fbpx
Banner

Bila tiba musim hujan, agak sukar juga untuk cari idea aktiviti kanak-kanak kerana mereka boleh jatuh sakit terkena hujan.

“Mama, hari ni kita nak buat apa ya dekat rumah? Saya bosan lah.” Soalan sebegini boleh mendatangkan keresahan dalam hati ibu atau bapa. Ditambah lagi dengan musim hujan yang boleh dikatakan hampir setiap hari, sebarang aktiviti di luar rumah menjadi terhad. Tak kan lah nak bagi anak-anak bermain gajet atau menonton TV sehari suntuk kan?

Di sinilah perlunya kreativiti para ibu bapa untuk menyediakan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan buat anak-anak.

Berikut kami kongsikan 5 aktiviti kanak-kanak yang boleh dilakukan di dalam rumah dengan kos yang minima atau lebih baik lagi, percuma!

Misi mencari harta karun

aktiviti kanak-kanak

Mahu menambahbaik pemikiran kreatif dan kritis anak-anak? Misi Mencari Harta Karun (treasure hunt) merupakan salah satu aktiviti yang mampu mencabar minda mereka. Aktiviti mencari harta karun ini sebenarnya sangat bagus untuk menggalakan mereka berfikir di luar kotak pemikiran.

Selain dari itu, aktiviti ini juga secara tak langsung memupuk sikap kerjasama berkumpulan antara anak – anak dan  ibu bapa. Ibu bapa boleh menyediakan teka-teki yang mampu menguji minda dan disamping itu boleh diselitkan juga dengan soalan-soalan berbentuk Matematik, Bahasa Inggeris ataupun Sains. Sambil bermain, sambil belajar!

Anda juga boleh ajak anak-anak jiran, sepupu dan kawan-kawan untuk bermain bersama di dalam rumah. Pasti havoc rumah anda nanti!

Bermain permainan tradisional

aktiviti kanak-kanak

Apa kata perkenalkan permainan tradisional dulu-dulu yang sememangnya menjadi kegilaan ibubapa semasa mereka sendiri masih kecil. Pasti seronok dan mengujakan anak-anak anda.

Contohnya, permainan seperti congkak, batu seremban, penutup botol, getah dan batang aiskrim. Anda juga boleh bekerjasama dengan anak dalam menyediakan alatan permainan tradisional ni.

Bolehlah mereka belajar bagaimana menjahit batu seremban sendiri, menghias penutup botol atau pun cara ikatan menyambung getah.

Gunakan apa saja peralatan yang ada di rumah. Ini secara tak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran hidup anak-anak dan mengeratkan hubungan dengan mereka. Masa berkualiti bersama!

Bina khemah atau kubu pertahanan

aktiviti kanak-kanak

Ha, yang ni pasti anak-anak suka! Bina khemah atau kubu pertahanan mengikut imaginasi! Aktiviti ini merupakan satu-satunya aktiviti ‘evergreen’ yang sentiasa popular di kalangan kanak-kanak.

Gunakan apa sahaja yang ada di rumah seperti kusyen sofa, bantal, kotak-kotak lama, selimut, bakul dan pelbagai lagi alatan dalam rumah. Ibu dan bapa pun elok turut sama memberi idea dalam struktur pembinaan kubu pertahananan anak-anak.

Pasti anda akan terkejut dengan imaginasi mereka yang kadang-kadang kita sendiri tak pernah terfikir! Siapa sangka dalam diam-diam, mereka ada daya imaginasi dan kreatif yang boleh dibanggakan.

Origami

aktiviti kanak-kanak

Ori bermaksud ‘melipat’ dan gami pula membawa erti ‘kertas’, merupakan salah satu seni melipat kertas dari tradisi Jepun yang sangat terkenal.

Dengan hanya menggunakan rujukan dari Internet, ibu bapa boleh mendapatkan pelbagai contoh lipatan origami yang boleh dibuat bersama anak-anak. Kosnya hanya kertas!

Pasti anak-anak teruja untuk buat pelbagai jenis bentuk menarik hanya dengan menggunakan sekeping kertas!

Ini juga membantu untuk meningkatkan kemahiran psikomotor anak-anak anda. Untuk menambah lagi keseronokan, bina diorama origami yang pastinya menarik untuk menghiasi bilik anak-anak anda.

Memasak bersama-sama

aktiviti kanak-kanak

Salah satu kemahiran hidup yang perlu dikuasai oleh setiap individu adalah memasak. Mendedahkan anak-anak kepada kemahiran memasak sebenarnya secara tak langsung membina keyakinan dalam diri mereka dalam mengendalikan bahan-bahan masakan serta peralatan dapur yang mudah.

Selain dari itu, ibu bapa boleh turut sama menyelitkan ilmu nutrisi pemakanan kepada anak-anak. Ini secara tak langsung membantu mereka mengamalkan cara pemakanan yang sihat dari usia yang muda.

Pendedahan ilmu nutrisi ini akan membantu anak-anak memilih makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar serta bijirin penuh dalam diet seharian mereka.

Secara tak langsung, anda juga mungkin sedang mencungkil bakat terpendam dalam diri anak – anak anda! Mana tahu, anak anda adalah bakal chef hebat setanding Gordon Ramsay!

Aktiviti bersama anak rapatkan hubungan kekeluargaan

Jika anak anda minat bersukan, anda boleh cari kelab sukan di sekitar Lembah Klang untuk si manja tersayang. Mana tahu, mereka bakal menempa nama dalam bidang sukan pada masa akan datang nanti.

Ada banyak lagi yang boleh dilakukan di rumah, hanya dengan sedikit kreativiti dan imaginasi seperti aktiviti belajar sambil bermain. Yang penting, apa juga aktiviti yang anda pilih, pastikan setiap ahli keluarga anda turut sama menjayakan aktiviti tersebut untuk sama-sama merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Apa sahaja aktiviti yang memerlukan pembabitan semua ahli keluarga akan membawa manfaat kepada hubungan kekeluargaan. Bukan sahaja keseronokan, malah kesukaran dan cabaran juga dapat membentuk perkaitan yang utuh antara ibu bapa dan anak sekiranya ia ditangani dan diuruskan dengan baik,” jelas Perunding Keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar, di Harian Metro.

Di rumah pun boleh enjoy kan? Klik sini kalau mommy nak baca artikel pelbagai topik mengenai kanak-kanak.

Author

Comments are closed.