fbpx
Banner

Di dalam masyarakat kita, sudah menjadi kebiasaan membuat persiapan yang meriah untuk menyambut Aidilfitri. Anak-anak sangat seronok menanti sambutannya kerana merasai kemeriahannya setiap tahun. Tetapi tidak ramai membuat perkara yang sama untuk menyambut Ramadan.

Jadi bagaimana anak-anak nak merasa seronok berpuasa apabila Ramadan tiba dan seterusnya merasai nikmat Ramadan itu sendiri?

Sebagai ibubapa, ini adalah masa untuk kita mula menanam rasa sayang dan cintakan ibadah puasa serta amalan kebaikan yang lain di dalam jiwa anak-anak. Saya percaya ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan mereka bukan sahaja belajar menjalankan ibadah puasa tetapi merasa seronok apabila Ramadan tiba dan belajar menghargai bulan yang penuh keberkatan ini.

Berikut saya kongsikan sedikit tips untuk menghidupkan Ramadan bersama anak-anak.

1) Mendidik anak tentang Ramadan, puasa dan kepentingannya

Minggu-minggu terakhir Syaaban adalah waktu yang sesuai untuk mula mengingatkan anak-anak bahawa tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan. Ibubapa boleh membeli buku-buku cerita bertemakan Ramadan dan membacanya bersama anak-anak.

Buat aktiviti mewarna, buku skrap, melukis atau kraf bertema Ramadan. Terdapat banyak aktiviti kraf yang boleh di muat turun secara percuma dari atas talian mengikut kesesuaian umur anak-anak.

Kredit foto : @ramadancrafts di Instagram

Pilih aktiviti yang tidak memakan masa yang lama dan tak perlulah membeli alat-alat kraf yang lengkap untuk melakukan aktiviti sehingga rasa terbeban pula. Gunakan sahaja apa yang ada di rumah.

Saya tahu ramai ibubapa diluar sana yang bekerja sepenuh masa dan sibuk, jadi fokus pada aktiviti yang mudah dan yang paling penting menyeronokkan. Apabila proses pengenalan tentang Ramadan dan ibadah puasa itu lebih menyeronokkan, anak-anak akan mula merasakan Ramadan itu adalah sebahagian dari diri mereka sebagai seorang Muslim.

2) Hias sudut Ramadan di rumah

Ibu bapa boleh menyediakan satu sudut di rumah untuk dijadikan sudut khas Ramadan. Di sudut tersebut boleh diletakkan Al-Quran, tafsir al-Quran, muqaddam dan buku bertemakan Ramadan yang telah sedia ada ataupun yang baru.

Foto milik penulis

Libatkan anak-anak dalam menghias ruang tersebut. Hasil kraf dan lukisan anak-anak boleh digunakan sebagai hiasan. Anak-anak pasti bangga bila melihat ibubapa menggantung hasil karya mereka di sudut tersebut. Tujuan sudut ini adalah untuk anak-anak melihat dan merasai sendiri bahawa seisi keluarga meraikan kehadiran Ramadan.

Di ruang yang sama boleh juga dijadikan tempat mengaji, berzikir atau menunaikan solat berjemaah mengikut kesesuaian ruang rumah masing-masing. Bersederhana dan lakukan mengikut kemampuan.

3) Tetapkan misi Ramadan

Misi Ramadan bertujuan untuk anak-anak menyedari bahawa Ramadan adalah bulan untuk kita memperbaiki diri meneruskan misi itu setelah Ramadan tamat.

Ibubapa boleh tetapkan misi Ramadan yang mudah untuk anak-anak mengikut peringkat umur mereka.

Contohnya, menghafal 2 surah pendek, solat 5 waktu dengan lebih berdisiplin, menderma barang permainan yang masih elok, membuat kebaikan atau cuba berpuasa selama 2-3 jam sehari atau mengikut kemampuan anak.

Muat turun 30 Misi Mudah Ramadan berikut dan letak berdekatan dengan ruang makan atau di sudut Ramadan sebagai rujukan anak-anak. Ibubapa juga harus turut serta menulis misi Ramadan masing-masing sebagai contoh kepada anak-anak.

Anak-anak remaja atau dewasa boleh menggunakan jurnal atau planner Ramadan. Mereka boleh membuat catatan tentang misi Ramadan, menulis jurnal tentang ibadah puasa pada setiap hari dan perkara yang ingin diperbaiki atau kebaikan yang mereka ingin lakukan untuk hari seterusnya.

Sentiasa berikan galakkan dan dorongan positif setiap hari kepada anak-anak. Setiap pencapaian, walaupun kecil layak diraikan.

4) Sediakan jadual bergambar untuk rutin di bulan Ramadan

Kebiasaannya, rutin harian pada bulan puasa akan sedikit berubah kerana kita tidak makan atau minum pada waktu siang dan pada sebelah malam kita berkumpul untuk berbuka puasa dan diikuti dengan ibadah solat Tarawikh. Tip ini amat sesuai untuk anak-anak yang baru belajar berlatih untuk berpuasa, serta anak-anak yang berkeperluan khas (Autism, ADHD dan sebagainya)

Kredit foto : @nursuliani di Instagram

Ibubapa boleh menyediakan jadual bergambar supaya mereka boleh melihat secara visual apa yang akan berlaku pada setiap hari. Jadi, mereka akan lebih faham apa yang mereka perlu lakukan ketika berpuasa. Antara gambar-gambar yang boleh dipamerkan ialah bersahur, ke sekolah, solat fardu, membaca Quran, berbuka puasa dan solat Tarawih. Tampal jadual ini di ruang bilik tidur atau berdekatan sudut Ramadan supaya mudah untuk mereka lihat.

5) Menjadikan waktu berbuka puasa waktu yang istimewa

Setelah penat seharian berpuasa, waktu berbuka adalah waktu yang di nanti-nantikan oleh anak-anak. Jadikan waktu berbuka ini satu waktu yang istimewa di mana semua ahli keluarga berkumpul bersama-sama.

Mulakan rutin baru supaya ia menjadi tradisi baru dalam keluarga. Contohnya ,sementara menanti waktu berbuka, ibubapa membaca buku cerita yang telah diletakkan di sudut Ramadan bersama-sama, ahli keluarga boleh saling bertanya tentang hari masing-masing, lakukan aktiviti mewarna, melukis dan menulis catatan Ramadan.

Libatkan anak-anak di dalam urusan persiapan menyediakan juadah berbuka dan mengemas meja makan setelah selesai berbuka. Berikan tugas mengikut kemampuan anak-anak dan lakukannya bersama-sama.

Bersederhana dalam penyediaan juadah berbuka dan didik anak-anak untuk mengelakkan pembaziran. Berikan pujian di atas perbuatan baik mereka.

Ibu bapa boleh menjadikan ruang tamu sebagai tempat untuk sama-sama menunaikan solat maghrib, isya’ dan tarawih berjemaah sekiranya tidak ke masjid. Ini juga peluang untuk mendidik anak-anak bahawa solat tarawih juga boleh dilakukan di rumah dan tidak semestinya hanya di masjid. Apabila anak-anak melihat ibu bapa melakukan ibadah solat secara terbuka, mereka akan rasa untuk turut serta melakukannya. Ibubapa adalah contoh terbaik buat anak-anak.

6) Membawa anak-anak ke masjid

Tujuan utama membawa anak-anak masjid ialah untuk mereka melihat dan merasai sendiri bahawa orang Muslim yang lain juga meraikan Ramadan bersama-sama dengan berbuka dan solat Tarawih bersama-sama.

Ibu bapa boleh menggunakan teknik “social story” , bercerita pendek bergambar pada anak mengenai apa yang berlaku di masjid, apa yang jemaah lain lakukan di masjid, adab ketika berada di masjid serta mengapa kita perlu menghormati adab-adab tersebut.

Namun begitu, mereka tetap masih kanak-kanak yang sering melakukan kesilapan. Jadi ibubapa perlu bersikap terbuka dan memberi ruang untuk anak-anak membaiki kesilapan mereka.

Mulakan dengan skala yang kecil supaya lebih mudah dan tidak rasa terbeban. Saya dan suami hanya membawa anak-anak ke masjid satu-dua kali seminggu pada Ramadan yang lalu pada hujung minggu. Kemudian pendekkan masa berada di masjid. Contohnya, hanya ke masjid untuk solat tarawih. Ini boleh mengelakkan anak-anak merasa bosan atau penat menunggu waktu untuk pulang.

Kenal pasti masjid dan surau yang menyantuni kehadiran anak-anak terutamanya anak kecil. Ada masjid yang menyediakan ruang khas untuk ibubapa yang datang bersama anak-anak, ini memberi keselesaan kepada semua jemaah untuk menjalankan ibadah.

Bergilir memantau anak-anak sementara pasangan menunaikan solat tarawih juga boleh dipraktikkan. Saya dan suami ada persetujuan bersama setiap kali kami ke masjid, sekiranya kelakuan anak-anak tidak dapat dikawal, mereka menangis atau mengamuk, kami akan terus beredar dari masjid untuk menjaga keharmonian sesama jemaah yang lain dan pasangan kita.

Berlapang dada dan tidak perlu menyalahkan orang lain atau diri sendiri, kerana apa yang berlaku itu adalah sebahagian dari proses untuk kita mendidik anak-anak dah juga diri kita.

7) Amalan bersedekah dan berbuat kebaikan

Ramadan adalah masa yang sesuai untuk mendidik anak-anak tentang amalan bersedekah untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain.

Didik anak-anak bahawa bersedekah bukanlah hanya dengan wang ringgit. Makanan, barangan dapur, buku-buku, pakaian lama dan permainan yang masih elok dan bersih jugaboleh didermakan kepada mereka yang memerlukan. Bawa anak bersama supaya mereka boleh lihat sendiri kepada siapa dan dimana barang-barang tersebut diberikan.

Selain itu, galakkan anak-anak untuk berbuat baik kepada orang disekeliling mereka seperti membantu guru dan rakan-rakan di sekolah atau membantu kerja-kerja di rumah tanpa mengharapkan balasan. Teruskan memberi pujian kepada setiap perbuatan baik kena pujian yang positif akan menimbulkan rasa seronok apabila kita dapat membantu orang lain.

Semoga perkongsian ini dapat membantu ibubapa mencipta lebih banyak kenangan manis bersama anak-anak di bulan Ramadan. Saya harap ia juga akan memberi tradisi baru di dalam keluarga yang akan menjadi amalan turun-temurun untuk generasi yang akan datang. InsyaAllah.


Ditulis oleh : Melor Rahman

Melor Rahman ialah ibu kepada 4 cahayamata dan seorang lepasan Ijazah Sarjana Muda Media Innovation. Setelah anak keduanya disahkan menghidap autisma, dia memilih untuk berhenti bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia kini berkhidmat sebagai fasilitator di Pusat Autism Andra Uphill, Sepang dan sering berkongsi mengenai autisma di sosial media untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat. Dia berharap untuk terus berkongsi ilmu mengenai kepentingan pendidikan awal anak-anak berkeperluan khas untuk manfaat semua.

Author

Comments are closed.