemaah di masjid. Tiada kunjungan ke bazar Ramadan. Tidak dapat merasa kemeriahan bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai bersama-sama sanak-saudara dan rakan-taulan.

Beza, sungguh berbeza. Semuanya demi memerangi musuh yang tidak dapat dilihat, Covid-19. Namun kita perlu cekalkan hati dan sentiasa berfikiran positif bahawa semua ini perlu diharungi bersama.

Hayati pengertian sebenar Ramadan

Sebagai umat Islam, kita perlu melihat dari sudut positif akan setiap perkara yang berlaku. Mungkin inilah masa terbaik untuk kita ambil kesempatan menghayati pengertian sebenar Ramadan yang dianjurkan dalam Islam. Masa untuk melebihkan ibadah dan masa untuk bersama keluarga.

Ada di antara kita yang sebelum ini sibuk mengejar berbuka puasa di luar contohnya bufet hotel sehingga berlaku pembaziran yang tak dapat dielakkan. Melewatkan atau meninggalkan terus solat terawih kerana masih rancak melepak dan berborak selepas berbuka puasa bersama rakan-taulan di luar. Bila berkunjung ke bazar Ramadan pula, mulalah nafsu yang mengatasi kewarasan bila membeli juadah berbuka puasa, sudahnya dibuang ke tong sampah.

Self-reflection juga lebih berkesan jika kita menyendiri. Inilah masanya untuk kita mengamalkan cara hidup sunnah contohnya makan secara minimum, solat di awal waktu, tidur dan bangun awal setiap hari, banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir. Bersedekah kepada mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua keluarga juga dapat ambil kesempatan ini untuk mengimamkan isteri dan anak-anak di rumah. Belajar dan hafal lebih banyak surah.

Jangan pentingkan diri sendiri

Inilah sahaja caranya untuk #kitajagakita. Kasihanilah para petugas barisan hadapan yang membahayakan nyawa mereka sendiri demi membantu menyelamatkan nyawa kita semua. Ada diantara mereka yang sudah sekian lama tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga mereka sendiri kerana sibuk bertugas atau terlalu bimbang akan membahayakan nyawa orang kesayangan mereka sendiri.

Walaupun jika PKP ditamatkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, kita seharusnya menjadi inidvidu yang bertanggungjawab dengan kekal #dudukrumah, tidak pulang ke kampung halaman supaya tidak membahayakan nyawa kita sendiri dan juga orang kesayangan kita. Ingatlah, warga emas dan wanita hamil adalah antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak ini.

Covid-19 umpama reset button untuk mengingatkan kita tentang fitrah. Ambillah kesempatan ini dengan sebaiknya untuk beramal. Kita pasti menang!

Perdana Menteri Malaysia baru sahaja mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan hingga 14 April 2020. Sudah pasti kita semua hampir ketandusan idea apakah aktiviti yang boleh dibuat bersama keluarga di rumah. Seminggu pun sudah hampir gila dibuatnya!

Jangan panik dan cepat stres! Yang penting sekali kita perlulah lihat dari sisi positif disebalik apa yang berlaku ini.

Jika selama ini kita sibuk dengan jadual harian masing-masing, gunakanlah kesempatan ini meluangkan masa bersama keluarga. Duduk semeja makan bersama,  dan carilah aktiviti yang mudah dan menghiburkan. Manfaatkan waktu bersama.

Inilah juga masanya untuk sama-sama mengemas rumah, bersihkan segala tombol pintu, lantai dan permukaan yang menjadi medan virus tersebar.

Disini, kami kongsikan beberapa idea dan aktiviti yang boleh dibuat bersama di rumah:

1. Serlahkan kebolehan anda di dapur

Jika selama ini anda mengeluh tidak mempunyai masa untuk mencuba resepi baru, inilah masanya! Ajak sekali pasangan dan anak-anak untuk mencuba. Terdapat ramai chef terkemuka seperti chef bintang Michelin Massimo Bottura serta Jamie Oliver yang membuat online tutorial untuk resepi-resepi popular mereka. Ramai juga chef tempatan seperti Ili Sulaiman dan Anis Nabilah yang turut kongsi cara masak yang sihat dan mudah. 

Kredit foto: Ili Sulaiman

2. Cari hobi baru

Melancong – hobi ini terpaksalah dilupakan seketika. Bagi yang gemar membaca pula, mungkin sudah tamat semua buku yang tertangguh. Ini masanya mencari hobi baru! Bagi mereka yang mempunyai ruang, mungkin anda boleh cuba bercucuk tanam di rumah? Selain itu boleh juga gunakan kesempatan ini untuk mengubahsuai perabot dan perhiasan dalam rumah, barulah tidak bosan melihat susunatur yang sama setiap hari! Buat anda yang gemar menulis dalam blog atau menyimpan jurnal sebelum ini, mungkin ini masanya untuk kembali aktif menulis.

3. Daftar kursus online

Mungkin sudah acapkali tertangguh, inilah masanya untuk anda akhirnya belajar bermain alat muzik seperti gitar! Search saja di YouTube, banyak tutorial yang boleh diikuti dengan mudah. Dengan adanya laman web seperti Duolingo, belajar bahasa ketiga pun macam menarik juga. Senanglah nak menonton drama Korea tanpa sarikata, kan? Laman web seperti Coursera dan Skillshare juga boleh dilayari untuk pelbagai kursus percuma.

4. Jangan lupa bersenam

Dengan perintah kawalan  pergerakan ini, anda pastinya tidak menggunakan otot-otot sebanyak yang biasanya anda lakukan. Jadi, jangan lupa untuk memperuntukkan sedikit masa untuk bersenam. Ia bukan sahaja bermanfaat untuk tubuh anda, tetapi juga untuk minda anda – terutamanya dalam mengurangkan anxiety pada tempoh yang tidak menentu ini.

5. Rehatkan diri

Bekerja dari rumah, menjaga kanak-kanak dan isi rumah sudah tentu akan membuat anda lesu. Jangan lupa untuk mengambil masa berehat. Tonton Netflix atau ganti waktu tidur yang terganggu. Jika anak-anak tidak memberi anda me-time, berilah mereka  menggunakan tablet sebentar. Cuba layari pautan di bawah ini untuk mengalihkan perhatian anak-anak kepada sesuatu yang lebih berguna:

Youtube

Laman web

Kredit foto: artortoise

Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah turut sama membantu ‘menyelamatkan’ negara dari pandemik ini dengan #dudukrumah dan hanya keluar jika perlu seperti untuk membeli barang keperluan harian. Jika tidak, sia-sialah kita berkurung hampir sebulan lamanya untuk menghapuskan Covid-19.

Untuk kaum ibu, kita berjaya melalui 44 hari tempoh berpantang. Kita tentu boleh mengharungi 28 hari ini!

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina